JOHOR BAHRU, 6 Ogos – Jawatankuasa UTM Prihatin telah menganjurkan Majlis Hi-Tea & Penghargaan Sukarelawan UTM Prihatin bertempat di Dewan Banquet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim . Majlis ini julung kalinya diadakan khas untuk menzahirkan penghargaan terhadap jasa sukarelawan UTM Prihatin yang kini telah mencapai keahlian lebih daripada 300 orang.
Keanggotaan sukarelawan UTM Prihatin dalam kalangan staf UTM yang terdiri daripada pelbagai fakulti dan Pusat Tanggungjawab (PTJ) menggambarkan semangat ukhwah, kesepaduan, dan keprihatinan warga universiti dalam menjayakan pelbagai program dan aktiviti kesukarelawanan di UTM mahupun di luar kampus UTM.
Majlis ini dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), YBhg. Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah binti Mat Darus. Dalam ucapan perasmian, beliau menyokong sepenuhnya penubuhan Jawatankuasa UTM Prihatin yang bertindak sebagai jawatankuasa induk bagi menjalankan aktiviti dan program kebajikan staf, mahasiswa dan komuniti di luar kampus. Jawatankuasa UTM Prihatin ini ditubuhkan secara rasmi pada 22 Mac 2021 melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti.

“Saya melihat bahawa usaha (penubuhan jawatankuasa UTM Prihatin) ini dapat membina jati diri staf serta membuka minda semua untuk membudayakan semangat saling membantu antara satu sama lain di samping setiap kepakaran warga UTM yang ada juga boleh disalurkan untuk membantu komuniti.,” ujar beliau.
Beliau berharap agar jawatankuasa ini akan terus berkembang untuk memberikan khidmat di peringkat universiti dan juga komuniti luar secara berterusan selaras dengan aspirasi universiti sebagai institusi yang mendukung tanggungjawab sosial.

Turut diadakan pacara penyampaian sijil penghargaan kepada sukarelawan UTM Prihatin selain anugerah yang terdiri daripada 6 kategori , antaranya, Kategori Sukarelawan Harapan yang disandang oleh Encik Haironizam Mohamad. Kategori lain yang turut disampaikan adalah Kategori Outstanding Sukarelawan, Kategori Sukarelawan Awesome, Kategori Sukarelawan Mutiara, Kategori Sukarelawan Permata dan Kategori Sukarelawan Emas.
Turut hadir, Pengarah Pusat Islam UTM, Prof. Madya Dr. Ahmad Che Yaacob, merangkap Pengerusi UTM Prihatin, Pengarah Endowmen, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Robiah Hj. Suratman, Timbalan Pengarah Pusat Islam UTM, Dr. Naemah Hamzah, ahli jawatankuasa UTM Prihatin dan pengerusi persatuan serta wakil-wakil PTJ.


Majlis ini diharapkan dapat menyuntik semangat serta nilai ihsan dan keprihatinan khususnya dalam kalangan warga UTM untuk terus berkhidmat dan menyumbang tenaga dalam aktiviti-aktiviti kesukarelawan pada masa akan datang. Semangat kerjasama yang padu dalam sebuah pasukan ini selari dengan nilai sinergi yang merupakan salah satu daripada nilai teras UTM yang menjadi pegangan setiap warga UTM. Justeru itu, UTM Prihatin masih membuka penyertaan baharu kepada staf-staf yang berminat untuk turut sama menyumbang khidmat bakti kepada UTM dan komuniti setempat.