November 17, 2025

JOHOR BAHRU, 17 Nov. – Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Terdahulu (APEL T7) telah menjadi titik loncatan penting dalam perjalanan akademik Tc. Mohd Asrizan Deraman, seorang tenaga pengajar di Akademi Laut Malaysia (ALAM), yang baru sahaja menamatkan pengajian Sarjana Pendidikan Teknikal dan Vokasional di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan pencapaian Kelas Pertama.

Namun, kejayaan ini bukan hadir secara mudah. Ia adalah hasil daripada lebih dua dekad usaha, pengorbanan, dan semangat untuk terus menimba ilmu di sebalik kesibukan bekerja dan tanggungjawab terhadap keluarga.

Perjalanan akademik Mohd Asrizan bermula pada tahun 2003 di IKTBN Pagoh melalui program Sijil Tahap 1 dan 2 dalam bidang Mekanikal Pembuatan. Beliau kemudian menyambung pengajian ke IKTBN Sepang bagi Diploma Teknologi Mekanikal (Alat Tekan dan Acuan) pada tahun 2005 hingga 2007.

Dengan latar belakang TVET yang kukuh, beliau mula berkhidmat sebagai tenaga pengajar di ALAM pada tahun 2012, mengajar subjek seperti welding, lathe machine dan bench fitting, sekaligus membina asas pengalaman industri yang kukuh.

Keinginan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sentiasa membara. Beliau pernah mencuba secara separuh masa di UTM Kuala Lumpur pada tahun 2010, namun terpaksa mengundurkan diri.

Percubaan kedua di UTeM Melaka pada tahun 2018 juga tidak berjaya diselesaikan kerana komitmen kerja dan tanggungjawab sebagai suami serta bapa kepada dua orang anak kecil.

Tidak dapat dinafikan, cabaran pengajian pada ketika itu amat besar, memerlukan beliau mengimbangi tanggungjawab sebagai pendidik sepenuh masa, ahli keluarga, dan pelajar Sarjana secara serentak.

Mohd Asrizan bersama keluarga di hari yang penuh bersejarah bagi beliau

Segalanya berubah apabila beliau menemui laluan Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Terdahulu (APEL T7) dalam bidang pendidikan, satu program khas yang membolehkan individu berpengalaman kerja dan berumur 30 tahun ke atas menyambung pengajian ke peringkat Sarjana tanpa perlu memiliki ijazah pertama.

Beliau diterima masuk ke program Sarjana Pendidikan Teknikal dan Vokasional UTM pada sesi 2023/2024-1 melalui APEL T7.

Namun, dengan disiplin tinggi dan pengurusan masa yang cekap, Mohd Asrizan berjaya menamatkan pengajiannya lebih awal bersama kohort pertama sesi 2022/2023-2.

Program ini dijalankan secara Open and Distance Learning (ODL), dengan sesi intensif selama enam minggu dan tugasan kendiri untuk tempoh selebihnya.

Format ini membolehkannya mengekalkan masa hujung minggu bersama keluarga sambil menyiapkan tugasan dan menunaikan tanggungjawab kerja.

“Dengan disiplin dan semangat TVET, saya berjaya menamatkan pengajian bersama kohort pertama, walaupun saya asalnya dari kohort kedua,” katanya sambil tersenyum.

Sepanjang pengajian, beliau mendalami bidang integrasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam sistem latihan TVET maritim.

Hasil penyelidikannya telah diterbitkan dalam ALAM Journal of Maritime Studies pada tahun 2024, membuktikan bahawa penyelidikan dalam bidang TVET mampu menyumbang kepada pembangunan industri dan bahawa AI dapat meningkatkan kualiti latihan serta memperkukuh kebolehpasaran pelajar maritim.

Kini, Mohd Asrizan sedang dalam proses menyambung pengajian ke peringkat PhD, dengan fokus kepada pembangunan model integrasi AI dalam sistem latihan TVET maritim.

“Kejayaan ini bukan sekadar segulung ijazah sarjana, tetapi bukti bahawa laluan APEL T7 mampu mengangkat pendidik berpengalaman kerja ke tahap akademik tertinggi,” tambah beliau.

Kisah Mohd Asrizan membuktikan bahawa pendidikan bukan hanya melalui laluan arus perdana yang lurus.

Setiap pengalaman kerja adalah aset berharga yang boleh dijadikan pintu menuju kejayaan akademik.

Beliau berharap kisah ini menjadi inspirasi kepada warga pendidik TVET untuk berani melangkah ke hadapan melalui program APEL, terus menambah ilmu, dan menyedari bahawa pengalaman praktikal yang dimiliki adalah modal yang bernilai dalam dunia akademik.

Explore More

UTM Open Day