November 16, 2025

Wakil Jabatan Bendahari UTM perkukuh jaringan antarabangsa di ITS Surabaya

SURABAYA, 3 Okt – Dua wakil dari Jabatan Bendahari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Nurmahirah Ithnin dan Haslinda Basarom, telah berjaya menyertai Program International Staff Mobility (ISM) 2025 yang berlangsung di Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), Surabaya, Indonesia, dari 29 September hingga 3 Oktober 2025.

Program ISM anjuran ITS ini merupakan platform mobiliti antarabangsa yang menghimpunkan wakil institusi pendidikan tinggi dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Thailand, Rusia, Kanada, Filipina, India, Kemboja, Vietnam dan Jepun. Penganjuran program tersebut bertujuan memperkukuh kerjasama akademik dan budaya serantau melalui perkongsian pengetahuan, amalan terbaik serta pengalaman dalam pengurusan institusi pendidikan tinggi.

Wakil UTM terpilih sebagai salah satu daripada dua kumpulan terbaik dalam aktiviti Ice Breaking yang dijalankan

Sepanjang lima hari penganjuran, para peserta mengikuti pelbagai aktiviti yang dirancang dengan teliti bagi memberikan pendedahan menyeluruh terhadap budaya kerja dan kehidupan akademik di ITS. Antara pengisian utama termasuk sesi pembelajaran bahasa bersama Global Language Center ITS, lawatan ke jabatan pilihan yang berkaitan dengan bidang tugas peserta, sesi perkongsian ilmu antara wakil institusi, serta eksplorasi budaya Indonesia melalui lawatan ke Monumen Pahlawan dan Muzium Sepuluh Nopember.

Keindahan pemandangan di Pasir Berbisik, Bromo, Surabaya yang menjadi lokasi ekspedisi peserta ISM 2025

Selain aktiviti akademik, peserta turut menyertai ekspedisi ke Gunung Bromo, salah satu destinasi pelancongan terkenal di Indonesia. Pengalaman mendaki gunung tersebut bukan sahaja memperkenalkan peserta kepada keindahan alam semula jadi negara itu, malah mempererat hubungan antara peserta dari pelbagai latar belakang. Walaupun pendakian mencabar, semangat juang dan kerjasama yang tinggi membolehkan semua peserta menamatkan ekspedisi dengan jayanya. Momen ini turut memperlihatkan nilai perpaduan dan saling menghormati antara budaya yang berbeza.

Dalam masa yang sama, sesi promosi “Let’s Study Abroad (LSA)” turut diadakan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar ITS yang berminat meneroka peluang pengajian antarabangsa. Program ini menjadi ruang interaksi antara pelajar tempatan dan institusi luar, termasuk beberapa universiti Indonesia yang turut berminat menjalin potensi kerjasama masa hadapan bersama pihak UTM.

Sesi promosi “Let’s Study Abroad (LSA)” mendapat sambutan hangat daripada pelajar ITS

Penyertaan dua staf Jabatan Bendahari ini turut mendapat sokongan penuh daripada pihak pentadbiran jabatan dan UTM International, yang memainkan peranan penting dalam proses pemilihan peserta, penyelarasan logistik, penyediaan dokumen perjalanan dan sokongan teknikal. Inisiatif ini menggambarkan komitmen berterusan UTM dalam memperkasa pembangunan profesional staf bukan akademik melalui pendedahan antarabangsa yang bersifat inklusif dan berimpak tinggi.

Lawatan peserta ke Direktorat Kerjasama dan Pengelolaan Usaha (DKPU) ITS, Surabaya
Peserta turut berkunjung ke Direktorat Perencanaan dan Pengembangan Strategis ITS bagi sesi perkongsian pengalaman pengurusan universiti

Menurut Nurmahirah Ithnin, penyertaan dalam program ISM merupakan peluang berharga untuk memahami budaya kerja dan akademik di peringkat global serta memperluas perspektif terhadap pengurusan institusi antarabangsa. Sementara itu, Haslinda Basarom menegaskan bahawa pembangunan profesional yang inklusif perlu diteruskan agar semua lapisan staf, termasuk staf bukan akademik, dapat menikmati manfaat pengalaman global yang mampu memperkukuh kecekapan dan keupayaan diri.

Majlis penutup program berlangsung penuh meriah dengan persembahan kebudayaan dan jamuan makan malam, sekali gus menandakan kejayaan ISM 2025 sebagai platform integrasi antarabangsa yang bukan sahaja menghubungkan institusi, malah mempererat semangat persahabatan dan jaringan global dalam kalangan peserta.

Explore More

UTM Open Day