October 10, 2025

UTM iktiraf kecemerlangan staf, martabat Warisan Johor sempena Majlis Citra Karisma 2025

JOHOR BAHRU, 18 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi mengiktiraf kecemerlangan warga kerjanya menerusi Majlis Citra Karisma 2025, majlis penganugerah tertinggi universiti yang meraikan sumbangan cemerlang staf akademik dan juga pentadbiran.

Majlis yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar (DSI) UTM Johor Bahru ini julung kalinya disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Yang Berhormat Tuan Aznan Tamin merangkap wakil rasmi Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Kehadiran beliau mewakili kerajaan negeri menunjukkan tanda sokongan terhadap usaha memartabatkan pendidikan tinggi serta pembangunan bakat Johor.

Yang Berhormat Tuan Aznan dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri Johor komited untuk terus bekerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi seperti UTM dalam mengangkat Johor sebagai negeri yang maju dan berdaya saing.

YB Tuan Aznan ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Citra Karisma 2025 pagi tadi

“Selaras dengan agenda Maju Johor, saya yakin UTM mampu menjadi pencetus gelombang kemajuan yang berakar pada tradisi dan bertunjang pada inovasi,” ujar YB Aznan.

Istimewanya lagi, YB Aznan juga merupakan alumni UTM dan graduan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE). Beliau turut menitipkan ucapan penghargaan kepada UTM dan pensyarah-pensyarah yang pernah mendidik beliau sepanjang menimba ilmu di universiti.

Bertemakan “Memartabatkan Warisan Johor”, acara yang berlangsung penuh meriah itu mengiktiraf 392 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan 152 penerima lain-lain anugerah kecemerlangan membabitkan 29 kategori. Selain mengiktiraf prestasi staf, majlis turut menonjolkan elemen warisan, kebudayaan dan pembangunan negeri Johor seiring peranan UTM sebagai antara pendukung kemajuan negeri dan juga negara.

Antara anugerah utama yang menjadi tumpuan ialah Anugerah Inovasi Naib Canselor (AINC) yang dimenangi Sekolah Pengajian Siswazah, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) menerusi projek Ekosistem dan Kerangka Pelaksanaan ODL UTM. Kemenangan itu melayakkan mereka menerima hadiah wang tunai RM10,000.

Sekolah Pengajian Siswazah dinobatkan pemenang utama Anugerah Inovasi Naib Canselor

Dalam pada itu, Prof. Ir. Dr. Rahmat Mohsin yang juga Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT) muncul sebagai Tokoh Akademik atas kecemerlangan dalam pengajaran serta sumbangan besar terhadap pembangunan akademik Universiti. Pengiktirafan ini membolehkan beliau menerima hadiah wang tunai RM5,000 sebagai tanda penghargaan atas dedikasi memperkasa pendidikan tinggi.

Prof. Dr. Rahmat (tengah) menerima Anugerah Tokoh Akademik daripada YB Tuan Aznan (dua dari kiri)

Turut menerima pengiktirafan hari ini, Prof. Dr. Aishah Abd. Jalil, Pengarah Institut Tenaga Masa Hadapan (IFE) dinobatkan sebagai Tokoh Penyelidik, yang membawa pulang RM3,000. Pengiktirafan ini menzahirkan penghargaan Universiti terhadap usaha penyelidikan berimpak tinggi yang dijalankan beliau, sekali gus mengangkat nama UTM di persada global.

Prof. Dr. Noraishah (tengah) penerima Anugerah Tokoh Penyelidik

Majlis tahun ini turut memperkenalkan buat kali pertama Anugerah Khas Tokoh Kepimpinan, yang dianugerahkan kepada dua tokoh penting universiti, Profesor Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, mantan Naib Canselor UTM ke-7, dan Nor Azizah Ismail, mantan Pendaftar UTM. Kedua-dua tokoh berkenaan diraikan atas legasi kepimpinan strategik mereka yang memberi kesan besar bukan sahaja di peringkat universiti, malah di peringkat nasional dan antarabangsa.

 

Mantan Naib Canselor ke-7 Prof. Datuk Dr Ahmad Fauzi (tengah) antara penerima Anugerah Khas Tokoh Kepimpinan
Mantan Pendaftar UTM, Nor Azizah, turut dinobatkan penerima Anugerah Khas Tokoh Kepimpinan

Lebih istimewa, majlis kali ini turut diserikan dengan Pameran Citra Johor yang mengetengahkan sejarah perpindahan kampus UTM ke Johor pada tahun 1985, pembangunan bangunan ikonik, pencapaian UTM Pagoh serta Citra Kepimpinan Canselor UTM yang memaparkan legasi Diraja dalam dunia akademia. Turut dipamerkan ialah pencapaian universiti dalam bidang pendidikan, penyelidikan, komuniti dan ekonomi.

Menurut pihak Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry, Majlis Citra Karisma bukan sahaja wadah menghargai staf yang berkhidmat dengan cemerlang, malah menjadi simbol budaya kerja berprestasi tinggi yang wajar dicontohi.

Prof. Dr. Mohd Shafry sewaktu ucapan aluan membuka tirai Majlis Citra Karisma 2025

“Saya menyeru agar kita terus mengoptimasi sumber, menginovasi cara kerja dan mentransformasi organisasi dalam setiap aspek, dari bilik kuliah ke makmal, dari pejabat ke masyarakat.”

Semangat itu diharap dapat menyuntik inspirasi kepada seluruh warga UTM untuk terus menabur bakti dengan penuh dedikasi demi menjulang nama universiti ke peringkat antarabangsa.

Explore More