November 16, 2025

Projek komuniti UTM rangkul tempat kedua Anugerah Kebangsaan APT25 di MUPA2025

PUTRAJAYA, 28 Okt – Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof telah merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2025 yang diadakan bersempena Kongres Perancangan Kebangsaan (NPC) dan MyCITY Expo 2025 bertempat di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya.

Majlis berprestij ini dianjurkan melalui kolaborasi strategik antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP), Lembaga Perancang Bandar Malaysia (LPBM) serta Perbadanan Putrajaya selaku tuan rumah. Tahun ini, sambutan HPBS mengangkat tema “Pembaharuan Semula Bandar: Agenda Perancangan untuk Rakyat”, yang menekankan keseimbangan antara kemajuan bandar dan kesejahteraan masyarakat.

Dalam ucapan alu-aluannya, YB Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menegaskan komitmen KPKT untuk memperkukuh agenda pembaharuan bandar berlandaskan prinsip Malaysia MADANI, dengan memberi tumpuan kepada keterangkuman sosial, kesejahteraan komuniti dan peningkatan daya huni bandar yang berpaksikan rakyat.

Perarakan masuk YAB Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri bersama YB Tn. Nga Kor Ming, Menteri KPKT serta diiringi oleh YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu ke Dewan Seri Siantan bagi majlis perasmian
Gimik perasmian yang dilancarkan oleh YAB Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof bersama YB Tn. Nga Kor Ming, YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu dan Datuk TPr Dr. Alias Rameli

Sebagai tanda penghargaan kepada sumbangan dan inovasi dalam bidang perancangan bandar, YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, telah menyampaikan 49 Anugerah Malaysia Urban Planning Awards (MUPA 2025). Salah satu pengiktirafan utama ialah Anugerah Amalan Perancangan Terbaik 2025 (APT.25) yang dibahagikan kepada empat kategori iaitu Kejiranan Hijau, Tenaga Diperbaharui, Laluan Mesra Alam, dan Mobiliti Mampan.

Antara penerima anugerah yang menyerlah tahun ini ialah Dr. Diyana Zulaika Abdul Ghani, Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang berjaya merangkul tempat kedua bagi kategori Mobiliti Mampan. Beliau menerima pengiktirafan tersebut melalui projek komuniti Skim Rondaan Sukarela (SRS) Taman Sri Pulai, atau dikenali sebagai Sri Pulai SRS E-Bike Patrol, yang juga merupakan penerima Geran Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK4.0).

Dr Diyana Zulaika Abdul Ghani bersama Ybhg. Tn. Hj Hasrin Kamal Hashim, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Khair Khuzairi, Eksekutif Blueshark Ecosystem Sdn. Bhd.

Projek ini menonjolkan inisiatif komuniti setempat dalam mengurangkan pelepasan karbon dengan menggunakan motosikal elektrik untuk rondaan keselamatan di sekitar kawasan perumahan. Lebih menarik, rondaan tersebut turut dilengkapi sistem kamera pemantauan masa nyata (IoT) yang menjadikan operasi lebih sistematik dan berkesan. Inovasi ini bukan sahaja membantu menjimatkan tenaga, malah menyokong aspirasi pembangunan rendah karbon sejajar dengan tema penghargaan APT.25 iaitu “Penggerak Gaya Hidup Hijau Rendah Karbon.”

Penghargaan ini merupakan inisiatif KPKT melalui PLANMalaysia selaku agensi yang bertanggungjawab terhadap perancangan dan pembangunan bandar untuk memberikan pengiktirafan kepada mana-mana pihak di kalangan masyarakat yang menjadi model ikutan dan penggerak melalui komitmen yang tinggi dalam mendokong hasrat pembangunan mampan negara.

Anugerah APT.25 yang dianjurkan oleh PLANMalaysia di bawah KPKT bertujuan mengiktiraf amalan perancangan bandar yang memberi impak positif kepada masyarakat serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pembangunan mampan. Ia juga berperanan sebagai platform perkongsian amalan terbaik bagi menggalakkan inovasi dan kolaborasi antara pelbagai pihak dalam bidang perancangan di seluruh negara.

Dr. Diyana Zulaika Abdul Ghani bersama YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor dan YBhg. Tn. Hj Hasrin Kamal Hashim, Datuk Bandar MBIP serta Khair Khuzairi, Eksekutif Blueshark Ecosystem Sdn. Bhd.

Melalui pengiktirafan yang diterima, komuniti diharap akan lebih terdorong untuk memperluaskan lagi kesedaran tentang teknologi hijau dan pembangunan rendah karbon. Inisiatif seperti ini diyakini mampu memperkukuh budaya lestari dalam kalangan masyarakat serta mendukung aspirasi nasional ke arah bandar yang inklusif, berdaya huni dan berdaya tahan untuk generasi akan datang.

Hadirin yang menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025 di Dewan Seri Siantan, Putrajaya

Explore More

UTM Open Day