JOHOR BAHRU, 11 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Unit Audit Dalam telah menganjurkan sebuah ceramah pengukuhan tadbir urus dalam perolehan bertajuk “Pakatan Harga dan Tipuan Bida dalam Perolehan Sektor Awam” yang berlangsung di Dewan Senat Ainuddin Wahid, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru. Program ini mendapat sambutan baik daripada warga universiti serta wakil universiti awam lain di Zon Selatan.

Sesi perkongsian disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), YBhg. Datuk Haji Iskandar bin Ismail. Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang persaingan pasaran dan pencegahan salah laku perolehan memberi penekanan terhadap isu-isu kritikal yang sering berlaku dalam proses tender dan kontrak sektor awam. Perkongsian beliau turut membuka ruang kepada peserta untuk memahami risiko, taktik, serta tanda-tanda awal yang boleh dikenal pasti dalam kes melibatkan salah laku perolehan.
Ceramah ini dianjurkan dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Kontrak, Jabatan Harta Bina dan Bahagian Perolehan, Jabatan Bendahari UTM. Kehadiran pegawai-pegawai yang terlibat secara langsung dalam proses perolehan menjadikan sesi ini lebih berfokus kepada keperluan sebenar universiti. Selain itu, turut hadir ialah Ketua-ketua Audit dan pegawai dari Bahagian Audit Dalam Universiti Awam Zon Selatan meliputi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


Dalam ceramah tersebut, isu pakatan harga dan tipuan bida dijelaskan secara mendalam. Pakatan harga atau price collusion merupakan perbuatan syarikat berpakat menentukan harga tawaran sebelum menyertai proses perolehan sehingga menyebabkan kerajaan membayar lebih tinggi daripada nilai pasaran sebenar. Manakala tipuan bida atau bid rigging pula melibatkan manipulasi proses tender melalui pelbagai cara seperti cover bidding (tawaran palsu bagi memastikan pihak tertentu menang), bid suppression (penarikan diri atau keengganan membida untuk memberi laluan kepada pihak lain), serta market allocation (syarikat berpakat membahagikan kawasan atau pelanggan agar tidak bersaing).
Menurut Datuk Haji Iskandar, amalan-amalan ini bukan sahaja merugikan kewangan kerajaan, malah turut menjejaskan reputasi organisasi serta menghakis kepercayaan masyarakat terhadap ketelusan sektor awam. Lebih serius lagi, ia boleh mengundang tindakan undang-undang di bawah Akta Persaingan 2010. Beliau menegaskan bahawa pengukuhan tadbir urus hanya dapat dicapai melalui pematuhan ketat terhadap garis panduan perolehan, latihan berterusan untuk pegawai perolehan, pemantauan serta audit dalaman yang sistematik, selain penyediaan saluran aduan atau whistleblowing yang selamat.
Sepanjang program, sesi soal jawab berlangsung secara interaktif dengan penglibatan aktif peserta. Ramai antara mereka mengambil peluang untuk bertanyakan isu semasa, berkongsi pengalaman, serta mendapatkan penjelasan secara terus daripada pihak MyCC. Kehadiran pegawai audit dan perolehan dari pelbagai peringkat telah menambah nilai kepada perbincangan, sekali gus memperlihatkan keprihatinan bersama terhadap usaha membanteras salah laku dalam perolehan.
Penganjuran ceramah ini mencerminkan iltizam Unit Audit Dalam UTM dalam memperkukuh integriti dan ketelusan pengurusan perolehan universiti. Dengan sokongan kepakaran daripada MyCC, program ini diyakini mampu memperkasakan warga UTM untuk berperanan lebih aktif dalam mengekang amalan tidak beretika serta menegakkan prinsip tadbir urus yang telus, berakauntabiliti dan berdaya saing.
Majlis berakhir dengan penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada Datuk Haji Iskandar, sebelum sesi bergambar bersama warga UTM diadakan sebagai kenangan.
Oleh Mayuzei Ujang dan Nurulsakina Saffif