Ketika Malaysia bersiap untuk membentangkan Belanjawan 2026 pada bulan Oktober ini, salah satu dasar yang sedang dipertimbangkan ialah menaikkan umur persaraan perkhidmatan awam kepada 65 tahun. Cadangan ini amat relevan di universiti awam, di mana persaraan profesor kanan boleh memberi kesan yang besar terhadap landskap akademik dan penyelidikan. Langkah ini dilihat bukan sekadar penyelarasan pentadbiran, tetapi sebagai strategi penting untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem pendidikan tinggi serantau dan antarabangsa.
Ketika ini, umur persaraan wajib bagi profesor ditetapkan pada 60 tahun, dengan sebahagian disambung melalui kontrak khas sehingga 65 atau 70 tahun bergantung kepada keperluan institusi dan prestasi individu. Walau bagaimanapun, pendekatan ini tidak seragam dan sering kali bergantung kepada budi bicara pentadbiran, menyebabkan ketidaktentuan dalam perancangan penyelidikan jangka panjang serta pembangunan akademik yang memerlukan kesinambungan kepakaran.


Menurut sumber Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), cadangan pelanjutan umur persaraan sedang dikaji secara menyeluruh, melibatkan pelbagai aspek termasuk kesan terhadap produktiviti akademik, laluan kenaikan pangkat pensyarah muda, keperluan kewangan institusi, serta impak terhadap penarafan universiti awam Malaysia di peringkat global. Artikel ini turut mengambil kira amalan terbaik antarabangsa dan keperluan untuk mengekalkan profesor berprestasi tinggi yang masih aktif menyumbang kepada bidang masing-masing.
Namun, jika dibandingkan dengan negara jiran dan negara maju, Malaysia dilihat agak konservatif dalam menetapkan umur persaraan profesor. Di Singapura, Indonesia dan Filipina, umur persaraan ditetapkan pada 65 tahun, manakala Thailand membenarkan pengecualian sehingga usia tersebut. Brunei dan Vietnam pula menetapkan antara 60 hingga 62 tahun. Negara-negara ini telah lama menyedari kepentingan mengekalkan tenaga akademik berpengalaman dalam sistem pendidikan tinggi mereka.
Negara maju pula mengambil pendekatan yang lebih fleksibel. Di Amerika Syarikat, Kanada dan Australia, tiada had umur persaraan mandatori ditetapkan. Profesor dibenarkan terus berkhidmat selagi mereka menunjukkan prestasi yang baik dan kekal produktif dalam bidang penyelidikan dan pengajaran. Di United Kingdom (UK) dan Jerman, umur persaraan lazimnya antara 65 hingga 67 tahun, dengan universiti ternama seperti Oxford dan Cambridge membenarkan profesor berkhidmat sehingga 69 tahun. Jepun menetapkan umur persaraan pada 65 tahun, manakala China menetapkan 60 tahun untuk lelaki dan 55 tahun untuk wanita, dengan sambungan sehingga 65 tahun dibenarkan bagi individu yang memenuhi kriteria tertentu.
Perbandingan ini menunjukkan bahawa Malaysia perlu menyemak semula dasar umur persaraan akademik agar selari dengan amalan global, terutamanya dalam usaha untuk meningkatkan daya saing dan reputasi institusi pengajian tinggi negara.
Cadangan pelanjutan umur persaraan profesor membawa pelbagai manfaat yang signifikan kepada pembangunan akademik negara. Antara yang paling utama ialah keupayaan untuk mengekalkan kepakaran dan pengalaman yang telah dibina selama puluhan tahun. Profesor yang berpengalaman bukan sahaja memainkan peranan penting dalam penyelidikan berimpak tinggi, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan tenaga akademik muda melalui bimbingan dan mentoring.
Selain itu, pelanjutan umur persaraan membolehkan kesinambungan projek penyelidikan jangka panjang yang lazimnya memerlukan masa bertahun-tahun untuk disiapkan. Dalam bidang seperti kejuruteraan, perubatan, sains sosial dan teknologi, projek penyelidikan yang kompleks tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat. Kehadiran profesor senior yang berpengalaman memastikan projek tersebut tidak terhenti secara tiba-tiba akibat persaraan mandatori.
Dari sudut jaringan antarabangsa, profesor yang telah lama berkhidmat lazimnya mempunyai hubungan kukuh dengan rakan penyelidik luar negara, badan pembiayaan antarabangsa dan institusi akademik ternama. Jaringan ini amat penting dalam usaha memperluas kolaborasi penyelidikan, menarik dana luar dan meningkatkan visibiliti Malaysia dalam komuniti akademik global.

