KUALA LUMPUR, 2 Okt – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) buat julung kalinya melaksanakan kursus kecedasan buatan (AI) dalam Pertanian di dua lokasi, iaitu di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) Melaka dan di Kuching, Sarawak bermula 29 September hingga 2 Oktober. Program ini menghimpunkan seramai 40 peserta terdiri daripada pekebun kecil RISDA, dengan 20 peserta bagi setiap lokasi, menjadikannya antara program latihan AI berskala nasional pertama yang dijalankan secara serentak oleh agensi berkenaan.
Kursus intensif selama empat hari ini dirangka sejajar dengan misi RISDA untuk memperkasa pekebun kecil dengan kemahiran digital serta memberi pendedahan kepada teknologi terkini seperti AI dan Internet of Things (IoT) dalam sektor pertanian. Program ini juga merupakan langkah penting dalam merealisasikan aspirasi RISDA untuk menjadi Pusat Latihan AI Malaysia, sekali gus memposisikan RISDA sebagai perintis nasional dalam pelaksanaan latihan AI kepada petani dan komuniti luar bandar.


Latihan ini dianjurkan oleh sekumpulan pensyarah dari Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), UTM Kuala Lumpur, yang berperanan merangka modul latihan dan menyampaikan sesi pembelajaran interaktif sepanjang kursus. Tenaga pengajar FAI membawa kepakaran dalam bidang AI generatif, IoT pertanian, dan aplikasi pintar bagi memastikan setiap peserta memahami konsep asas dan aplikasi praktikal teknologi ini dalam konteks pertanian tempatan.
Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada pelbagai topik yang merangkumi pengenalan kepada konsep generatif AI, penggunaan AI dalam sektor pertanian, pendidikan dan perniagaan, serta penerapan teknologi IoT bagi membangunkan sistem pemantauan ladang yang lebih efisien. Mereka turut berpeluang menjalani sesi praktikal menggunakan pelbagai alatan AI bagi tujuan pengesanan penyakit tanaman, analisis hasil, dan pengurusan sumber pertanian secara pintar. Pendekatan ini bukan sahaja memperkenalkan peserta kepada teknologi terkini, tetapi juga mengasah kemahiran mereka dalam menggunakan data untuk membuat keputusan yang lebih tepat di lapangan.


UTM turut bekerjasama dengan REDtone dalam penyediaan platform real-time IoT dashboard yang membolehkan peserta meninjau secara langsung data pemantauan dan analisis pertanian yang diperoleh daripada pelbagai sensor digital. Melalui platform ini, pekebun kecil dapat memahami bagaimana integrasi data dan automasi mampu membantu mereka mengoptimumkan hasil tanaman, mengurangkan kos operasi, serta mengekalkan kelestarian dalam amalan pertanian harian mereka.
Kursus ini turut memperkukuh komitmen bersama terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 2 (Tiada Kelaparan), SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat). Melalui latihan ini, peserta bukan sahaja memperoleh ilmu baharu, tetapi juga berpeluang melihat bagaimana teknologi digital menjadi pemangkin kepada pertanian mampan dan peningkatan ekonomi luar bandar.
Kejayaan penganjuran kursus di dua negeri ini menandakan permulaan kepada beberapa siri latihan RISDA–UTM yang bakal dijalankan sepanjang bulan Oktober ini di pelbagai lokasi seluruh negara. Siri latihan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan RISDA untuk memperluas literasi AI dan IoT dalam kalangan pekebun kecil di seluruh Malaysia. Dengan kesinambungan ini, RISDA berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai Pusat Latihan AI bagi sektor pertanian pada masa akan datang, sekali gus membantu Malaysia bergerak ke arah ekosistem pertanian digital yang inklusif, berdaya saing dan mampan.