JOHOR BAHRU, 16 Nov – Dalam kesibukan menggalas tugas sebagai jurutera kanan di PETRONAS, menguruskan empat anak yang sedang membesar, serta menjalani kehidupan sebagai isteri, Ir. Ts. Dr. Farahdila Kadirkhan, CEng IChemE, 44, membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil apabila seseorang wanita memiliki azam yang teguh dan semangat yang tidak pernah padam.
Berpangkalan di Kajang, Selangor, dan berulang-alik ke Bangi untuk komitmen kerjaya, Farahdila pada masa yang sama menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kejayaannya bukan sahaja menjadi detik bersejarah peribadi, malah simbol ketabahan dan inspirasi kepada wanita bekerja serta pelajar pascasiswazah di seluruh negara.
Di sebalik kejayaannya, berdiri dua tokoh penyelidikan negara yang menjadi tulang belakang bimbingan akademiknya, iaitu Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, penerima anugerah antarabangsa Mustafa Prize (Muslim Nobel) 2023, dan Prof. Madya Dr. Goh Pei Sean, antara penyelidik membran berpengaruh di Asia. Kedua-duanya berada dalam senarai Top 2% World Research Scientists, sekali gus menjadikan proses penyeliaan Farahdila bertaraf global, ketat dan berdisiplin tinggi.

“Sejak tamat pengajian di UTP, saya memang menyimpan impian untuk menyambung PhD. Cuma masa tidak pernah terasa cukup. Tetapi saya tahu, jika bukan sekarang, bila lagi? Saya mahu berkembang dan memberi nilai kepada diri, keluarga dan organisasi saya,” katanya ketika ditemui selepas sesi pertama Majlis Konvokesyen Ke-69 UTM.
Namun perjalanan PhD itu tidak mudah. Dalam tempoh pengajian, Farahdila mengakui pernah melalui fasa keletihan emosi dan mental akibat tekanan tugasan kerja, keperluan akademik yang menuntut ketelitian, serta tanggungjawab keluarga yang tidak pernah berhenti.
“Pernah ada ketika saya hampir menyerah. Tetapi penyelia saya tidak pernah berhenti memberi sokongan. Mereka bukan sahaja membimbing penyelidikan, tetapi membina keyakinan saya untuk teruskan langkah,” katanya dengan suara sebak.
Antara insan yang paling besar jasanya ialah ibunya, Zaleha Karimulai, 63, yang menjaga cucu tanpa banyak soal sepanjang tempoh pengajian anaknya itu. Menurut Farahdila, ibulah yang menjadi “tiang hidup” yang memastikan rumah tangga berjalan lancar walaupun beliau sibuk dengan tugasan akademik dan kerjaya.
“Jika bukan kerana mak, saya tidak akan berada di sini hari ini. Mak banyak membantu menjaga anak-anak, mengurus rumah, bahkan menjadi tempat saya bersandar apabila saya hampir tewas,” katanya.
Sokongan suami, empat anak, saudara mara serta rakan-rakan yang sentiasa memahami turut menjadi penguat semangat. “Saya tidak pernah berjuang seorang diri. Ada ramai yang mendorong dari belakang,” jelasnya.

Kejayaan Farahdila hari ini menjadi bukti bahawa seorang wanita mampu melangkaui batasan selagi mempunyai sokongan dan tekad yang jelas. Dalam dunia yang semakin mencabar, kisahnya adalah peringatan bahawa ilmu bukan hanya milik mereka yang punya masa lapang, tetapi milik sesiapa yang bersedia berkorban demi masa depan yang lebih baik.
“PhD ini bukan sekadar kelulusan akademik. Ini adalah perjalanan kehidupan yang membentuk saya menjadi lebih kuat, lebih matang dan lebih yakin,” katanya mengakhiri perbualan.
Oleh Dr. Farhana Aziz and Dr. Nurfarhain Mohamed Rusli