December 7, 2025

JOHOR BAHRU, 16 Nov. — Ketika ramai seusianya memilih untuk menikmati masa bersama keluarga, Dr. Abdul Hakim Arifin, 67, melangkah penuh bangga di pentas Dewan Sultan Iskandar sebagai salah seorang graduan pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-69.

Beliau menerima Ijazah Doktor Falsafah dalam Falsafah Arab dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) di bawah Akademi Tamadun Islam (ATI), menandakan kemuncak kembara ilmunya yang merentasi benua serta mengambil masa puluhan tahun.

Dr. Abdul Hakim Arifin, 67, dengan bangga menerima Ijazah Doktor Falsafah dalam Falsafah Arab pada Konvokesyen UTM ke-69, menandakan kemuncak dedikasi berdekad-dekad dalam pengajian Islam dan pembelajaran sepanjang hayat

Lahir pada 1958 di Flores, Nusa Tenggara Timur, dan berketurunan Bugis, perjalanan hidup Dr. Abdul Hakim sememangnya luar biasa. Beliau membesar dalam keluarga yang menekankan pendidikan dan nilai agama, yang menjadi tunjang awal minatnya terhadap ilmu.

Perjalanan hidupnya membawa beliau menuntut pendidikan di Indonesia, Madinah, dan Pakistan dan kemudian Malaysia.

Beliau berkahwin dengan seorang wanita berasal dari Pakistan dan dikurniakan enam anak, empat perempuan dan dua lelaki, sebahagian besar kini telah membina keluarga masing-masing.

Dr. Abdul Hakim berkongsi detik membanggakan bersama salah seorang anaknya, meraikan sokongan keluarga dan kegembiraan atas pencapaian akademik di UTM

Minat mendalam terhadap bahasa Arab menjadi tunjang utama perjalanan akademiknya. Dr. Abdul Hakim memulakan pengajian ilmu Islam dan Bahasa Arab di Pondok Modern Darussalam Gontor Ponorogo, Indonesia.

Kemudian beliau menyambung pengajian Sarjana Muda Usuluddin di Universiti Madinah, di mana beliau menimba ilmu Islam dan bahasa Arab secara mendalam.

Minat ini diteruskan dengan pengajian peringkat Master of Arts (MA) di International Islamic University Islamabad (IIUI).

Dalam setiap langkah akademiknya, beliau menekankan bahawa bahasa Arab bukan sekadar medium komunikasi, tetapi juga jendela memahami Al-Quran dan peradaban Islam.

Pada 2016, Dr. Abdul Hakim mengambil langkah besar memulakan pengajian PhD di UTM. Pilihan ini bukan kebetulan, kerana penyelidikan beliau berkait rapat dengan institusi dan komuniti di Madrasah Tahfiz Arabic Algontory, Rembau, Negeri Sembilan.

Selama lapan tahun penuh cabaran, beliau akhirnya berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2024.

Sepanjang tempoh itu, beliau dibimbing oleh penyelia utama, Dr. Zulkiflee Haron, serta penyelia bersama, Dr. Diaya Ud Deen Deab Mahmoud Al Zitawi dari Jordan, yang banyak memberi tunjuk ajar dalam metodologi penyelidikan, penulisan akademik dan pendekatan pedagogi.

Ketika ditanya faktor utama yang mendorongnya menyambung pengajian pada usia ini, Dr. Abdul Hakim tersenyum dan berkata, “Cinta terhadap ilmu tidak mengenal usia. Saya ingin terus belajar, kerana ilmu itu amanah. Saya ingin membimbing generasi muda, dan menyumbang melalui penelitian, pendidikan dan pengajaran.”

Dr. Abdul Hakim bersama penyelia beliau, Dr. Diaya Ud Deen Deab Mahmoud Al Zitawi dari Jordan, yang banyak membimbing sepanjang perjalanan PhD

Beliau menegaskan bahawa inspirasi utamanya datang daripada guru-guru lama, penyelia, keluarga, dan tokoh-tokoh dalam bidang pendidikan Islam, yang sentiasa menekankan bahawa menuntut ilmu adalah kewajipan sepanjang hayat.

