KUALA LUMPUR, 26 Sept.– Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak (SMKPT) dan artis mural, MILE09 telah melaksanakan satu projek mural interaktif bertemakan Kecerdasan Buatan (AI). Inisiatif ini merupakan projek dibawah Dana Program Pemindahan Ilmu – Geran Teknologi Penyelidikan (KTP-RIG), Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) yang diketuai oleh Dr. Nuraihan Ismail, Pensyarah Kanan Program Sarjana Muda Sains (Rekabentuk Industri) dengan kepujian (SRTIH), FAI UTM.
Projek ini bukan sahaja menambah nilai estetika pada persekitaran sekolah, malah berfungsi sebagai medium pendidikan visual yang memperkenalkan konsep asas AI kepada pelajar. Mural yang dilukis memaparkan elemen seperti otak manusia, realiti maya (VR), robotik, dan aplikasi teknologi pintar yang mudah difahami oleh komuniti sekolah.
Selain penghasilan mural, projek ini turut merangkumi bengkel kemahiran melukis mural menggunakan teknik spray paint. Seramai empat orang pelajar SRTIH UTM bersama enam orang pelajar Pendidikan Seni Visual SMKPT diberi pendedahan kepada teknik asas dan lanjutan, termasuk pemilihan warna, penggunaan gradient, serta aspek keselamatan.

Menurut Dr. Nuraihan, projek ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengasah kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerja berpasukan, dan kepimpinan. “Kami mahu mural ini bukan sekadar hiasan, tetapi menjadi pencetus minat pelajar terhadap teknologi AI dan bidang STEM sejak awal lagi,” jelas beliau.
Proses penghasilan mural ini dilaksanakan secara berfasa iaitu melibatkan bengkel spray paint, penyediaan permukaan dinding dimana dinding Blok A sekolah dibersihkan, cat lama yang terkelupas dikikis, sebelum dilapisi cat dasar (undercoat) berwarna putih untuk memastikan warna mural lebih menyerlah, tracing lakaran digital iaitu reka bentuk mural bertemakan AI diunjurkan ke dinding bagi tujuan tracing dengan garisan asas berwarna merah. Elemen utama seperti otak, tangan robotik, dan imej VR dilakar. Pelajar mula mengisi warna latar dan imej mural menggunakan teknik spray paint. Gabungan warna terang dan gradient digunakan bagi menghasilkan kesan visual yang menarik, seterusnya sentuhan akhir (finishing and touch up) dilakukan dengan memperkemaskan garisan, menambah bayangan dan highlight, serta menandatangani mural dengan grafiti “SMK Padang Tembak”, “MILE09 X UTM Industrial Design” sebagai identiti projek.




Projek ini juga dipantau oleh pegawai CCIN, UTM Kuala Lumpur, Sohailah Safie yang hadir meninjau perjalanan serta menilai hasil mural yang telah siap. Kehadiran wakil CCIN membuktikan sokongan universiti dalam memastikan keberkesanan projek pemindahan ilmu ini kepada komuniti sekolah.

Selain memperindah ruang sekolah, mural ini menjadi medium pendidikan visual yang memperkenalkan asas teknologi AI kepada pelajar. Visual yang dipamerkan bertujuan meningkatkan minat pelajar terhadap STEM dan seni, serta membuka ruang kepada aktiviti lanjutan seperti pertandingan mural menggunakan spray paint dalam kalangan pelajar.