October 5, 2025

UTM perkukuh kesejahteraan komuniti melalui Pemprofilan Komuniti BJB 2.0

JOHOR BAHRU, 16 Ogos – “Apabila masyarakat bersatu dengan kepedulian dan tujuan yang jelas, mereka mampu mengubah kebiasaan menjadi sesuatu yang luar biasa,” ujar Prof. Dr. Maimunah Sapri, Ketua Projek Fasiliti Komuniti Sejahtera, ketika mengulas kejayaan penganjuran Aktiviti Pemprofilan Komuniti BJB 2.0 di Rumah Pangsa Teratai, Taman Plentong Utama.

Program ini dilaksanakan menerusi inisiatif Bangsa Johor Bahagia (BJB) 2.0: Fasiliti Komuniti Sejahtera Memperkasa Daya Huni Perumahan Strata, dengan matlamat memperkukuh kesejahteraan komuniti bandar dan meningkatkan kualiti kediaman di perumahan strata.

Kehadiran Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry (tengah), menyerikan majlis dan mengeratkan silaturahim bersama komuniti

Kehadiran Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, turut menyerikan suasana mesra sekali gus mengeratkan ikatan silaturahim antara warga kampus dan komuniti setempat.

Aktiviti utama program ini ialah pemprofilan komuniti yang bertujuan untuk mengenal pasti latar belakang penduduk, tahap sosioekonomi, bakat, keperluan khusus, isu setempat serta keadaan fasiliti awam. Hasil daripada pemprofilan ini diharapkan dapat memberikan impak yang signifikan dengan membantu merancang intervensi yang berfokus, menggalakkan penglibatan komuniti, serta menyokong pembangunan kawasan yang lebih harmoni, selamat, bersih dan sejahtera.

Pemprofilan komuniti dijalankan untuk mengenal pasti latar penduduk dan keperluan setempat – demi mewujudkan kawasan yang lebih harmoni dan sejahtera

Pelbagai aktiviti kebersamaan telah dianjurkan, antaranya termasuk sukan rakyat seperti tarik upih, sepak raga dan lari dalam guni, pertandingan memasak menu tradisi Johor, pertandingan mewarna kemerdekaan, serta aktiviti mural keceriaan yang menggambarkan asas BJB dan semangat kebersamaan penduduk melalui cap tapak tangan sebagai simbol komitmen dan dedikasi. Aktiviti-aktiviti ini mencetuskan keceriaan, menjadi medium interaksi yang berkesan dan mengeratkan hubungan antara UTM dan komuniti setempat.

Aktiviti sukan rakyat iaitu tarik upih yang menjadi tumpuan, eratkan kebersamaan warga dan komuniti
Sukan rakyat lari dalam guni penuh gelak tawa, menceriakan suasana, memupuk semangat kebersamaan

Program turut disemarakkan dengan sesi ramah mesra antara Naib Canselor UTM dan komuniti Flat Plentong. Dalam suasana santai, beliau berpeluang mendengar aspirasi serta suara hati penduduk, di samping turut serta dalam acara sukan Liga Penalti BJB, menjadi juri bagi Pertandingan Memasak, dan menurunkan cap tapak tangan di Mural BJB 2.0 sebagai tanda sokongan terhadap usaha ini.

Pendekatan pemprofilan komuniti yang dilaksanakan melalui kaedah kejuruteraan sosial menonjolkan potensi besar dalam pengurusan fasiliti. Analisis demografi membolehkan keperluan unik penduduk dikenal pasti, sekali gus memupuk rasa kebersamaan, kebahagiaan dan perpaduan dalam komuniti.

Di sebalik kejayaan program ini, penduduk merupakan pemacu utama melalui sokongan, komitmen dan penglibatan aktif mereka. Semangat inilah yang memastikan inisiatif ini terus berkembang demi kesejahteraan bersama.

Penduduk menjadi pemacu utama kejayaan program dengan semangat dan penglibatan aktif mereka

Ucapan terima kasih kepada pasukan Pusat Kajian Harta Tanah (CRES) UTM, Projek BJB: Program ini disokong oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) serta pasulan Pusat Kajian Harta Tanah (CRES) UTM, Projek BJB: Fasiliti Komuniti Sejahtera melalui dana Yayasan Raja Zarith Sofiah, Negeri Johor (YRZSNJ). Melalui pendekatan berfokus ini, komuniti bukan sahaja berpeluang meningkatkan kualiti hidup, malah dapat membina sebuah persekitaran yang inklusif, harmoni dan bersatu.

Oleh Ts. Umussaa’dah Adam dan Prof. Sr. Dr. Maimunah Sapri, Projek Fasiliti Komuniti Sejahtera

Explore More