October 4, 2025

Nampak betul, tapi silap? Analisis penggunaan istilah dan frasa bahasa Melayu dalam penulisan abstrak tesis

Sebagai salah seorang ahli jawatankuasa akademik (JKA) Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), peranan utama saya ialah menyemak dengan teliti abstrak bahasa Melayu tesis pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) serta Sarjana Falsafah bagi mengelakkan sebarang kesulitan apabila ia dibentangkan di dalam Jawatankuasa Tetap Senat untuk diperakukan. Tambahan pula, saya merupakan salah seorang ahli jawatankuasa Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 2023-2030 (PTMBM 2023-2030) peringkat Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Sehubungan itu, saya akan cuba sebaik mungkin untuk menyemak abstrak bahasa Melayu untuk bakal graduan PhD dan Sarjana Falsafah FEST. Tulisan ini cuba berkongsi beberapa istilah yang barangkali kelihatan tepat dalam penggunaannya, namun sebenarnya silap. Istilah-istilah ini banyak dijumpai bukan sahaja dalam abstrak bahasa Melayu, tetapi juga dalam keseluruhan kandungan tesis yang dihasilkan dalam bahasa kebangsaan kita.

Pertama ialah penggunaan istilah “pernyataan” atau “penyataan” masalah. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), “pernyataan” merujuk kepada kenyataan, tulisan atau kata-kata bagi menzahirkan sesuatu perkara. Manakala “penyataan” lebih bersifat kata kerja atau perbuatan dalam menyatakan sesuatu. Oleh itu, dalam sesebuah abstrak mahupun kandungan tesis, istilah “pernyataan” masalah adalah lebih tepat dari segi penggunaannya. Kedua ialah, “mengenal pasti” yang sering ditulis sebagai “mengenalpasti”. Istilah ini biasa dijumpai dalam penulisan objektif kajian. Umpamanya, “kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian matematik dalam kalangan murid di kawasan luar bandar”. Dalam aspek perbincangan dapatan kajian misalnya, “faktor sosiekonomi dikenal pasti sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada pencapaian matematik murid di kawasan luar bandar”.

Ketiga ialah “pensampelan”, yang sering ditulis sebagai “persampelan”. Pensampelan merujuk kepada proses memilih sebahagian kecil daripada keseluruhan populasi untuk dijadikan perwakilan bagi tujuan kajian atau analisis. Misalnya dalam penulisan abstrak, “kajian ini menggunakan pensampelan rawak dalam memilih responden yang yang mewakili populasi dalam kajian ini”.

Keempat ialah “pemboleh ubah” kajian yang kerap ditulis sebagai “pembolehubah”. Terdapat jarak antara “pemboleh” dengan “ubah”. Manakala bentuk kata ganda yang tepat bagi pemboleh ubah ialah pemboleh ubah – pemboleh ubah, dan bukannya pemboleh-pemboleh ubah. Pemboleh ubah atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai variable merujuk kepada sesuatu yang boleh berubah-ubah atau mengambil nilai yang berbeza dalam satu kajian atau eksperimen. Contohnya dalam penulisan abstrak, “kajian ini melibatkan dua pemboleh ubah bersandar dan tiga pemboleh ubah tidak bersandar”.

Istilah seterusnya ialah “reka bentuk” kajian, yang selalunya ditulis sebagai “rekabentuk” kajian terutamanya dalam penulisan abstrak dan bab tiga tesis yang menghuraikan metodologi kajian. Begitu juga dengan istilah “latar belakang masalah” yang kadang kala ditulis sebagai “latarbelakang masalah” terutamanya dalam penulisan bab satu.

Dari aspek frasa yang sering silap digunakan termasuklah “Terdapat banyak kajian-kajian” dan “Banyak kajian-kajian terdahulu”. Misalnya, “terdapat banyak kajian-kajian terdahulu mendapati murid sekolah rendah yang memiliki konsep asas matematik yang lemah gagal menguasai konsep matematik apabila melangkah ke peringkat sekolah menengah”. “Banyak kajian” sudah memadai untuk menunjukkan jumlah yang banyak. Untuk frasa “saling melengkapi” dan “saling melengkapi antara satu sama lain”, frasa “saling melengkapi” sudah lengkap kerana perkataan saling sendiri membawa maksud tindakan yang dilakukan secara timbal balik antara dua pihak atau lebih. Manakala “saling melengkapi antara satu sama lain” dianggap berlebihan kerana saling sudah membawa maksud timbal balik, manakala “antara satu sama lain” hanya mengulang maksud yang sama. Contohnya dalam penulisan abstrak, “data kualitatif dan kuantitatif yang diperoleh saling melengkapi untuk memberikan gambaran menyeluruh tentang keberkesanan intervensi yang dilaksanakan”.

Selain itu, menurut DBP juga, kedua-dua frasa “di kalangan” dan “dalam kalangan” sebenarnya betul, namun bentuk yang lebih tepat ialah “dalam kalangan.” Hal ini kerana kata sendi nama “dalam” digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa maksud lingkungan atau kumpulan tanpa merujuk kepada sesuatu tempat yang mempunyai ruang fizikal. Sebaliknya, kata sendi nama “di” digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan lokasi atau tempat tertentu. Contoh penulisan abstrak yang tepat ialah “terdapat peningkatan markah matematik dalam kalangan peserta kajian kumpulan eksperimen berbanding peserta kajian dalam kumpulan kawalan”.

Kesimpulannya, walaupun penggunaan istilah dan frasa yang dibincangkan di atas ini tampak betul, namun sebagai rakyat Malaysia yang bangga dengan bahasa kebangsaannya, penggunaan istilah dan frasa yang tepat melambangkan betapa kita menjiwai bahasa yang menjadi nadi perpaduan rakyat Malaysia. Sekiranya negara-negara tertentu berbangga dengan bahasa kebangsaan masing-masing, mengapa kita tidak mempunyai sikap yang sama terhadap bahasa kebangsaan kita sendiri? Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan memperjuangkan dan memartabatkan bahasa kebangsaan kita sendiri.

Oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, UTM

Explore More