November 16, 2025

Inspirasi guru-guru SK Asli Johor dalam pembelajaran matematik dan kenali budaya

Pendidikan inklusif ialah pendekatan pendidikan yang menekankan penyertaan semua murid tanpa mengira latar belakang, keupayaan, jantina, etnik, agama atau status sosioekonomi dalam sistem pendidikan yang sama. Pendekatan ini bertujuan memastikan setiap murid mendapat peluang pembelajaran yang adil dan berkualiti dalam persekitaran yang menghargai perbezaan individu serta memperkukuh keupayaan sistem pendidikan untuk menjangkau semua murid. Ia merangkumi kanak-kanak kurang upaya, mereka daripada kumpulan minoriti atau terpinggir serta yang menghadapi kekurangan sosial, bahasa atau ekonomi.

Dalam kelas matematik inklusif, guru menggunakan pelbagai cara untuk mewakili konsep seperti visual, lisan dan sentuhan, menyediakan sokongan rakan sebaya serta membenarkan penilaian yang fleksibel supaya semua murid, termasuk mereka yang mempunyai masalah pembelajaran atau halangan bahasa, dapat terlibat secara bermakna. Kumpulan penyelidikan Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah telah menganjurkan bengkel Focus Group Discussion bersama sekumpulan guru matematik dari lima buah Sekolah Kebangsaan (Asli) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor. Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Tereh, SK Seri Sedohok, SK Punan, SK Kampong Layau dan SK Sayong Pinang.

Prof. Madya Dr. Abdul Halim (berdiri) bersama sebahagian peserta bengkel

Bengkel ini bertujuan mendapatkan kesepakatan peserta terhadap kandungan kit pembelajaran berasaskan etnomatematik yang dibangunkan melalui model pembelajaran 5E — Engage (Penglibatan), Explore (Penerokaan), Explain (Penerangan), Elaborate (Penghuraian) dan Evaluate (Penilaian). Etnomatematik merujuk kepada pembelajaran yang menggabungkan matematik dengan budaya, dan dalam kajian ini ia berasaskan budaya masyarakat Orang Asli Jakun di Johor. Bengkel tersebut diadakan selama dua hari, iaitu pada 29 dan 30 Oktober 2025 di ibis Styles Johor Iskandar Puteri, dengan penyertaan Pengarah JAKOA Negeri Johor, Faisal Long.

Ahli kumpulan projek ini terdiri daripada Prof. Dr. Lokman Mohd Tahir, Prof. Madya Dr. Nor Hasniza Ibrahim, Dr. Mohamad Ikram Zakaria, Dr. Roslizam Hassan dan Siti Noraini Mohd Zali dari FEST, serta Dr. Umar Haiyat Abdul Kohar dari Fakulti Pengurusan UTM. Empat orang pelajar pascasiswazah FEST turut terlibat dalam kajian ini iaitu Nurain Nadhirah Mohamad, Ahmad Adib Rosdi, Angela Ee Si Jie dan Muhammad Harith Mohd Khairi. Projek ini turut dijalankan dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara (JWN). Bengkel dua hari tersebut telah memperoleh banyak maklumat berguna bagi pembangunan kit pembelajaran untuk murid Orang Asli. Antara elemen budaya yang diketengahkan dalam kit pembelajaran termasuklah sumpitan, anyaman, tarian sewang, kercang serta aktiviti harian masyarakat Orang Asli seperti menjala ikan dan berkebun.

Salah satu aktiviti etnomatematik yang terkandung dalam kit pembelajaran

Saerah Jantan dari SK Pengkalan Tereh, yang berkhidmat sejak 2007, menyatakan bahawa pembelajaran berasaskan etnomatematik merupakan satu usaha yang baik kerana konsep matematik dapat dikaitkan dengan budaya dan persekitaran murid. Namun, murid Orang Asli kini banyak terdedah kepada persekitaran luar, dan ada budaya yang mungkin tidak lagi mereka kenali. Oleh itu, aktiviti etnomatematik ini dapat memperkenalkan semula budaya nenek moyang kepada generasi masa kini.

Walau bagaimanapun, masih terdapat budaya yang kekal diamalkan hingga hari ini, seperti tarian sewang yang mengandungi konsep matematik tertentu di sebaliknya. Menurut beliau lagi, pelbagai program intervensi telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti PIKAP, iaitu Kurikulum Program Intervensi Khas Murid Orang Asli dan Peribumi, serta Modul Bimbingan (MOBIM) bagi tujuan pemulihan. Namun, melalui aktiviti seperti ini, budaya masyarakat Orang Asli dapat lebih diserlahkan.

Pandangan Saerah turut disokong oleh Kamarul Azami Kamasani, guru di SK Punan, yang menyatakan bahawa budaya kercang dan sumpit kini kurang dikenali oleh murid Orang Asli. Dengan adanya kit pembelajaran etnomatematik ini, budaya tersebut dapat diperkenalkan semula bukan sahaja kepada generasi murid Orang Asli masa kini tetapi juga kepada masyarakat Malaysia secara umum.

Selain itu, pembelajaran berasaskan etnomatematik ini turut selari dengan sifat murid Orang Asli yang cenderung kepada aktiviti berbentuk hands-on. Abd Rahim Abd Rahman Teoh dari SK Sedohok, yang telah berkhidmat sejak 2018 dan merupakan lulusan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan iaitu IPG yang mempunyai pengambilan khas pelajar Orang Asli sebagai bakal guru di sekolah pribumi, mencadangkan agar aktiviti etnomatematik yang menggabungkan budaya Orang Asli dengan matematik dapat diperkasakan melalui teknologi digital memandangkan Sekolah Kebangsaan Orang Asli (SK Asli) kini dilengkapi dengan kemudahan seperti smart television dan smart board.

Siti Amirah Asmuni, guru di SK Kampung Layau yang telah berkhidmat selama 18 tahun di SK Asli, berpendapat bahawa pembelajaran berasaskan etnomatematik sangat segar dan memenuhi keperluan murid Orang Asli pada masa kini. Beliau mencadangkan agar aktiviti permainan dam disesuaikan dengan budaya Orang Asli, contohnya menggantikan ular dan tangga dengan sumpit serta berlatarbelakangkan perkampungan masyarakat Orang Asli.

Selain itu, beliau turut mencadangkan aktiviti menggunakan lidi daripada daun kelapa dimasukkan kerana pokok kelapa merupakan antara tanaman utama di perkampungan Orang Asli, khususnya di negeri Johor.

Di akhir bengkel tersebut, selain pelbagai input positif yang diterima untuk memperkemas kandungan kit pembelajaran itu, guru-guru SK Asli turut mencadangkan agar kit tersebut bukan sahaja digunakan oleh murid Orang Asli, tetapi juga oleh murid di sekolah arus perdana bagi memperkenalkan budaya Orang Asli, khususnya di negeri Johor.

Oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia

Explore More

UTM Open Day