SEREMBAN, 23 Ogos – Sempena Majlis Perasmian Kilang Pembuatan Kenderaan Perisai oleh MILDEF International Technologies Sdn Bhd, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan MILDEF telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang menjadi pemangkin kepada kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, penyelidikan serta pembangunan teknologi pertahanan negara.
Majlis berprestij ini turut diserikan dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, yang menyaksikan pemeteraian MoU tersebut sebagai tanda sokongan penuh kerajaan terhadap pembangunan industri pertahanan negara dan hubungan strategic antara universiti dengan industri.
Penandatangan MoU ini disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim dan Pengarah Urusan MILDEF International Technology Sdn. Bhd., Dato’ Sri Mohd Nizam bin Kasa sambil disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), dan Pengurus Besar syarikat berkenaan, Salimuhar bin Mohd Ali.
Melalui pemeteraian ini, kedua-dua pihak beriltizam untuk memperluas ruang kolaborasi yang merangkumi pelaksanaan latihan industri dan pembelajaran berasaskan pengalaman untuk mahasiswa UTM, pembangunan program akademik yang sejajar dengan keperluan industri semasa, serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang saintifik dan teknologi pertahanan.
Kerjasama ini turut melibatkan penganjuran program pensijilan profesional, latihan kemahiran, serta program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Termaju (A-TVET), selain penyediaan perkhidmatan perundingan dalam bidang pertahanan dan automotif. Kedua-dua pihak juga komited mengukuhkan keterlibatan industri melalui kerjasama jangka panjang serta meneroka bidang-bidang lain yang dipersetujui bersama dari semasa ke semasa.


Prof. Dr. Mohd Shafry menyatakan bahawa kerjasama ini bukan sahaja membuka peluang luas kepada pelajar UTM untuk meneroka pengalaman pembelajaran di industri pertahanan strategik negara, malah menjadi platform kepada penyelidik universiti untuk menyumbang kepakaran dalam bidang kejuruteraan, teknologi baharu, dan inovasi.
“Kolaborasi ini sejajar dengan visi UTM sebagai universiti penyelidikan terkemuka yang menggerakkan ilmu untuk kesejahteraan bangsa. Dengan adanya sinergi bersama MILDEF, kita dapat mempercepat pembangunan teknologi tempatan serta meningkatkan daya saing industri pertahanan negara di pentas global,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Sri Mohd Nizam menegaskan kerjasama dengan UTM akan memberi nilai tambah kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, di samping memperkukuhkan kedudukan MILDEF sebagai peneraju dalam penghasilan teknologi kenderaan pertahanan negara.
Majlis ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam mengukuhkan hubungan industri-akademia, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekosistem teknologi pertahanan negara yang mampan, inovatif, dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