“Dalam pepatah Arab disebut, Man jadda wa jada, sesiapa yang bersungguh, dia akan berjaya. Menuntut ilmu itu kewajipan, dari buaian hingga ke liang lahad,” katanya dengan nada penuh hikmah.

Walaupun berusia lebih enam dekad, beliau tidak ketinggalan dalam menyesuaikan diri dengan teknologi pembelajaran moden. Beliau menguasai penggunaan platform kelas atas talian, perpustakaan digital, serta perisian menulis dan menganalisis data. Pengalaman ini membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk menyesuaikan diri dengan dunia akademik yang serba moden.

Sepanjang pengajian, Dr. Abdul Hakim banyak mengalami detik manis yang memberi semangat kepadanya.

“Saya tidak akan lupa saat pertama kali menjejakkan kaki di perpustakaan UTM, melihat pelajar-pelajar muda menimba ilmu dengan penuh semangat. Ia menjadi suntikan motivasi bahawa pencarian ilmu tidak mengenal usia. Saya juga amat menghargai setiap sesi perbincangan bersama penyelia yang banyak membimbing saya secara peribadi,” ujarnya.

Dr. Abdul Hakim tersenyum penuh kepuasan selepas menamatkan peperiksaan lisan

Beliau turut menekankan bahawa pengalaman ini bukan sahaja mengenai pencapaian akademik semata-mata, tetapi juga pembangunan sahsiah dan nilai kemanusiaan.

“UTM mengajar kita untuk memanusiakan manusia. Nilai-nilai ihsan, empati dan tanggungjawab sosial menjadi tunjang kehidupan, dan itu yang mendorong saya untuk terus berusaha, seperti moto ’Kerana Tuhan Untuk Manusia’” katanya.

Mengimbas pandangan penyelia dan keluarga, Dr. Abdul Hakim berkata, mereka sentiasa memberi dorongan dan keyakinan bahawa usia bukan penghalang dalam menimba ilmu.

Bagi menghadapi cabaran, beliau mengamalkan keseimbangan antara ilmu, iman dan ihsan.

“Ilmu menjadikan seseorang berpengetahuan, iman memberikan prinsip dan pedoman, manakala ihsan memastikan manusia bertindak dengan sifat empati, belas ihsan dan kesedaran terhadap tanggungjawab sosial. Gabungan ini menjadikan saya mampu berdepan cabaran dan mengaplikasikan ilmu dengan cara yang memberi manfaat kepada orang lain,” jelasnya.

Dr. Abdul Hakim mengenang kembali pengalaman di UTM, terinspirasi oleh komuniti akademik yang dinamik, perbincangan bersama penyelia, dan semangat pelajar muda yang mendorong beliau meneruskan pencarian ilmu sepanjang hayat

Selepas bergraduasi, Dr. Abdul Hakim berharap dapat terus menyumbang sebagai pendakwah, pendidik, dan muballigh, khususnya dalam meningkatkan penguasaan bahasa Arab dan pembelajaran agama di kalangan masyarakat. Beliau juga bercadang untuk berkhidmat secara rasmi di Malaysia, Indonesia dan di mana sahaja bagi menyebarkan ilmu dan membimbing generasi muda.

Kepada generasi muda, pesanan beliau jelas dan penuh motivasi.

“Teruslah belajar hingga akhir hayat. Ilmu, iman dan amal soleh akan membawa kejayaan dunia dan akhirat. Jangan berputus asa dan tuntutlah ilmu kerana Allah. Insya-Allah, setiap usaha akan diberkati,” katanya.

Pada usia 67 tahun, Dr. Abdul Hakim Arifin membuktikan bahawa semangat menuntut ilmu tidak mengenal usia. Kejayaannya diraikan bukan sahaja kerana pencapaian akademik, tetapi juga keteguhan azam, nilai kemanusiaan dan teladan inspirasi yang dibawanya kepada masyarakat. Beliau bangga menjadi graduan yang membawa roh universiti, “Kerana Tuhan Untuk Manusia,” ke dalam kehidupan nyata.

Explore More

UTM Open Day