November 26, 2025

JOHOR BAHRU, 1 Nov – Buat julung kalinya, persatuan pelajar Jabatan Kejuruteraan Kimia, The Institution of Chemical Engineers – Student Chapter (IChemE UTM SC) menganjurkan karnival inovasi dan kelestarian, ChemE Day FKT 2025. Karnival ini menghimpunkan pelbagai acara dan pertandingan yang berteraskan tema inovasi serta lestari di Laman Meranti, Tasik Ilmu UTM seterusnya mendapat sokongan penuh oleh Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT) serta Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar (BAPP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Antara sorotan utama ChemE Day termasuk IChemE Sustainability 5 KM Fun Run, pertandingan inovasi ChemE Cube – UTM 2025, ChemE Car UTM Competition serta ceramah inspirasi kerjaya ChemE Inspire.

Para pemenang IChemE Fun Run bergambar bersama Prof. Dr. Mat Uzir, Dekan FKT

Acara pembuka tirai, IChemE Fun Run, menampilkan tema kelestarian yang mengetengahkan lima checkpoint berkaitan kesedaran lestari. Seramai lebih 200 peserta menyertai larian ini, di mana setiap pelari perlu mengumpul pelekat kesedaran di setiap checkpoint sebelum layak menamatkan larian. Penyertaan dinilai melalui dua kategori utama, iaitu 5 KM Lelaki dan 5 KM Wanita. Selain larian, peserta turut menyertai Go Green Quizzes yang diadakan sejurus tamat acara.

Sementara itu, pertandingan ChemE Cube menjadi tumpuan dalam memacu kreativiti dan inovasi peserta dari dalam dan luar UTM. Bertemakan “Advancing Water Purification through Innovation”, pertandingan ini mencabar peserta menghasilkan prototaip berbentuk kiub bersaiz 1 kaki padu lengkap dengan sistem rawatan air yang berfungsi sepenuhnya di dalam ruang terhad tersebut. Sebanyak 9 pasukan dari UTM, 2 pasukan dari Taylor’s University, 1 pasukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) serta 1 pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Shah Alam berentap untuk merebut gelaran juara.

Selain pembentangan inovasi, air terawat daripada prototaip turut dianalisis secara langsung di tapak karnival, menjadikan pertandingan ini bukan sekadar penilaian konsep tetapi juga keupayaan teknikal dan keberkesanan sistem.

Pertandingan ChemE Cube 2025 bagi kategori Poster menyaksikan pasukan HydroFlare dari Taylor’s University muncul sebagai juara, di bawah bimbingan Dr. Ho Kah Chin. Naib johan pula dimenangi oleh pasukan Clear Aqua Pioneers dari UTM, dengan sokongan pasukan penyeliaan yang terdiri daripada Dr. Nur Hafizah Ab Hamid, Dr. Amnani Shamjuddin, Dr. Mohd Asmadi Mohammed Yussuf, Prof. Madya Dr. Umi Aisah Asli, Dr. Mahadhir Mohamed dan Prof. Madya Dr. Hajar Alias. Tempat ketiga diraih oleh pasukan HydroHackers dari UTM, diselia oleh Prof. Madya Dr. Sani Amril Samsudin.

Antara prototaip kereta pertandingan ChemE Car UTM di kawasan Tasik Ilmu

Buat pertama kali dalam sejarah penganjuran, Tasik Ilmu UTM menjadi litar ujian bagi 16 pasukan yang mempertandingkan kereta prototaip ChemE Car. Seramai 72 pelajar terlibat dalam membangunkan kereta yang digerakkan sepenuhnya melalui tindak balas kimia tanpa sebarang penggunaan kuasa bateri. Peserta perlu merumuskan bahan kimia yang selamat tetapi cukup bertenaga untuk menggerakkan kereta melalui dua cabaran litar sehingga ke garisan penamat.

