BACHOK, 13 Okt. – Pasukan Adopt a Kampung sekali lagi mencatat sejarah kejayaan apabila berjaya membina sebuah lagi Fun Learning Toy Library (FLTL), kali ini di negeri Kelantan. Program ini dijayakan melalui kolaborasi bersama Ketua Program Jelajah Pemerkasaan STEM Kelantan (STEM@Kelantan), Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip dari Pusat Pelestarian Kampus (CCS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, yang turut menjemput pasukan berkenaan bagi mengisi pengisian utama program.
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Oktober 2025 itu bertujuan memupuk minat serta memperkenalkan konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada murid prasekolah melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan, interaktif, dan mudah diadaptasi oleh pendidik.

Menelusuri perjalanan 11 tahun, Adopt a Kampung bermula daripada inisiatif pasca bencana banjir besar di Kelantan pada tahun 2014. Ketika itu, hanya sepuluh orang ahli menubuhkannya, sebelum jumlah keanggotaan meningkat kepada dua belas bagi menampung peningkatan aktiviti dan tanggungjawab pasukan. Kini, jumlah ahli kembali kepada sepuluh orang setelah dua ahlinya, Dr. Habibah @ Norehan Hj. Haron dan Dr. Noor Hamizah Hussain, bersara daripada perkhidmatan.
Pasukan semasa terdiri daripada Prof. Madya Ts. Dr. Roslina Mohammad, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Shamsul Sarip, Prof. Madya Dr. Sa’ardin Abdul Aziz, Prof. Madya Dr. Mohamad Zaki Hassan, Dr. Hayati @ Habibah Abdul Talib, Dr. Mohamed Azlan Suhot, Dr. Norulhusna Ahmad, Dr. Nur Ayuni Shamsul Bahri, Dr. Rasheed Mohamed Kutty, dan Rafizah Musa. Majoriti ahli merupakan pensyarah daripada Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), disertai tenaga akademik dari fakulti lain di UTM Kuala Lumpur.
Sejak penubuhannya, enam buah FLTL telah berjaya dibangunkan di pelbagai lokasi luar bandar termasuk di Kuala Geris, Dabong (2016); Seneng, Bachok (2017); Kulai (2018); Ayer Hitam, Kluang (2018); Bukit Abal, Pasir Puteh (2023); dan Lemoi, Cameron Highlands (2024).
Tahun 2025 menyaksikan kejayaan ketujuh melalui pembinaan FLTL di Sekolah Kebangsaan Bukit Marak, Bachok, Kelantan. Pelaksanaan Program STEM@Kelantan 2025, termasuk pembinaan FLTL dan pameran STEM, turut menerima sumbangan penting daripada Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) yang telah membantu memperkukuh kelancaran perancangan dan pelaksanaan keseluruhan program.

Asas pembinaan FLTL berpandukan kepada Modul FLTL yang dibangunkan oleh pasukan dan telah memperoleh hak cipta pada tahun 2020. Modul ini menggariskan penggunaan pelbagai peralatan serta permainan pendidikan berteraskan tema STEM yang disesuaikan dengan peringkat umur kanak-kanak. Sepanjang proses pembinaan, pasukan turut dibantu oleh sukarelawan UTM Kuala Lumpur daripada Fakulti Kecerdasan Buatan serta pelajar Kolej Siswa Jaya (KSJ) dari pelbagai latar bidang pengajian.
Selain sokongan daripada FAI, pasukan turut menerima kerjasama berterusan daripada Khayrin Faqir Resources (KFR) yang diketuai oleh Ts. Dr. Habibah @ Norehan Hj. Haron, pesara dan mantan pensyarah UTM Kuala Lumpur. Beliau merupakan pengasas FLTL semasa masih berkhidmat di universiti dan kini terus menyumbang kepakaran serta pengalaman melalui KFR sebagai rakan strategik alumni FAI. Penglibatan KFR menjadi pelengkap kepada misi pasukan dalam memperkukuh pembangunan pendidikan komuniti luar bandar secara lestari dan berimpak tinggi.

Keterujaan jelas terpancar pada wajah murid prasekolah Sekolah Kebangsaan Bukit Marak apabila mereka menyertai pelbagai aktiviti dan permainan berasaskan STEM yang disediakan melalui FLTL. Kanak-kanak berpeluang belajar sambil bermain, manakala guru pula dapat mengadaptasi penggunaan FLTL dalam sesi pengajaran mereka bagi memperkukuh pemahaman asas STEM dengan cara yang lebih kreatif dan menyeronokkan.
Dalam masa yang sama, sesi pengumpulan data turut dijalankan bagi menilai tahap kefahaman dan minat pelajar terhadap konsep STEM. Dapatan ini akan digunakan bagi menilai keberkesanan FLTL sebagai medium pendedahan awal STEM di peringkat prasekolah.
Pelaksanaan FLTL dan Program STEM@Kelantan 2025 turut mencerminkan semangat keprihatinan warga UTM Kuala Lumpur dalam menjayakan agenda universiti di bawah moto “Kerana Tuhan untuk Manusia.” Inisiatif ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi berteraskan pendidikan pintar, sejajar dengan aspirasi UTM untuk terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui pendekatan ilmu yang lestari dan inklusif.

Majlis perasmian dan penyerahan rasmi FLTL ke-7 kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Marak telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Kecerdasan Buatan, Prof. Ts. Dr. Mohd Naz’ri Mahrin, dan disaksikan oleh Penasihat Program STEM@Kelantan, Prof. Emeritus Dato’ Ir. Ts. Dr. Zainai Mohamed.
Kewujudan FLTL ini menandakan komitmen berterusan Pasukan Adopt a Kampung dalam memperluas akses pendidikan STEM kepada generasi muda di peringkat akar umbi, sekali gus mengukuhkan peranan UTM sebagai universiti yang memimpin transformasi pendidikan komuniti melalui sains dan teknologi.

Oleh Dr. Hayati @ Habibah Abdul Talib dan Prof. Madya Ts. Dr. Roslina Mohammad, Fakulti Kecerdasan Buatan, UTM Kuala Lumpur