JOHOR BAHRU, 11 Sept – Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan kesinambungan Program MasteryMind: Empowering Educators in Science and Mathematics (Siri 2) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru yang berlangsung di Bilik HELIxS, Fakulti Sains.
Siri kedua ini menghimpunkan seramai 35 guru Matematik Tingkatan 4 dan 5 dari pelbagai sekolah menengah sekitar Johor Bahru. Perkongsian ilmu dikendalikan oleh dua pensyarah pakar dari Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains UTM iaitu Prof. Madya Dr. Yeak Su Hoe dan Prof. Madya Dr. Nor Muhainiah Mohd Ali.

Antara cabaran utama yang dikongsi oleh guru termasuklah kelemahan asas pelajar, kesukaran memahami istilah dan konsep asas, selain keterbatasan bahan bantu mengajar. Para guru juga berdepan dilema memilih kaedah paling berkesan agar murid pelbagai tahap dapat memahami sekaligus mengaitkan konsep Matematik dengan situasi kehidupan sebenar.
Bagi menjawab cabaran itu, pengisian program memberi tumpuan kepada empat bidang utama Matematik iaitu Kebarangkalian, Ketaksamaan Linear, Fungsi Trigonometri serta Transformasi. Melalui pendekatan pengajaran bersimulasi, penggunaan atur cara Python dan aktiviti interaktif, guru didedahkan kepada kaedah baharu yang relevan, praktikal serta berimpak tinggi untuk diaplikasikan terus di dalam bilik darjah. Lebih menarik, perisian Python boleh diakses secara percuma, justeru menggalakkan penggunaan secara meluas di sekolah.

Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan), Fakulti Sains UTM, Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek menegaskan, MasteryMind merupakan bukti komitmen fakulti dalam memperkasa jaringan akademik bersama sekolah.
“MasteryMind bukan sekadar perkongsian ilmu, tetapi platform strategik untuk menyokong guru-guru sebagai agen penggerak utama pendidikan STEM negara. Kami mahu memastikan kepakaran pensyarah UTM dapat terus sampai kepada barisan pendidik sekolah,” katanya.

Turut berkongsi kepakaran, Prof. Madya Dr. Nor Muhainiah yang juga Pengurus Akademik (Program Luar) Fakulti Sains UTM serta Naib Presiden Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA). Dalam sesi mendalami topik Fungsi Trigonometri, beliau menyatakan peranan asas dalam pembelajaran Matematik.
“Dalam Matematik, tangan kita adalah alat pertama untuk memahami konsep — daripada membentuk bayangan transformasi hingga mengukur sudut trigonometri. Melalui program ini, saya berharap guru-guru dapat ‘menghulurkan tangan’ mereka untuk membimbing generasi pelajar mencintai Matematik dengan lebih kreatif dan bermakna,” jelasnya.

Sesi perkongsian turut menerima respons positif daripada para guru. Seorang peserta menyatakan, sesi ini membuka peluang untuk melihat bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan dalam PdP.
“Kami dapat banyak idea baharu untuk mengaitkan Matematik dengan teknologi, sekali gus menarik minat pelajar dalam topik-topik tertentu,” katanya.
Seorang lagi guru pula menekankan manfaat sesi ini khususnya dalam topik Transformasi, Nisbah Trigonometri dan Kebarangkalian.
“Saya mendapat banyak ilmu baharu, namun untuk bahagian pengaturcaraan Python, saya masih belum mahir. Diharapkan ada program lanjutan selepas ini untuk memperkukuh pemahaman dalam topik lain,” katanya.
Moderator program, Dr. Noorehan Yaacob, pensyarah Jabatan Sains Matematik UTM turut menekankan nilai tambah program.
“Sesi ini bukan sahaja memberi peluang menimba ilmu, malah membuka ruang untuk bertanya, berkongsi pengalaman, serta berfikir bersama tentang pendekatan terbaik mendidik pelajar,” ujarnya.
Program MasteryMind diketuai oleh Dr. Nor Ain Husein dari Jabatan Fizik, Fakulti Sains UTM selaku Pengarah Program. Beliau menjelaskan bahawa inisiatif ini lahir daripada permintaan guru-guru yang mahu mengulang kaji topik tertentu bersama pensyarah universiti. Justeru, siri ini direka khusus bagi memperkukuh peranan guru sebagai multiplier agent dalam melahirkan generasi pelajar yang celik Sains, Matematik, Teknologi dan Kejuruteraan (STEM).

Pegawai SISC+ Sains & Matematik PPD Johor Bahru, Nora Abdul Jalil turut memuji usaha ini.
“Guru-guru sangat memerlukan sokongan sebegini. Dengan adanya kolaborasi UTM dan PPD, mereka lebih yakin untuk melaksanakan PdP yang kreatif, inovatif dan sesuai dengan cabaran semasa,” katanya.
Selepas bermulanya Siri 1 pada 20 Ogos lalu, MasteryMind akan diteruskan dengan tiga siri seterusnya tahun ini yang memberi tumpuan kepada subjek lain melibatkan pensyarah dari Jabatan Fizik, Jabatan Kimia dan Jabatan Biosains, Fakulti Sains UTM. Dengan kesinambungan itu, program ini diyakini mampu menjadi jambatan ilmu yang menghubungkan kepakaran universiti dengan komuniti pendidikan secara mampan.
Oleh Dr. Nor Ain Husein dan Dr. Noorehan Yaacob