December 18, 2025

Dari KKTM ke UTM Ir. Dr. Ghazali Harun jadi inspirasi generasi TVET

JOHOR BAHRU, 19 Nov – Kejayaan Ir. Dr. Ghazali Harun, penerima Ijazah Doktor Kejuruteraan (Doctor of Engineering – EngDoc) dalam bidang Engineering Business Management dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sempena Majlis Konvokesyen ke-69 menjadi bukti bahawa pendidikan tinggi bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi satu amanah untuk memperkukuh pembangunan negara melalui inovasi dan ilmu terapan.

Dibiayai sepenuhnya oleh biasiswa MARA, Ir. Dr. Ghazali berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh lapan semester, dengan dua semester pertama diisi dengan komponen kerja kursus (taught course) sebelum meneruskan penyelidikan profesional bagi enam semester berikutnya. Program EngDoc yang diikuti beliau menggabungkan teori dan aplikasi industri secara holistik, merangkumi integrasi aspek kejuruteraan dan pengurusan perniagaan kejuruteraan dalam kalangan profesional teknikal.

Ir. Dr. Ghazali Harun pada Majlis Konvokesyen ke-69 UTM

Kajian beliau bertajuk Entrepreneurship Development Among MARA Graduates in Technical and Vocational Education and Training (TVET) meneliti bagaimana pembangunan keusahawanan, inovasi dan pemikiran perniagaan boleh disepadukan dalam pendidikan teknikal. Ia bertujuan melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dalam bidang teknikal dan kejuruteraan, tetapi juga mampu menzahirkan inovasi dan memacu nilai komersial dalam bidang kejuruteraan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Program EngDoc ini amat bertepatan dengan latar belakang akademik, tugas dan visi saya. Ia menghubungkan teori kejuruteraan dengan strategi pengurusan perniagaan dalam konteks sebenar industri. Graduan TVET perlu dibentuk bukan hanya sebagai tenaga kerja, tetapi sebagai pencipta inovasi dan pemimpin nilai,” jelas beliau.

Sebelum melanjutkan pengajian di UTM, Ir. Dr. Ghazali berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Pasir Mas, Kelantan. Kepercayaan tinggi pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) terhadap kepakaran beliau terbukti apabila beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Kurikulum TVET MARA sejurus selepas kelulusan pengajian disahkan oleh Senat UTM, bahkan sebelum beliau sempat berkonvokesyen. Pelantikan segera ini menunjukkan keyakinan MARA terhadap keupayaannya membawa perspektif industri, analisis perniagaan kejuruteraan dan pemikiran strategik bagi memperkasa hala tuju TVET MARA di peringkat nasional.

Permulaan lembaran baharu buat Ir. Dr. Ghazali Harun sebagai Timbalan Pengarah Kurikulum TVET MARA

Ir. Dr. Ghazali menzahirkan penghargaan kepada MARA, panel penyelia, Ts. Dr. Noorlizawati Abd Rahim dan Dato’ Prof. Emeritus Ir. Ts. Dr. Zainai Mohamed, warga akademik UTM serta keluarga atas sokongan sepanjang perjalanan akademiknya. Beliau berharap penyelidikannya dapat dimanfaatkan untuk memperkasa dasar dan modul keusahawanan serta inovasi perniagaan kejuruteraan dalam ekosistem TVET Malaysia.

Beliau turut menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada isteri dan anak-anak yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam setiap langkah perjalanan akademik dan kerjayanya. Sokongan tanpa henti, doa yang tidak pernah putus serta pengorbanan masa bersama keluarga menjadi kekuatan utama yang mendorong beliau meneruskan pengajian EngDoc hingga ke garisan penamat. Ir. Dr. Ghazali mengakui bahawa kejayaan ini bukan hanya miliknya, tetapi juga milik keluarga yang sentiasa memahami, memberi ruang dan menguatkan semangatnya dalam saat-saat sukar mahupun mencabar.

Ir. Dr. Ghazali menyifatkan kejayaan ini turut menjadi milik keluarga yang sentiasa memahami dan menguatkan semangatnya

“Ilmu datang bersama amanah. Saya bertekad memastikan generasi TVET akan lebih berdikari, berdaya cipta dan berdaya saing dalam dunia pekerjaan masa depan,” tambahnya dengan penuh semangat.

 Ir. Dr. Ghazali gembira atas kejayaan yang diperolehinya

Explore More

UTM Open Day