Peserta sedang mengisi bahan kimia bagi menggerakkan prototaip ChemE Car

Dalam pertandingan ChemE Car Competition 2025, pasukan Fourari muncul sebagai juara di bawah seliaan Prof. Madya Ir. Dr. Norzita Ngadi. Gelaran naib juara menjadi milik pasukan Nonchalant Bois yang dibimbing oleh Dr. Muhamed Yusuf Shahul Hameed. Tempat ketiga pula dimenangi oleh pasukan Scuderua Chemica, diselia oleh Prof. Madya Ir. Dr. Jamarosliza Jamaluddin.

Sementara itu, sesi ceramah kerjaya ChemE Inspire turut menarik perhatian apabila dua panel jemputan, iaitu Hana Maslinda Md Idrus dari Petronas Carigali Sdn Bhd dan Puteri Sofia Mohd Noor, pelajar FKT yang berkongsi pengalaman latihan industrinya di PRefChem Sdn Bhd, memberikan inspirasi dan pendedahan kerjaya kepada para pelajar.

Sesi perkongsian kerjaya oleh Hana Maslinda dan Puteri Sofia dalam program ChemE Inspire

Program turut diserikan dengan Kaunter Kitar Semula Pandu Lalu UTM X SWM Environment, aktiviti rendah karbon oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Pertandingan Inovasi “Gamifikasi Sejukkan Langit 2025” yang disertai tujuh sekolah sekitar Johor. Pertandingan ini memberi peluang kepada pelajar sekolah menghasilkan idea inovatif yang menggabungkan unsur sains, teknologi dan amalan hijau, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai perubahan iklim.

Melalui kaunter kitar semula pandu lalu, sebanyak 2,290 kilogram bahan kitar semula berjaya dikumpulkan merangkumi plastik, kertas, besi, botol kaca, e-waste, minyak masak terpakai dan pakaian terpakai. Jumlah ini bersamaan pengurangan pelepasan karbon sekitar 4,500 kilogram karbon dioksida. Inisiatif ini direalisasikan melalui kerjasama SWM Environment Sdn. Bhd., Life Line Clothing dan NesPalm.

Antara bahan kitar semula yang berjaya dikumpulkan melalui kaunter pandu lalu

ChemE Day FKT 2025 dirasmikan secara flag-off oleh Dekan FKT, Prof. Dr. Mat Uzir Wahit bagi acara IChemE Fun Run. Majlis penutup serta penyampaian hadiah dan cenderamata disempurnakan oleh Pengarah BAPP, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman bersama Ketua Jabatan Kejuruteraan Kimia, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Muhammad Arif Ab Aziz.

Penganjuran tahun ini turut menerima sokongan penting daripada pelbagai penaja termasuk Artisan Capital, Saquosen Engineering, MBIP, Akademi Sains Malaysia, SWM Environment, Decathlon, Klinik Medcare dan Society of Petroleum Engineers (SPE).

Bukan itu sahaja, majlis ini turut menyerlah dengan sokongan padu daripada para pelajar Jabatan Kejuruteraan Kimia serta seluruh jawatankuasa ChemE Day 2025 yang telah memastikan kelancaran setiap program utama dan sampingan.

Penghargaan khusus turut dirakamkan kepada barisan Pengarah Program, iaitu Aniq Khairin (ChemE Day FKT 2025), Julia Sari Dewi (ChemE Car), Nur Idlan (ChemE Cube), Denise Kan Wei Kei (IChemE Fun Run) dan Chong Zhi Feng (ChemE Inspire), di samping Presiden IChemE UTM SC 24/25, Megat Muhammad Farhan Daniel.

Tidak dilupakan, ucapan terima kasih turut ditujukan kepada para penasihat yang membimbing dan menyelaras perjalanan program sehingga berjaya direalisasikan, iaitu Dr. Mohamad Sukri Mohamad Yusof, Dr. Muhammad Afiq Zubir, Dr. Amnani Shamjuddin serta mantan Ketua Jabatan Kejuruteraan Kimia, Prof. Madya Dr. Hajar Alias.

Dengan kejayaan penganjuran ini, ChemE Day FKT 2025 diyakini mampu menjadi acara tahunan yang terus mengangkat agenda kelestarian dan inovasi selaras dengan aspirasi UTM.

Explore More

UTM Open Day