October 6, 2025

GERIK, 2 Ogos – Bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Plang, Gerik, Perak telah berlangsung Siri 1: Bengkel Pendedahan Keusahawanan Desa anjuran kumpulan penyelidik dari Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Bengkel ini dilaksanakan sebagai salah satu agenda utama yang di bawah Projek Pembangunan Kapasiti Keusahawan Pelancongan Desa, iaitu salah satu sub-projek Kampung Angkat MADANI UTM@Plang.

Bengkel Siri 1 berjaya menghimpunkan seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada para usahawan sedia ada dan mereka yang berminat menjadi usahawan

Bengkel Pendedahan Keusahawanan Pelancongan Desa ini akan meningkatkan pemahaman keusahawanan dengan menilai prestasi semasa perniagaan dan mengenal pasti potensi baharu perniagaan. Usahawan dibimbing oleh pengajar secara praktikal dalam membangunkan produk pelancongan desa berdasarkan kekuatan dan keupayaan semasa. Sementara itu, setiap usahawan yang terlibat diberikan Model Pembangunan Produk Pelancongan Desa sebagai output bengkel. Penganjuran bengkel Siri 1 ini adalah bagi mengenal pasti potensi produk pelancongan desa melalui keupayaan usahawan dan peluang perniagaan baharu dengan produk inovatif.

Bengkel selama dua hari ini telah digerakkan oleh tiga tenaga pengajar FABU UTM diketuai oleh Dr. Mohamad Fadhli Rashid dengan dibantu oleh Dr. Mohd Alif Mohd Puzi dan Dr. Khairul Hisyam Kamarudin serta tiga orang pembantu pelajar. Bengkel ini mendapat penyertaan daripada 20 orang penduduk kampung yang dibahagikan kepada 6 peserta pada hari pertama (2 Ogos) dan 14 peserta pada hari kedua (3 Ogos). Peserta yang hadir ke sesi bengkel merupakan penduduk dari Kampung Plang sendiri serta dari beberapa buah kampung berdekatan termasuklah Kampung Jong dan Kampung Lalang.

 

Siri 1 bengkel dimulai dengan sesi perkongsian kajian kes amalan terbaik dalam pembangunan dan pengurusan pelancongan desa berbasis komuniti, disusuli latihan mengikut modul yang ditetapkan

Bengkel sepanjang dua hari dipandu oleh lima modul latihan yang dibangunkan khas oleh para pelatih FABU untuk projek Kampung Angkat MADANI meliputi Modul Pengenalan Sumber Jaya Tempatan, Modul Pengenalan Jaringan Hubungan Perniagaan Tempatan, Modul Aktiviti dan Penawaran Perniagaan, Modul Struktur Kos Pelancongan Desa dan Modul Cadangan Nilai Tawaran Produk Pelancongan Desa. Hasil maklum balas pasca latihan oleh para peserta yang hadir menunjukkan sesi bengkel dan modul yang diikuti banyak memberikan pendedahan yang bermakna sebagai persediaan mereka membina kapasiti sebagai seorang usahawan pelancongan desa yang mampu menawarkan produk dan perkhidmatan ekonomi yang berpotensi tinggi berdasarkan sumber jaya setempat.

Para peserta begitu komited mengikuti kesemua modul latihan yang diberikan

Dalam pada itu, majlis penutup bengkel telah disempurnakan oleh Penolong Pegawai Daerah, Bahagian Pembangunan Daerah Gerik, Ahmad Suhaimi Abdul Rahman, yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Plang, Wan Mohd Khairul Wan Ahmad. Secara keseluruhannya, penganjuran bengkel Siri 1 telah berjaya mencapai matlamat iaitu untuk menghimpunkan para peserta samada yang telah menjadi usahawan, mahupun mereka yang berhasrat untuk menjadi usahawan pelancongan desa di masa hadapan secara latihan pembinaan kapasiti diri. Menerusi sesi perkongsian amalan terbaik dan bimbingan berpandukan modul khusus yang didedahkan, pelbagai ilmu baharu serta pendedahan aspek penting dalam bidang keusahawanan pelancongan desa telah dipelajari.

Sesi bergambar semasa Majlis Penutup Bengkel Pendedahan Keusahawanan Desa Siri 1

 

Oleh Dr. Khairul Hisyam Kamarudin, Dr. Mohamad Fadhli Rashid dan Dr. Mohd Alif Mohd Puzi

Explore More