October 4, 2025

UTM anjur Program Inspirasi Varsiti, promosi Kempen Antibuli

SKUDAI, 22 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus membuktikan komitmennya sebagai institusi pendidikan tinggi yang sentiasa dekat dengan komuniti menerusi penganjuran Program Inspirasi Varsiti 2025 bertempat di Kolej Tun Fatimah, Kampus Johor Bahru. Program yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 22 hingga 24 Ogos ini menghimpunkan seramai 200 orang pelajar dari 24 buah sekolah menengah di sekitar daerah Kota Tinggi, Kulai dan Johor Bahru.

Program Inspirasi Varsiti ini merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui UTM, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi. Ia dirangka khusus bagi memberi peluang kepada pelajar sekolah menengah untuk merasai pengalaman kehidupan kampus, mengenali potensi diri, serta membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam universiti.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dalam ucapan perasmiannya menekankan bahawa program ini selaras dengan Amanat Menteri Pendidikan Tinggi dalam Landasan Hala Tuju KPT 2025 yang menggariskan penyediaan bakat terbaik negara. Menurut beliau, usaha memperkasakan generasi muda harus bermula sejak peringkat sekolah, agar mereka bersedia bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga sahsiah, kepimpinan dan jati diri.

Naib Canselor, Prof Dr. Mohd Shafry ketika berucap merasmikan program berkenaan

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa UTM bukan sekadar melahirkan graduan di peringkat universiti, malah berperanan sebagai pemangkin pembangunan komuniti di peringkat akar umbi. “Melalui Inspirasi Varsiti, kita mahu pelajar sekolah mendapat inspirasi, keyakinan dan suntikan semangat patriotisme yang akan mendorong mereka untuk terus menuntut ilmu,” ujarnya.

Naib Canselor memotong riben sebagai gimik perasmian Program Inspirasi Varsiti

Semasa majlis perasmian ini juga, Jabatan Pendidikan Negeri Johor turut mengambil peluang untuk mempromosikan aktiviti kempen antibuli yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Johor. Laungan kempen antibuli ini telah dipimpin oleh Mohd Khatta Muhammad, Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Pendidikan Negeri Johor yang turut hadir menyokong program ini.

Tetamu kehormat bergambar bersama semua peserta dan urus setia program

 

Semua tetamu kehormat dan peserta bersama-sama melaungkan Kempen Antibuli

Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti berorientasikan kepimpinan, jati diri, patriotisme, kemahiran komunikasi, pembangunan diri, serta aktiviti berpasukan. Kehadiran alumni dan pelajar UTM sebagai fasilitator dapat menambah nilai kepada program, kerana mereka dapat berkongsi pengalaman sebenar kehidupan sebagai mahasiswa secara lebih dekat dan santai.

Dengan tema “UTM NextGen”, Inspirasi Varsiti 2025 menjadi bukti kesungguhan UTM dalam memartabatkan pendidikan tinggi negara. Program ini bukan sahaja membuka mata pelajar sekolah terhadap peluang masa depan, malah menjadi medan untuk membimbing generasi muda agar lebih bersedia dalam menghadapi cabaran global dan merealisasikan aspirasi negara.

Naib Canselor menyantuni peserta selepas majlis perasmian

Explore More