November 16, 2025

Fiesta OSHE Fakulti Sains UTM tarik lebih 350 peserta perkukuh budaya keselamatan dan kelestarian kampus

JOHOR BAHRU, 14 Okt. – Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menganjurkan Fiesta OSHE Fakulti Sains 2025 pada 13 dan 14 Oktober lalu, iaitu sebuah program komprehensif yang memberi penekanan terhadap aspek keselamatan, kesihatan pekerjaan dan kelestarian alam sekitar.

Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga universiti, sekali gus memupuk budaya pencegahan dan pengurusan risiko yang lebih proaktif di kampus. Fiesta OSHE FS 2025 turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) melalui tiga fokus utama iaitu SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), SDG 8 (Pekerjaan Sesuai dan Pembangunan Ekonomi) serta SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab).

Reruai pameran menarik perhatian peserta dengan pelbagai bahan pendidikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan

Fiesta tahun ini menampilkan pelbagai aktiviti bermanfaat termasuk webinar ilmiah, sesi perkongsian profesional, reruai pameran, kempen derma darah dan simulasi kecemasan. Pendekatan pelbagai aktiviti ini berjaya menarik penyertaan pelajar dan staf dari pelbagai latar belakang, dengan tumpuan kepada aspek keselamatan serta pengurusan risiko di tempat kerja dan makmal.

Program ini merupakan anjuran bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) UTM, Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Kualiti Air UTM, Unit Pengurusan Bahan Kimia UTM, Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultan Ismail dan AmCen Lab Sdn. Bhd., menjadikan pelaksanaannya lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.

Peserta menunjukkan sokongan terhadap kempen derma darah
Sesi webinar turut mendapat sambutan

Antara pengisian utama yang mendapat perhatian ialah sesi webinar mengenai pendermaan darah, pengurusan tumpahan sisa buangan terjadual, kesediaan kecemasan, serta kesihatan mental. Setiap sesi dikendalikan oleh panel pakar dari UTM, agensi kerajaan dan industri yang berkongsi pandangan serta amalan terbaik berkaitan pematuhan undang-undang, penggunaan kelengkapan perlindungan diri (PPE), dan prosedur pengendalian sisa buangan secara selamat.

Selain itu, simulasi tumpahan sisa buangan terjadual yang dikendalikan oleh pasukan HAZMAT turut menjadi tumpuan ramai. Demonstrasi ini memberi pendedahan sebenar mengenai langkah pengawalan awal, teknik pembersihan selamat dan keperluan komunikasi pantas bagi mengurangkan risiko dalam situasi kecemasan makmal.

Kehadiran pasukan HAZMAT menarik minat peserta untuk mengenali prosedur keselamatan makmal
Demonstrasi simulasi tumpahan sisa buangan terjadual oleh pasukan HAZMAT

Menariknya, Fiesta OSHE tahun ini turut memperkenalkan aktiviti MindVenture: The Amazing Race 2025, yang menggabungkan cabaran fizikal dan mental bertemakan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental semasa krisis. Aktiviti interaktif ini bukan sahaja menguji kecekapan peserta, malah berjaya menyemai nilai empati, semangat kerjasama dan keprihatinan dalam komuniti universiti.

Menurut pihak penganjur, Fiesta OSHE bukan sekadar platform penyampaian ilmu, tetapi juga usaha berterusan untuk memupuk budaya keselamatan yang mampan dalam kalangan warga kampus. Pelbagai aktiviti interaktif dilaksanakan bagi menyampaikan mesej keselamatan secara lebih efektif, mudah difahami dan menarik minat peserta.

Fiesta OSHE Fakulti Sains 2025 melabuhkan tirainya dengan jayanya apabila berjaya menarik penyertaan sekitar 400 orang peserta yang terdiri daripada staf, pelajar dan komuniti luar. Secara keseluruhannya, program ini mendapat maklum balas yang amat positif dan diharap dapat diteruskan sebagai agenda tahunan dalam memperkukuh kesedaran keselamatan, kesihatan pekerjaan serta kelestarian alam sekitar di UTM.

Explore More

UTM Open Day