BANGI, 9 Sept – Satu lagi pencapaian membanggakan buat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) apabila buku bertajuk Landskap Baharu KKP di Malaysia: Cabaran dan Strategi Pematuhan dilancarkan secara rasmi oleh Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor, Ir. Ahmad Jailani Mansor yang diwakili oleh Timbalan Pengarah JKKP Selangor, Mohd Hazlim Husain. Majlis pelancaran ini berlangsung pada 19 Ogos 2025 di Bangi Avenue Convention Centre bersempena dengan program 4th Conference on Innovation and Intervention for QHS2E Continual Improvement: Prevention Through Design. Pencapaian ini amat bernilai kerana UTM turut menerima pengiktirafan daripada Kementerian Sumber Manusia (JKKP Malaysia) sebagai salah sebuah Pusat Kecemerlangan KKP Kebangsaan, antara lima organisasi terpilih di seluruh negara.
Projek penerbitan buku ini mengambil masa hampir dua tahun hasil kajian mendalam oleh sekumpulan penyelidik berpengalaman dari Kumpulan Penyelidikan Keselamatan dan Kesihatan UTM yang diketuai oleh Dr. Kamarizan Kidam bersama penulis bersama Dr. Mimi Haryani Hassim, Dr. Hamidah Kamarden, Dr. Zalilah Sharer, Dr. Dinie Muhammad dan Dr. Mohd Fa’iz Ahmad.


Buku setebal 195 muka surat ini merupakan rujukan komprehensif yang membincangkan hala tuju terkini Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di Malaysia. Ia meneliti cabaran yang dihadapi industri serta mencadangkan strategi pematuhan yang praktikal. Antara fokus utama adalah perbandingan antara Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dengan Akta KKP 1994 (Pindaan) 2022, yang dilihat sebagai langkah penting kerajaan melalui JKKP Malaysia untuk menutup kelompongan akta terdahulu sekali gus meningkatkan tahap pencapaian KKP negara di semua sektor pekerjaan.
Selain itu, buku ini turut mengupas isu-isu semasa seperti perkembangan pesat teknologi, kemunculan bidang pekerjaan baharu termasuk gig ekonomi, serta contoh-contoh realistik berkaitan cabaran di lapangan. Penerbitan buku ini amat signifikan kerana ia adalah julung kali diterbitkan di Malaysia yang menghimpunkan perbahasan ilmiah dan praktikal berkaitan landskap baharu KKP. Buku ini diyakini bakal memberi manfaat besar kepada pelbagai pihak, termasuk institusi kerajaan, pihak industri (majikan dan pekerja), penguat kuasa, ahli akademik, penyedia latihan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Lebih membanggakan, pada 8 September 2025, buku ini turut mendapat perhatian di peringkat lebih tinggi apabila Timbalan Perdana Menteri II Malaysia, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof meluangkan masa meninjau dan menghargai penerbitan tersebut ketika beliau melawat tapak pameran UTM-Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) Pusat Integrasi Bendalir Minyak dan Gas (IFOG) sempena Persidangan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar Antarabangsa (ICChEE) 2025 yang berlangsung di UTM Hotel & Residensi, Kuala Lumpur. Pengiktirafan ini menambahkan lagi kredibiliti buku berkenaan sebagai rujukan utama dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan, sekali gus memperkukuh reputasi UTM di peringkat nasional dan antarabangsa.


Oleh Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim dan Nor Eman Ismail, UTM-MPRC Institute for Oil and Gas, UTM