Walaupun manfaatnya jelas, pelanjutan umur persaraan turut membawa beberapa cabaran yang perlu ditangani secara bijaksana. Antara yang paling ketara ialah potensi penyempitan peluang bagi profesor-profesor muda bagi menjawat jawatan pentadbiran utama di universiti. Jika peluang untuk menjawat jawatan-jawatan utama akan menjadi terhad, ini akan menjejaskan motivasi dan pembangunan kerjaya mereka. Walau bagaimanpun perlanjutan persaraan ini tidak menyekat promosi kenaikan profesor penuh di seluruh universiti awam disebabkan oleh penggunaan sistem merit, dan telah ditetapkan dan tidak bergantung kepada kekosongan profesor.
Selain itu, terdapat kebimbangan terhadap penurunan produktiviti selepas umur 60 tahun. Walaupun sesetengah profesor kekal aktif dan produktif, tidak semua menunjukkan prestasi yang konsisten. Dalam keadaan ini, pelanjutan umur persaraan secara menyeluruh mungkin tidak memberi pulangan yang setimpal kepada institusi.
Dari sudut kewangan, gaji profesor kanan lazimnya lebih tinggi berbanding pensyarah muda. Jika pelanjutan umur persaraan dilaksanakan tanpa mekanisme penilaian prestasi yang ketat, institusi mungkin berdepan dengan beban kewangan tambahan yang tidak produktif. Tambahan pula, dalam era teknologi yang pesat berubah, terdapat keperluan agar tenaga akademik sentiasa mengikuti perkembangan semasa. Sekiranya profesor kanan tidak bersedia untuk menyesuaikan diri dengan teknologi baharu, ia boleh menjadi penghalang kepada inovasi dan pembaharuan dalam pengajaran serta penyelidikan.
Oleh itu, bagi mengimbangi manfaat dan risiko, pendekatan pelanjutan bersasar dicadangkan sebagai langkah yang lebih praktikal dan berkesan. Pendekatan ini menekankan bahawa pelanjutan umur persaraan tidak seharusnya diberikan secara automatik kepada semua profesor, sebaliknya hanya kepada mereka yang memenuhi kriteria prestasi dan pengiktirafan tertentu.
Antara kumpulan yang wajar diberi keutamaan ialah profesor yang tergolong dalam kelompok Top 2% Saintis Global, iaitu mereka yang mempunyai rekod penerbitan dan sitasi tinggi serta diiktiraf oleh komuniti akademik antarabangsa. Pelanjutan kontrak boleh diberikan berdasarkan penilaian prestasi yang telus dan objektif. Selain itu, sokongan tambahan seperti dana penyelidikan, pasukan penyelidik muda dan pascakedoktoran perlu disediakan bagi memastikan profesor tersebut kekal produktif dan relevan.
Profesor yang dilanjutkan perkhidmatannya juga boleh memainkan peranan sebagai mentor kepada pensyarah muda, membantu mereka menghasilkan kajian berimpak tinggi dan membina kerjaya akademik yang mantap. Pendekatan ini bukan sahaja menjamin kesinambungan akademik, malah membina ekosistem penyelidikan yang lebih mampan dan berdaya saing.
Pelanjutan umur persaraan profesor elit penyelidikan dijangka memberi impak langsung terhadap kedudukan universiti awam Malaysia dalam penarafan QS World University Rankings (QS WUR). Penarafan ini menilai institusi berdasarkan lima komponen utama, iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi per fakulti, nisbah fakulti kepada pelajar, dan tahap pengantarabangsaan.
Profesor dalam kelompok saintis global menyumbang secara signifikan kepada tiga komponen utama yang reputasi akademik, sitasi dan jaringan antarabangsa. Ini merangkumi lebih 60 peratus daripada keseluruhan penilaian QS WUR. Oleh itu, mengekalkan profesor berprestasi tinggi dalam sistem akademik negara adalah langkah penting untuk meningkatkan kedudukan universiti awam Malaysia di peringkat antarabangsa.
Bertepatan dengan itu, cadangan untuk melanjutkan umur persaraan profesor ke 65 tahun bukan sekadar isu pentadbiran, tetapi merupakan pelaburan strategik untuk masa depan pendidikan tinggi negara. Dengan pendekatan bersasar yang memberi keutamaan kepada profesor berprestasi tinggi, Malaysia berpeluang mengekalkan bakat akademik bertaraf dunia, meningkatkan penerbitan dan sitasi global, serta mengangkat nama universiti awam dalam penarafan antarabangsa.
Langkah ini juga dilihat sebagai peluang untuk Malaysia bukan sahaja mengejar negara lain, tetapi melonjak sebagai pemain utama dalam landskap akademia global. Dalam era persaingan ilmu yang semakin sengit, dasar yang menyokong kesinambungan kepakaran dan penyelidikan adalah kunci kepada kemajuan negara.
Oleh Prof. Sr Gs. Dr. Mazlan Hashim, Pengerusi Majlis Profesor, UTM