JOHOR BAHRU, 26 Okt – Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh komitmennya terhadap agenda kesejahteraan keluarga dan keselamatan komuniti melalui penganjuran Program Ibu Bapa Sejahtera, Anak Selamat (Siri 1) yang berlangsung di Dewan Masjid Sri Pulai, Johor Bahru.
Program ini dilaksanakan di bawah Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK) 5.0, kategori Kejiranan Selamat, diketuai oleh Dr. Nur Azmina Paslan dari FEST UTM.
Seramai 100 peserta yang terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak dari Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Taman Teratai, Taman Sri Pulai dan Taman Pulai Perdana telah menyertai program berimpak sosial ini. Pelaksanaan inisiatif ini memberi penekanan terhadap peningkatan literasi kesihatan mental, peranan keluarga dalam memelihara keselamatan anak, serta pengamalan gaya hidup sihat dan lestari ke arah pembentukan komuniti harmoni dan berdaya tahan.
Program berstruktur ini merangkumi pelbagai aktiviti seperti senamrobik keluarga, ceramah interaktif mengenai keselamatan kanak-kanak dan kesejahteraan psikososial, latihan dalam kumpulan (LDK) bagi memperkukuh komunikasi kekeluargaan, serta aktiviti mewarna untuk menggalakkan kreativiti dan keseimbangan emosi kanak-kanak.
Selain itu, kuiz interaktif turut diadakan sebagai elemen literasi kendiri serta menambah pengetahuan peserta tentang amalan keselamatan keluarga dan komuniti. Pendekatan menyeluruh ini mencerminkan usaha UTM dalam menyokong konsep keluarga sebagai unit perlindungan utama terhadap risiko tekanan psikososial dan penderaan kanak-kanak.

Selaras dengan agenda Kejiranan Selamat yang digariskan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), program ini turut mengintegrasikan elemen pencegahan risiko keselamatan melalui penglibatan aktif ibu bapa dan komuniti setempat.
Pengamalan gaya hidup sihat, keprihatinan terhadap keselamatan persekitaran, serta pembudayaan sokongan sosial menjadi teras kepada intervensi komuniti ini. Pendekatan tersebut seiring dengan aspirasi pembangunan Bandar Rendah Karbon Iskandar Puteri, yang menekankan kelestarian, kesejahteraan, dan keselamatan komuniti sebagai tunjang pembangunan masa hadapan yang berdaya tahan.

Menurut Ketua Program, Dr. Nur Azmina Paslan, inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh kerjasama ibu bapa dalam membangunkan ekosistem keluarga sihat, malah memperluas sokongan komuniti sebagai pelindung kesejahteraan dan keselamatan anak-anak.
“Program ini bertujuan memperkukuh kesejahteraan kesihatan mental ibu bapa melalui sokongan komuniti yang sihat, selamat dan berdaya tahan, selain memberi penekanan terhadap amalan gaya hidup sihat dalam keluarga,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sokongan komuniti memainkan peranan penting dalam menjamin kestabilan emosi dan keselamatan kanak-kanak, terutama dalam menghadapi cabaran dunia digital masa kini.


Penganjuran ini turut mendapat kerjasama erat daripada Masjid Taman Sri Pulai serta guru-guru Tabika KEMAS, yang menjadi tunjang penggerak dalam menjayakan aktiviti bersama komuniti setempat. Sinergi yang terjalin ini diyakini mampu memupuk budaya masyarakat yang lebih responsif, penyayang dan prihatin terhadap aspek keselamatan sosial serta kesejahteraan keluarga.
Kejayaan pelaksanaan Siri Pertama ini membuka laluan kepada penganjuran siri seterusnya yang bakal dilaksanakan secara lebih meluas. Inisiatif berterusan ini diharap dapat menjadikan komuniti Iskandar Puteri sebagai model kejiranan selamat yang holistik, sejahtera dan mampan.
