OSAKA, 26 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh agenda pemerkasaan mahasiswa di pentas global melalui Global Outreach Programme @ Japan – Kyoto Connect, Global Perspective Exchange, yang berlangsung pada 19 hingga 23 Ogos 2025 di Kyoto dan Osaka, Jepun. Program anjuran Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Perdana ini menghimpunkan seramai 15 orang mahasiswa UTM bersama tiga staf pengiring, dengan objektif untuk memperluas horizon pemikiran mahasiswa melalui penghayatan budaya, pertukaran akademik, dan penglibatan komuniti.
Pelaksanaan program ini mendapat sokongan padu daripada UTM dengan kerjasama Japan Da’wah Centre (JDC) serta sumbangan dari pelbagai pihak. Antara penaja yang turut memainkan peranan penting menjayakan program ini termasuk UTM International, Kolej Perdana, Tectra Sdn. Bhd., Sustainable & Innovation Engineering Sdn. Bhd., Top Bidder, Mazri Jaya Enterprise, Southern Power Generation Sdn. Bhd. (SPG), Neuron Dynamics Enterprise, Sinaran Sawit Enterprise, Leong Ann, HCS Agrochem Sdn. Bhd. dan YB Tuan Haji Onn Abu Bakar. Sumbangan ini menjadi pemangkin kepada usaha universiti melahirkan mahasiswa yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Sepanjang lima hari program, pelbagai pengisian bermanfaat telah dijalankan. Lawatan akademik ke Kyoto University memberi peluang kepada peserta untuk memahami budaya penyelidikan di salah sebuah institusi terkemuka Jepun. Perkongsian bersama Prof. Benjamin McLellan membuka ruang perbincangan tentang peluang penyelidikan dan pembelajaran rentas budaya, manakala sesi refleksi bersama Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Jasrul Jamani Jamian, Pengetua Kolej Perdana, menekankan aspek kepimpinan dan jati diri mahasiswa.

Selain itu, peserta turut menyelami keindahan warisan Jepun melalui lawatan ke Arashiyama Bamboo Grove, Gion, Kiyomizu-dera, Yasaka Pagoda dan Nishiki Market. Mereka juga menyertai aktiviti komuniti bersama JDC melalui program Street Da’wah di Nagai Park, Osaka, di samping mengadakan sesi perkongsian bersama masyarakat tempatan untuk mempromosikan pemahaman budaya dan agama.

Program ini bukan sekadar lawatan antarabangsa, tetapi menjadi medan pembentukan kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan dalam kalangan mahasiswa UTM. Pendedahan kepada nilai disiplin, kelestarian dan inovasi Jepun membina asas sahsiah yang utuh, sekali gus menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran dunia kerjaya.

Selain itu, ia turut berfungsi sebagai jambatan diplomasi budaya, mengeratkan hubungan Malaysia–Jepun di peringkat mahasiswa melalui platform akademik dan pertukaran budaya yang bermakna.
“Mahasiswa perlu bersedia menjadi agen perubahan global yang bukan sahaja berilmu, tetapi berupaya memimpin masyarakat dengan nilai dan integriti,” tegas Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Jasrul Jamani Jamian ketika menyampaikan amanat kepada peserta.

