KULAI, 4 Oktober – Program Citizen and Open Science for Planetary Health (COSPHe) anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Pelestarian Kampus UTM (UTMCCS) dengan kerjasama Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) telah berlangsung dengan jayanya di Sekawan Campsite, Kg. Sri Gunung Pulai, Kulai, Johor.
Program ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), UTM dan juga Flextronics (M) Sdn. Bhd. (Flex).
Penyelaras Program COSPHe Gunung Pulai 2025, LAr. Dr. Zanariah Jasmani berkata program COSPHe ini adalah satu inisiatif yang sangat penting dan relevan dalam memasyarakatkan ilmu sains berkaitan alam semula jadi kepada komuniti setempat.
“Melalui program ini, para peserta yang majoritinya terdiri daripada kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah diberikan pendedahan yang mendalam tentang aspek sains alam sekitar yang memberikan satu nilai tambah yang boleh membantu golongan ini dalam menangani isu-isu berkaitan alam sekitar di kawasan pentadbiran masing-masing,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian program itu yang berlangsung di Dewan Terbuka Sekawan Koop, Kg. Sri Gunung Pulai. Perasmian program telah disempurnakan oleh Pengarah UTMCCS, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Fadhil Md. Din.

Menurut Dr. Zanariah lagi, lima modul pengajaran telah didedahkan kepada para peserta sepanjang program berlangsung iaitu Modul pertama yang menumpukan kepada Pengukuran Kualiti Air diikuti Modul kedua yang membabitkan Penentuan Kualiti Air Berdasarkan Petunjuk Biologi.


Modul ketiga memberi tumpuan kepada penggunaan pangkalan data biodiversiti melalui platform I-Naturalist di samping modul keempat yang memperkenalkan teknik seni sumber Eko-Botani iaitu EcoPrint yang berkaitan dengan penghasilan karya seni daripada dedaun pokok hutan diikuti modul terakhir yang memberikan fokus kepada Teknik Tanaman dan Pengkomposan Lestari yang menekankan amalan pertanian hijau dan lestari.


“Melalui penganjuran program ini, adalah diharapkan semoga komuniti setempat dapat menjadi agen perubahan yang mampu mengurus dan menjaga alam sekitar secara berkesan.
“Secara keseluruhannya, program COSPHe ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta dalam menambah pengetahuan sains alam sekitar, tetapi juga memberi impak positif dalam membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan bertanggungjawab terhadap pelestarian planet,” katanya lagi.
Dengan kerjasama strategik antara Universiti Awam (UA) dan PBT, usaha ini diharapkan dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang demi kelestarian alam dan kesejahteraan generasi akan datang.
Penganjuran program COSPHe di Gunung Pulai ini adalah selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) No. 13 (Perubahan Iklim) di mana program ini memberi pengetahuan dan latihan kepada PBT mengenai pengurusan sumber alam dan penilaian kualiti air yang penting dalam usaha mengurangkan kesan perubahan iklim dan mempromosikan tindakan berasaskan sains untuk melindungi alam sekitar.
SDG 14 (Kehidupan bawah Air) juga terkait dengan program ini dimana melalui modul biodiversiti yang dikongsikan dalam program ini membantu memupuk kesedaran tentang pentingnya menjaga ekosistem akuatik dan biodiversiti marin.
Aspek Kehidupan di Darat yang berkaitan dengan SDG 15 juga disentuh melalui penumpuan terhadap eko-botani dan pengurusan sumber lestari yang menyokong usaha pemuliharaan tanah, flora dan fauna tempatan.
Melalui beberapa slot perkongsian ilmu sains alam sekitar (environmental science) kepada komuniti dan PBT, program ini menyokong pendidikan berterusan dan pembangunan kemahiran dalam bidang sains dan kelestarian yang berkaitan dengan SDG No. 4 (Pendidikan Berkualiti).
Kakitangan PBT yang mengikuti program ini didedahkan dengan beberapa elemen yang berkaitan dengan SDG 11: Bandar dan Komuniti yang Lestari sekaligus membantu golongan ini dalam membina komuniti yang lebih lestari dan berdaya tahan melalui pengurusan sumber alam yang berkesan.
Secara keseluruhannya, program COSPHe selaras dengan matlamat SDG dalam usaha untuk mempromosikan kesedaran, pendidikan dan tindakan berasaskan sains dalam menjaga dan memelihara alam sekitar demi kelestarian planet dan kesejahteraan masyarakat.