November 16, 2025

Fiesta UTM Kuala Lumpur 2025 semarak semangat kebersamaan dan kekitaan

KUALA LUMPUR, 2 Okt. – Padang dan Dataran Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Kuala Lumpur bergema dengan sorakan keceriaan apabila Fiesta UTM Kuala Lumpur 2025 berlangsung dengan penuh semangat dan warna-warni, menghimpunkan warga kampus dalam suasana kekeluargaan yang meriah.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin, yang menjalankan fungsi sebagai Ketua Kampus UTM Kuala Lumpur. Turut hadir memeriahkan acara ialah Dato’ Prof. Emeritus Ir. Ts. Dr. Zainai Mohamed, Ahli Lembaga Pengarah UTM; Nasir Osman, Ketua Pentadbiran UTM Kuala Lumpur; serta barisan pengurusan tertinggi universiti yang bersama-sama meraikan semangat perpaduan dan kebersamaan warga UTM.

Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin yang menjalankan fungsi Ketua Kampus UTM Kuala Lumpur merasmikan Fiesta UTM Kuala Lumpur 2025 bersama Dato’ Prof. Emeritus Ir. Ts. Dr. Zainai Mohamed, Nasir Osman dan Zurik Azham

Fiesta ini menghimpunkan seramai 517 warga UTM Kuala Lumpur dan merupakan evolusi daripada Hari Keluarga UTMKL. Dengan wajah baharu yang lebih segar, program ini berperanan sebagai platform memperkukuh ukhuwah, menyemai semangat kekitaan serta membina keseimbangan antara kehidupan dan kerjaya dalam suasana santai serta mesra.

Kumpulan Tok Janggut di salah sebuah khemah peserta
Kumpulan Mat Kilau antara pasukan yang tampil mencuri tumpuan dalam menjayakan Fiesta UTM Kuala Lumpur 2025

Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin menekankan bahawa fiesta ini digerakkan dengan tiga objektif utama, iaitu memperkukuh sinergi berpasukan, meningkatkan keterlibatan staf dalam aktiviti riadah dan sukan, serta menyemai kesejahteraan diri dan keseimbangan hidup (work-life balance).

“Kekuatan sebenar sesebuah organisasi tidak hanya terletak pada individu, tetapi pada kerjasama dan perpaduan. Hari ini kita bukan sekadar beriadah, tetapi menzahirkan semangat kebersamaan, mempertaut silaturahim, dan menyuburkan budaya kerja positif,” ujar beliau ketika berucap di hadapan warga UTM Kuala Lumpur.

Pelbagai aktiviti sukan rakyat yang mencuit hati dan mengimbau nostalgia turut dianjurkan, antaranya tarik tali, galah panjang, tarik upih, lompat getah, pancing botol dan terompah gajah. Setiap aktiviti bukan sekadar hiburan, tetapi mencerminkan nilai kerjasama, strategi dan semangat berpasukan yang menjadi teras kecemerlangan warga UTM.

Aksi penuh gelak tawa dan semangat warga UTM Kuala Lumpur dalam pertandingan sukan rakyat di Fiesta UTM Kuala Lumpur 2025

Kemeriahan semakin menyerlah apabila para peserta berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik dan cabutan bertuah. Suasana ceria ini menjadikan fiesta bukan sahaja ruang untuk berhibur, tetapi juga medan mencipta kenangan manis serta mengeratkan hubungan antara rakan sekerja.

Prof. Dr. Shamsul menyaksikan semangat dan keceriaan warga UTM Kuala Lumpur yang menjayakan Fiesta UTM Kuala Lumpur 2025

Fiesta UTM Kuala Lumpur 2025 sekali lagi membuktikan kekuatan komuniti UTM sebagai sebuah keluarga besar yang saling menghormati, menyokong dan meraikan kebersamaan. Program ini bukan sahaja menzahirkan semangat kerja berpasukan, tetapi turut mencerminkan budaya organisasi yang harmoni, progresif dan sejahtera, sejajar dengan aspirasi UTM sebagai universiti unggul yang membina insan serta memaknai kemanusiaan.

Explore More

UTM Open Day