PALEMBANG, 27 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkukuh hubungan akademik dan penyelidikan melalui kunjungan kerja rasmi ke Universitas Sriwijaya (UNSRI), Palembang, Indonesia melalui inisiatif Geran Padanan Penyelidikan serta perasmian kemudahan penyelidikan baharu di kampus tersebut. Lawatan yang diketuai oleh Prof. Ir. Dr. Mahmood Md. Tahir ini turut disertai oleh penyelidik UTM iaitu Prof. Ts. Dr. Safian Sharif, Prof. Madya Ir. Dr. Shek Poi Ngian, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Azlan Suhaimi, dan Ir. Ts. Dr. Nor Hasanah Abdul Shukor Lim.

Lawatan selama lima hari ini menampilkan pelbagai pengisian ilmiah, termasuk siri kuliah umum kepada mahasiswa prasiswazah dan pascasiswazah (S1, S2, dan S3), sesi pembentangan kemajuan penyelidikan oleh pelajar penyeliaan bersama, serta perbincangan strategik bagi mengukuhkan pelaksanaan geran padanan di antara kedua-dua institusi. Sesi kuliah umum tersebut melibatkan perkongsian kepakaran oleh profesor dan pensyarah kanan dari UTM yang membincangkan pembangunan penyelidikan, inovasi, serta potensi kolaborasi rentas disiplin.

Slot perkongsian khas turut diadakan khusus untuk mahasiswa Program Studi Program Profesi Insinyur (PSPPI) UNSRI, yang dikenali sebagai Program Studi Program Profesi Insinyur. Slot ini memberi panduan praktikal tentang laluan menjadi Professional Engineer (Ir.), termasuk keperluan akademik, pengalaman industri, dan proses pendaftaran profesional. Sesi ini dipimpin oleh wakil delegasi UTM yang berkongsi pengalaman sebenar dalam industri kejuruteraan, cabaran yang perlu ditempuh, serta strategi untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam sektor kejuruteraan profesional.


Kemuncak program berlangsung dengan perasmian Makmal Bahan Moden, Struktur dan Pembinaan (MSCL) serta Pusat Reka Bentuk dan Analisis Kejuruteraan Berasaskan Komputer (CBEDA) di Fakultas Teknik, UNSRI Kampus Indralaya. Menurut Prof. Dr. Ir. Anis Saggaff, MSCE., IPU, MKU, ASEAN Eng., APEC Eng., selaku pengasas dan pengurus MSCL dan CBEDA, reka bentuk makmal baharu ini diinspirasikan daripada Makmal Struktur dan Bahan, UTM. Majlis perasmian disempurnakan oleh Rektor UNSRI, Prof. Dr. Taufiq Marwa, S.E., M.Si., bersama Gabenor Sumatera Selatan, Dr. H. Herman Deru, S.H., M.M. Perasmian ini turut menyaksikan komitmen kedua-dua universiti dalam memperkukuh infrastruktur penyelidikan bagi menyokong projek berimpak tinggi dan pembangunan sumber manusia berkemahiran tinggi di rantau ini.

Kunjungan rasmi ini memperkukuh lagi kedudukan UTM sebagai peneraju penyelidikan dan inovasi di peringkat serantau melalui jalinan strategik dengan universiti terkemuka di Asia Tenggara. Kerjasama ini diharap dapat membuka peluang baharu dalam pembangunan teknologi, penyelidikan bersama, dan perkongsian kepakaran antara UTM dan UNSRI.