October 4, 2025

UTM lancar Menu Siswa Rahmah sempena perasmian Minggu Mesra Mahasiswa 2025/2026

JOHOR BAHRU, 30 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan unggul yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, malah mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa. Selaras dengan hasrat tersebut, Minggu Mesra Mahasiswa (3M) sesi 2025/2026 yang turut diserikan dengan pelancaran inisiatif Menu Siswa Rahmah bagi menawarkan hidangan seimbang pada harga berpatutan untuk para pelajar telah dirasmikan, hari ini. 

Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry, universiti tidak hanya berperanan melahirkan graduan berilmu, bahkan insan beradab, berakhlak dan berintegriti. Beliau menyatakan tiga asas utama yang perlu dipegang mahasiswa sepanjang tempoh pengajian iaitu adab terhadap ilmu, adab terhadap insan dan adab terhadap diri sendiri, sebagai tunjang kecemerlangan hidup berkampus.

“UTM beraspirasi untuk melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga memiliki jati diri kebangsaan dalam nilai sejagat. Semoga Minggu Mesra Mahasiswa ini memberi pengalaman bermakna, mengukuhkan ukhuwah, dan menjadi titik mula perjalanan yang penuh kejayaan serta mematangkan diri” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa moto universiti, Kerana Tuhan Untuk Manusia, adalah terjemahan jelas kepada misi UTM dalam membentuk mahasiswa berilmu yang mampu mengaplikasikan pengetahuan dengan penuh hikmah demi manfaat masyarakat dan negara.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, ketika sedang menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Minggu Mesra Mahasiswa di hadapan pelajar baharu

Minggu Mesra Mahasiswa yang diadakan saban tahun ini menjadi platform penting bagi pelajar baharu menyesuaikan diri dengan ekosistem kampus, memahami budaya ilmu, serta membina jaringan persahabatan dan kepimpinan. Pelbagai pengisian telah disusun termasuk taklimat akademik, program pembangunan sahsiah, selain aktiviti kebudayaan dan sukan yang dirangka bagi memastikan mahasiswa mendapat pengalaman holistik.

Program orientasi ini bukan sekadar pengenalan kepada universiti, sebaliknya medan untuk mahasiswa menghayati budaya UTM yang menitikberatkan keseimbangan antara ilmu, akhlak, kepimpinan dan kebajikan.

Muhammad Aqil Danial mengetuai bacaan ikrar pelajar baharu UTM sesi 2025/2026 dengan penuh semangat

Bersempena dengan perasmian 3M, UTM turut memperkenalkan inisiatif Menu Siswa Rahmah sebagai usaha konkrit membantu mahasiswa menangani cabaran kos sara hidup. Melalui inisiatif ini, sebanyak 14 kafe terawal tampil menyahut usaha murni tersebut dengan menawarkan menu seimbang pada harga RM5, sekali gus meringankan beban perbelanjaan dan memberi manfaat kepada hampir 9,000 pelajar yang dikenal pasti layak.

Pelaksanaan program ini dipermudah melalui aplikasi UTM Smart, di mana pelajar hanya perlu mengimbas kod QR untuk mengakses menu berkenaan. Bagi menjamin kelancaran pelaksanaan, universiti telah memperuntukkan sebanyak RM90,000 khusus bagi pembelian beras untuk tempoh enam bulan pertama, selain merancang pelbagai inisiatif kutipan dana bagi memastikan kesinambungan program pada masa hadapan.

Dalam majlis sama, pengusaha-pengusaha kafe yang menyokong inisiatif ini menerima sijil penghargaan daripada universiti, manakala pelajar terpilih menerima simbolik Kad Prihatin Siswa daripada Naib Canselor sebagai tanda kelayakan untuk membuat pembelian Menu Siswa Rahmah.

Antara pengusaha yang terlibat ialah Maju Sinar Gemilang (Arked Angkasa), ⁠Ala Enterprise (Arked Angkasa), ⁠Wawa Great Enterprise (Arked Angkasa), ⁠Jurr Enterprise (KDOJ Kiosk), ⁠NSK Masakan Melayu (Kiosk Blok D06), ⁠ZL Southern Enterprise (The Kave) (Arked Cengal), ⁠Kafe Khalisyah (Arked Cengal), ⁠Oriental Food Trading (Arked Cengal), ⁠Toksu Cafe (FABU), ⁠Shajarah Barakah (Kolej Tun Fatimah), ⁠Leeya Services (Kiosk Blok C17), ⁠East Coast Kitchen (Arked Lestari), ⁠A&Z Service – Eizzan Cafe (Arked Lestari), serta ⁠Tadah Embun Resource (Kolej Perdana).

Seorang pengusaha kafe menerima sijil penghargaan daripada UTM atas penyertaan dalam inisiatif Menu Siswa Rahmah
Seorang pelajar menerima simbolik Kad Prihatin Siswa sebagai tanda kelayakan pembelian Menu Siswa Rahmah

Menu Siswa Rahmah terbuka kepada pelajar kategori B40 serta mereka yang memerlukan sokongan kebajikan, dan akan mula ditawarkan di kafe-kafe terpilih bermula 6 Oktober ini.

Penggabungan dua agenda besar iaitu penganjuran Minggu Mesra Mahasiswa dan pelaksanaan Menu Siswa Rahmah sekali lagi membuktikan keprihatinan UTM dalam mendahulukan kebajikan warganya. Selain menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif dan inklusif, universiti berusaha memastikan setiap mahasiswa menikmati pengalaman kampus yang seimbang antara akademik, pembangunan diri dan kesejahteraan harian. Langkah ini mengukuhkan lagi imej UTM sebagai institusi berteraskan nilai, berpaksikan ilmu, dan berorientasikan kesejahteraan masyarakat, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Pelajar baharu bergambar bersama barisan pengurusan tertinggi universiti pada majlis perasmian Minggu Mesra Mahasiswa di DK7, N24

Explore More