November 16, 2025

Hari Penamaan Calon PMPP UTM Sesi 2025/2026 cermin semangat demokrasi mahasiswa

JOHOR BAHRU, 27 Okt. — Hari Penamaan Calon bagi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Sesi 2025/2026 berlangsung dengan lancar di Dewan Premier Sarawak, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM Johor Bahru.

Sebanyak 63 kerusi menjadi rebutan mahasiswa UTM bagi merebut peluang bergelar Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), dengan proses pengundian dijadualkan berlangsung pada 3 November 2025. Daripada jumlah tersebut, tujuh kerusi diperuntukkan bagi kategori Umum, manakala baki 56 kerusi dikhaskan untuk peringkat fakulti.

Penyertaan pada tahun ini mencatatkan jumlah tertinggi sejak PMPP diperkenalkan, menggambarkan peningkatan kesedaran sivik, semangat kepimpinan serta kematangan pelajar terhadap budaya demokrasi kampus. PMPP UTM 2025/2026 diharap dapat dilaksanakan dengan lebih inklusif dan demokratik, sekali gus memperkukuh penyertaan mahasiswa dalam proses pilihan raya serta menanam nilai tanggungjawab dan integriti dalam kalangan generasi muda kampus.

Hari Penamaan Calon menjadi medan awal bagi calon yang telah membeli borang pencalonan untuk hadir mendaftar serta menyerahkan dokumen sokongan sebelum melalui sesi temu duga bersama Pengurus Kawasan masing-masing, sama ada bagi kerusi umum mahupun fakulti. Proses ini berperanan memastikan setiap calon memenuhi syarat kelayakan, memahami tatacara pilihan raya, serta bersedia memikul amanah kepimpinan seperti yang digariskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP).

Setiap calon diwajibkan membayar wang cagaran sebanyak RM100 bagi kerusi umum dan RM50 bagi kerusi fakulti. Wang cagaran tersebut akan dikembalikan dalam tempoh tujuh hari bekerja selepas keputusan rasmi diumumkan, tertakluk kepada pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan PMPP. Untuk rekod, tiga kerusi fakulti telah diisytiharkan menang tanpa bertanding selepas tamat tempoh penamaan calon.

Taklimat pengurus kawasan
Calon menjalani proses pendaftaran dan semakan borang penamaan calon
Calon membuat pembayaran wang cagaran semasa sesi pendaftaran

Kepimpinan tertinggi JPMPP UTM bagi Sesi 2025/2026 diterajui oleh Muhammad Aiman Alif Zaidi selaku Pengerusi, dibantu oleh Naib Pengerusi serta tiga orang Timbalan Pengerusi yang memimpin portfolio berbeza. Timbalan Pengerusi (Pengurusan) bertanggungjawab menyelia Unit Perlembagaan, Korporat dan Perhubungan Luar, Dokumentasi serta Penerbitan; Timbalan Pengerusi (Aktiviti) pula mengurus Unit Operasi dan Protokol, Multimedia serta Publisiti; manakala Timbalan Pengerusi (Teknikal) mengendalikan Unit Teknikal dan Logistik, Keselamatan dan Tugas Khas serta Unit Sistem.

Bagi memastikan kelancaran proses pengundian, sebanyak 13 pusat mengundi akan dibuka di seluruh fakulti, termasuk 11 pusat di kampus Johor Bahru dan tiga di arked utama universiti. Dua pusat mengundi tambahan turut disediakan di UTM Kuala Lumpur bagi memudahkan warga kampus menunaikan tanggungjawab mereka pada 3 November nanti.

JPMPP merupakan badan pelaksana yang dilantik oleh pihak universiti bagi mengurus keseluruhan proses pilihan raya kampus secara profesional, telus, dan demokratik. Jawatankuasa ini dianggotai oleh 51 orang mahasiswa UTM, merangkumi 36 wakil dari kampus Johor Bahru dan 15 dari kampus Kuala Lumpur.

Pihak UTM dan JPMPP berharap agar seluruh warga kampus dapat menjayakan proses pengundian dengan penuh semangat demokrasi, menjunjung nilai integriti dan tanggungjawab sivik dalam memilih barisan kepimpinan pelajar. Pelaksanaan pilihan raya ini diharap bukan sahaja melahirkan barisan MPP yang berwibawa, tetapi juga memperkukuh budaya kepimpinan, kebertanggungjawaban, dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa UTM.

Calon melalui sesi temu duga bersama Pengurus Kawasan bagi melengkapkan proses penamaan calon

Explore More

UTM Open Day