November 24, 2025

SHAH ALAM, 31 Okt. ─ Mizu Paint, hasil ciptaan kumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dinobat sebagai penerima Anugerah Khas Inovasi Produk Terbaik sempena Anugerah Inovasi Negeri Selangor 2025, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai inovasi hijau yang berimpak tinggi kepada industri pembinaan negara.

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, pada Majlis Apresiasi Negeri Selangor 2025 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Majlis tersebut turut meraikan pemenang-pemenang lain termasuk Anugerah Khas Inovasi Digital Terbaik serta lapan kategori Anugerah Inovasi Negeri Selangor yang lain.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; EXCO Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Mohd Yazid Sairi; serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri.

Mizu Paint yang diterajui pengasasnya, Ts. Dr. Hajjah Rozzeta Dolah CEng, Pensyarah Kanan di Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) UTM, merupakan cat penyerap karbon dioksida (CO₂) pertama di dunia yang direka khusus untuk menyokong agenda pembinaan lestari serta mitigasi perubahan iklim global. Produk ini dihasilkan selepas melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang panjang oleh sekumpulan penyelidik dari UTM.

Ts. Dr. Hajjah Rozzeta bersama YAB Dato’ Seri Amirudin (kiri sekali)

Pembangunan Mizu Paint bermula daripada aspirasi untuk menghasilkan bahan binaan yang bukan sekadar mesra alam, malah mampu memainkan peranan aktif dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Proses pembangunan produk ini melibatkan pelbagai peringkat ujian teknikal, termasuk aspek keselamatan, ketahanan, dan keberkesanan penyerapan karbon, bagi memastikan ia memenuhi piawaian ketat industri pembinaan antarabangsa.

Mizu Paint sebelum ini mendapat perhatian di peringkat nasional apabila dipamerkan pada Pameran Industri Pembinaan dan Binaan Antarabangsa Malaysia (BuildXpo) 2024, anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan kerjasama Qube Integrated Malaysia Sdn. Bhd.

Pameran tersebut berperanan sebagai platform strategik bagi memperkenalkan inovasi baharu dan teknologi hijau kepada pemain industri tempatan serta antarabangsa.

Penyertaan Mizu Paint dalam BuildXpo telah memberi impak besar terhadap proses penambahbaikan produk itu, selain membuka peluang jaringan usaha sama dengan pelbagai pihak industri. Menerusi maklum balas pengguna, penyelidik dapat memperhalusi formulasi cat agar lebih berkesan dan memenuhi keperluan pasaran.

Ts. Dr. Hajjah Rozzeta (kiri sekali) bersama pasukan Mizu Paint dan Tuan Boniface Anak Edwin Manung, Setiausaha Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan (R&D), MOSTI 

Proses penghasilan dan pembangunan produk ini turut mendapat sokongan CIDB dalam memastikan Mizu Paint menepati piawaian teknikal dan keperluan keselamatan yang ditetapkan bagi bahan binaan hijau. Pengiktirafan daripada agensi berkenaan turut membantu memperkukuh kedudukan Mizu Paint sebagai salah satu inovasi tempatan yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan di pasaran tempatan dan serantau.

MIZU Paint juga telah menerima piawaian industri pada 29 Oktober lalu daripada CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan) di bawah SustainBuild Mark (SB Mark): Kategori: Jejak Karbon (Carbon Footprint). Pensijilan SB Mark mengiktiraf kecemerlangan dalam pembinaan mampan, menilai prestasi ESG dan selaras dengan piawaian ISO 14024.

Kini, Mizu Paint disasarkan menjadi peneraju dalam penghasilan bahan binaan mampan di Malaysia dengan tumpuan terhadap pasaran pembinaan hijau. Ia bukan sahaja berupaya mengurangkan jejak karbon dalam sektor pembinaan, tetapi juga menyokong aspirasi negara ke arah pembangunan rendah karbon dan masa depan yang lebih lestari.

Kejayaan ini membuktikan kemampuan universiti tempatan seperti UTM dalam melahirkan inovasi yang bukan sekadar bersifat akademik, malah mampu diterjemahkan dalam bentuk produk berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri.

 

*Ihsan gambar utama daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor

Explore More

UTM Open Day