ALOR GAJAH, 22 Sept. – Seramai 300 orang krew Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghadiri sesi libat urus dan amanat bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNCHEPA), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat di Kem Permata Resort, Alor Gajah, Melaka. Program yang berlangsung penuh semangat itu menjadi platform penting untuk memberikan panduan, motivasi dan hala tuju kepada barisan krew yang bakal menggalas amanah menyambut kedatangan pelajar baharu sesi akademik 2025/2026.
Dalam amanatnya, Prof. Ts. Dr. Ali menzahirkan penghargaan kepada semua sukarelawan yang sanggup meluangkan masa, tenaga serta komitmen tinggi demi memastikan kelancaran penganjuran MMM. Beliau turut menekankan bahawa penglibatan krew dari UTM Johor Bahru dan UTM Kuala Lumpur membuktikan semangat kebersamaan warga universiti dalam menjayakan agenda tahunan ini.


Menurut beliau, UTM akan menerima seramai 3,850 pelajar baharu pada sesi kali ini. Angka tersebut mencerminkan kepelbagaian latar belakang akademik dan sosio-budaya yang bakal mewarnai komuniti kampus. Dalam konteks itu, peranan krew MMM dilihat sangat signifikan kerana mereka merupakan barisan hadapan yang menyambut pelajar baharu dengan penuh keramahan dan semangat kekeluargaan.
“Krew MMM bukan sekadar petugas, tetapi duta UTM. Senyuman, layanan, dan sikap hormat anda akan menjadi cerminan budaya serta nilai universiti ini. Cara anda menyantuni pelajar baharu dan ibu bapa mereka akan membentuk tanggapan awal terhadap UTM,” tegasnya dalam sesi berkenaan.


Beliau turut mengingatkan bahawa tanggungjawab sebagai krew menuntut tahap disiplin tinggi serta profesionalisme dalam setiap aspek. Kehadiran tepat pada masa, penampilan yang kemas, penggunaan bahasa yang sopan serta komunikasi berhemah adalah elemen penting yang mesti ditonjolkan oleh setiap sukarelawan.
Selain aspek disiplin, faktor kesihatan juga ditekankan. Prof. Ts. Dr. Ali menegaskan bahawa krew MMM adalah tulang belakang yang menggerakkan program. Oleh itu, setiap individu perlu memastikan rehat yang mencukupi, menjaga pemakanan dan saling mengingatkan antara satu sama lain supaya sentiasa berada dalam keadaan cergas dan bertenaga.
Nilai kerjasama berpasukan turut diangkat sebagai kunci utama kejayaan. Beliau berpesan agar semua krew mengelakkan sikap mementingkan diri, mengawal emosi ketika berdepan tekanan serta membimbing pelajar baharu dengan penuh sabar. “Kita semua adalah satu keluarga yang mempunyai matlamat sama iaitu memastikan MMM berjalan lancar dan bermakna,” tambah beliau.

MMM yang menjadi tradisi saban tahun bukan sekadar minggu orientasi, sebaliknya merupakan wadah utama untuk menyantuni pelajar baharu. Melalui pengisian yang dirancang, mahasiswa akan didedahkan kepada budaya akademik, nilai murni, jaringan sokongan serta peluang pembangunan diri yang ditawarkan UTM. Program ini mencerminkan kesungguhan universiti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah seimbang dari aspek sahsiah dan kepimpinan.
Mengakhiri ucapan, Prof. Ts. Dr. Ali menzahirkan doa agar segala urusan dipermudahkan dan MMM sesi 2025/2026 berlangsung dengan jayanya. Beliau yakin pengalaman yang diperoleh sepanjang minggu tersebut akan menjadi kenangan bermakna, bukan sahaja buat pelajar baharu, malah juga buat krew yang telah berkorban masa dan tenaga demi universiti tercinta.
Oleh Muhamad Syafik Rahmat dan Muhamad Khairul Iman, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)