October 6, 2025

UTM Jalin Kerjasama Penyelidikan dengan Nufiya Empire Sdn. Bhd. bagi Pembangunan Makanan Tambahan untuk Ibu Menyusu

JOHOR BAHRU, 19 Ogos  – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjalin kerjasama strategik dengan Nufiya Empire Sdn. Bhd. melalui pemeteraian Research and Development Collaboration Agreement (RCA) bagi melaksanakan projek penyelidikan bertajuk “Investigating and Reformulating Food Supplement towards Prolactin Production.

Majlis pertukaran dokumen kerjasama telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canselori Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru. Pertukaran dokumen disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md Illias, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Nufiya Empire Sdn. Bhd., Pn. Nurhidayah Suhaimi, dengan disaksikan oleh pengurusan kanan kedua-dua pihak

Projek bernilai RM80,000 ini diketuai oleh Ts. Dr. Siti Pauliena Mohd Bohari, felo penyelidik Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) merangkap pensyarah kanan Fakulti Sains, UTM. Penyelidikan memberi tumpuan kepada penambahbaikan formulasi makanan tambahan yang berpotensi membantu meningkatkan penghasilan susu ibu bagi wanita yang mengalami masalah kekurangan laktasi.

Hasil kajian awal in vitro mendapati produk ini selamat digunakan pada dos yang ditetapkan serta tidak menggalakkan pertumbuhan bakteria patogen. Penyelidikan kini diteruskan ke fasa in vivo menggunakan model haiwan makmal bagi menilai potensi dan keberkesanan produk dalam merangsang penghasilan hormon prolaktin secara lebih menyeluruh.

Dalam ucapannya, Prof. Dr. Rosli Md. Illias menegaskan bahawa kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh agenda penyelidikan dan inovasi inklusif yang memberi impak kepada universiti, industri dan masyarakat.

“Kolaborasi ini bukan sahaja menyokong pembangunan bioproduk berimpak tinggi, malah mampu memberi sumbangan signifikan terhadap kesejahteraan masyarakat,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nufiya Empire Sdn. Bhd., Pn. Nurhidayah Suhaimi berkata “Projek ini membawa makna yang sangat mendalam kepada Nufiya. Ia bukan sekadar usaha menghasilkan produk untuk pasaran, tetapi merupakan misi kami untuk membantu lebih ramai ibu berjaya menyusukan anak mereka. Kerjasama dengan UTM ini berlandaskan komitmen kami untuk memastikan produk yang dibangunkan menepati keutamaan keselamatan pengguna. Saya berharap produk ini tidak hanya bergantung kepada strategi pemasaran semata-mata, sebaliknya diperkukuhkan dengan bukti saintifik dan data penyelidikan yang menyeluruh.”

UTM turut merakamkan penghargaan kepada Nufiya Empire Sdn. Bhd. atas keyakinan terhadap kepakaran penyelidik universiti dalam pembangunan produk berpotensi tinggi ini.

Penyertaan Nufiya Empire Sdn. Bhd. sebagai rakan strategik UTM adalah selari dengan sasaran yang digariskan dalam kerangka UTM enVision 2025 dan Blueprint Penyelidikan dan Inovasi UTM 2025. Diharapkan kerjasama ini dapat diperkukuh pada masa hadapan bagi memperkasakan lagi pembangunan bioproduk di Malaysia.

 

Explore More