November 16, 2025

Simulasi tumpahan buangan terjadual tingkat kesedaran keselamatan warga Fakulti Sains UTM

JOHOR BAHRU, 13 Okt – Satu simulasi tumpahan buangan terjadual telah dijalankan di Dataran Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hasil sinergi antara Seksyen Alam Sekitar, Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) UTM sempena Fiesta OSHE Fakulti Sains 2025. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan dan tahap kesiapsiagaan warga makmal terhadap kemungkinan berlakunya insiden tumpahan buangan terjadual di tempat kerja.

Simulasi bermula dengan aktiviti pemindahan buangan terjadual dari Stor Fakulti Sains ke lori kontraktor yang dilantik oleh fakulti. Ketika proses pemindahan berlangsung, sebuah bekas polietilena berketumpatan tinggi (high-density polyethylene, HDPE) berkapasiti 60 liter melalui permukaan jalan tidak rata dan secara tiba-tiba berlaku tumpahan. Bekas tersebut mengandungi bahan buangan kategori SW 311 dan SW 109.

Simulasi ini dilakonkan oleh staf makmal Fakulti Sains yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Simulasi FIESTA OSHE FS 2025. Susulan kejadian tumpahan itu, Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) Fakulti Sains segera bertindak secara pantas dan sistematik bagi mengawal tumpahan tersebut. Antara pelakon simulasi ialah anggota yang telah mendapat latihan Kimia, Biologi, Radiologi dan Nuklear (CBRN) oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada Julai 2025.

Pasukan HAZMAT JBPM Johor melaksanakan simulasi operasi menyelamat mangsa di Dataran Fakulti Sains, UTM

Insiden Komander ERT Fakulti segera mengaktifkan prosedur tindakan kecemasan dan menghubungi pegawai Bahagian Keselamatan UTM, Pejabat OSHE UTM, serta Profesional Alam Sekitar Bertauliah dalam Pengurusan Buangan Terjadual (CePSWAM) UTM termasuk pasukan Unit Pengurusan Bahan Kimia (CMU) untuk ke lokasi kejadian.

Disebabkan SW 311 mempunyai risiko mudah terbakar (flash point) dan jumlah tumpahan sebanyak 60 liter terlalu besar untuk dikawal sepenuhnya oleh ERT Fakulti, keadaan menjadi semakin kritikal apabila turut melibatkan sisa SW 109 iaitu merkuri yang bersifat toksik. Susulan itu, Insiden Komander ERT Fakulti bersama Bahagian Keselamatan UTM selaku ERT Induk UTM membuat keputusan memanggil bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) JBPM.

Pasukan HAZMAT JBPM Johor dari Balai Bomba dan Penyelamat berhampiran tiba di lokasi dengan jentera khas sebelum Komander Operasi mengambil alih kawalan tapak dan melakukan penilaian risiko. Pasukan tersebut mengesahkan jenis bahan tumpahan (SW 311 dan SW 109) serta menandakan tiga zon keselamatan iaitu Zon Panas (Hot Zone), Zon Sederhana (Warm Zone) dan Zon Sejuk (Cold Zone) mengikut prosedur standard.

Pengalihan trafik dan pejalan kaki di kawasan berhampiran turut dilaksanakan dengan bantuan ERT Fakulti dan Bahagian Keselamatan UTM. Pasukan HAZMAT yang lengkap memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE) memulakan operasi menyelamat mangsa dan seterusnya melaksanakan kerja pembersihan menggunakan bahan penyerap khas bagi mengekang limpahan. Semua sisa buangan yang dikumpul dilabel dan disediakan untuk proses pelupusan mengikut peraturan ditetapkan. Proses terakhir ialah dekontaminasi terhadap peralatan dan mangsa yang dijalankan oleh pasukan HAZMAT.

Pasukan HAZMAT menjalankan simulasi pembersihan buangan terjadual bagi proses pelupusan di Dataran Fakulti Sains, UTM
Proses dekontaminasi dijalankan oleh Pasukan HAZMAT JBPM Johor selepas operasi simulasi tamat

Menurut Penyelaras Program yang juga Timbalan Pengarah Seksyen Alam Sekitar, Pejabat OSHE UTM, Dr. Norafneeza Norazahar, simulasi ini amat penting bagi memastikan semua staf memahami tatacara tindak balas, aliran komunikasi serta kepentingan pematuhan prosedur semasa berlakunya insiden tumpahan buangan terjadual.

Sementara itu, Pakar HAZMAT JBPM Johor, PKPgB Tc. Saifulbahri Safar, berkata tahap kesiapsiagaan ERT Fakulti dan ERT Induk UTM dapat ditingkatkan lagi khususnya dalam aspek prosedur tindakan kecemasan menyeluruh, pengurusan peralatan, serta kefahaman terhadap keselamatan bahan kimia dan buangan terjadual.

Ahli Jawatankuasa Simulasi FIESTA OSHE FS 2025 bergambar bersama anggota Pasukan HAZMAT JBPM Johor selepas simulasi berakhir

Simulasi ini turut disiarkan secara langsung melalui laman rasmi Facebook Fakulti Sains. Program berimpak tinggi ini menerima maklum balas positif daripada warga fakulti dan penonton dalam talian.

Penganjuran latihan berbentuk simulasi seperti ini diharap dapat diteruskan bagi memperkukuh budaya keselamatan kampus, memastikan pematuhan terhadap perundangan, serta menjadikan UTM sebagai tempat kerja yang selamat, sihat dan kondusif. Inisiatif ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) melalui tiga fokus utama iaitu SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), SDG 8 (Pekerjaan Sesuai dan Pembangunan Ekonomi) serta SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab).

Explore More

UTM Open Day