October 8, 2025

Memasyarakatkan Mahasiswa, Memerdekakan Jiwa : Kerana Tuhan untuk Manusia

Pepatah Melayu ada menyatakan “Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.” Begitulah perjalanan seorang mahasiswa yang datang ke universiti dengan penuh cita-cita. Namun, kematangan tidak akan hadir hanya melalui kuliah, nota, atau peperiksaan. Kematangan itu terbina apabila mereka berani keluar daripada zon selesa, turun ke medan masyarakat, merasai denyut nadi rakyat, dan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari untuk memberi manfaat kepada orang lain.

Saya menyaksikan sendiri bagaimana proses memasyarakatkan mahasiswa menjadi pemangkin penting dalam mempercepatkan kematangan mereka. Usaha ini amat bertepatan dengan tema Bulan Kebangsaan tahun ini, Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, yang mengingatkan kita bahawa pembangunan sebenar hanya bermakna apabila ia kembali kepada rakyat.

Mahasiswa boleh diibaratkan seperti benih yang subur. Jika dibiarkan hanya di dalam pasu kecil, akarnya tidak akan menembus jauh, batangnya tidak akan meninggi, dan buahnya mungkin tidak berkembang. Namun apabila dipindahkan ke tanah luas, dibajai dengan pengalaman, dan disirami dengan cabaran masyarakat, benih itu akan tumbuh menjadi pohon rendang yang memberi manfaat. Begitulah juga mahasiswa. Mereka perlu “dipindahkan” daripada ruang akademik ke lapangan sosial agar ilmu yang dipelajari dapat bercambah menjadi pengalaman yang membentuk kepimpinan, kecekapan menyelesaikan masalah, serta kebijaksanaan menyantuni manusia.

Kematangan sebenar lahir daripada pengalaman. Mahasiswa yang turun membantu masyarakat luar bandar misalnya, bukan sahaja belajar tentang teknologi melalui pemasangan sistem penapisan air atau tenaga solar, tetapi juga memahami cabaran hidup mereka yang kurang berkemampuan. Begitu juga mahasiswa sains sosial yang menganjurkan bengkel pembangunan sahsiah untuk remaja bukan sekadar menguji teori komunikasi, tetapi juga mempelajari empati, kesabaran, dan seni memahami perasaan orang lain. Benarlah pepatah, “Jauh perjalanan, luas pemandangan.” Mahasiswa yang berinteraksi dengan masyarakat mendapat pandangan yang lebih luas daripada sekadar teks di bilik kuliah.

Dalam kerangka Malaysia MADANI, rakyat tidak wajar dilihat hanya sebagai penerima manfaat, sebaliknya sebagai rakan kongsi dalam pembangunan. Program service learning yang dilaksanakan di UTM menjadi bukti jelas pendekatan ini. Mahasiswa Kejuruteraan Elektrik misalnya, pernah berganding bahu bersama penduduk kampung membina sistem pencahayaan tenaga solar. Dalam projek pemuliharaan alam sekitar, mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Mekanikal berganding bahu dengan penduduk kampung membangunkan mesin automatik penghasilan mudball. Mahasiswa menyumbang kepakaran teknikal dalam reka bentuk mesin, sementara masyarakat menyumbang pengetahuan tradisional tentang ramuan mudball. Hasilnya, pengeluaran dapat dilakukan secara besar-besaran, sekali gus menyokong usaha kelestarian sungai. Inilah manifestasi sebenar konsep rakan kongsi pembangunan di mana ilmu akademik bertemu hikmah tempatan, lalu menghasilkan solusi lestari.

Contoh lain dapat dilihat dalam projek pembangunan aplikasi digital sebagai one-stop center komuniti. Mahasiswa yang mahir dalam bidang teknologi maklumat mereka bentuk aplikasi tersebut, tetapi isi kandungan dan fungsi yang dimasukkan ditentukan bersama oleh penduduk kampung mengikut keperluan setempat, sama ada maklumat tentang ketua kampung, lokasi kemudahan awam, berita semasa, atau saluran aduan. Aplikasi itu bukan sekadar ciptaan mahasiswa, tetapi hasil kerjasama erat dengan komuniti yang menggunakannya.

Tidak terhenti di situ, mahasiswa bidang automotif juga turun padang mengajar masyarakat cara menukar minyak hitam dan melakukan servis rutin kenderaan. Aktiviti ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos penyelenggaraan keluarga berpendapatan sederhana, malah meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya. Dalam projek ini, masyarakat sendiri memberi maklum balas tentang keperluan sebenar mereka, dan mahasiswa menyesuaikan modul latihan agar benar-benar relevan dengan keperluan harian rakyat.

Pendekatan ini turut diperluas melalui penubuhan Ruang Daya Cipta di Kota Tinggi, sebuah inisiatif yang dikelolakan oleh Yayasan Inovasi Malaysia dengan kerjasama UTM dalam menyelaras pengisian serta pelaksanaan program. Melalui platform ini, mahasiswa diberi ruang untuk menggerakkan pelbagai aktiviti berasaskan inovasi dan teknologi, termasuk bengkel kreativiti, reka bentuk prototaip, projek 3D Printing, aplikasi Arduino, serta latihan asas keusahawanan. Menariknya, masyarakat setempat bukan sekadar hadir sebagai peserta, malah tampil sebagai rakan kolaborasi yang menyumbang idea, pengalaman, dan cabaran sebenar untuk ditangani bersama. Inilah bukti bahawa pembangunan lestari hanya dapat direalisasikan apabila mahasiswa dan masyarakat bergerak seiring, sebagai rakan kongsi yang saling melengkapi demi kemajuan bersama.

Pelajar UTM bersama masyarakat Felda Air Tawar 1, Kota Tinggi dalam Program Bakti MADANI Khidmat Masyarakat

Kesemua inisiatif ini membuktikan bahawa ilmu yang matang tidak lagi berlegar di bilik kuliah, tetapi kembali menyantuni rakyat. Lebih penting, ia menunjukkan bahawa mahasiswa dan masyarakat berdiri di gelanggang yang sama sebagai rakan kongsi pembangunan saling memperkaya dan saling membina untuk masa depan bersama.

Namun, semua usaha ini tidak akan bermakna tanpa berpaksikan nilai spiritual. Falsafah Kerana Tuhan untuk Manusia menjadi asas dalam membina insan seimbang. Ia mengingatkan bahawa ilmu dan tenaga bukan sekadar untuk kecemerlangan peribadi, tetapi amanah Ilahi yang wajib dikembalikan kepada manusia. Saidina Ali pernah berpesan bahawa ilmu lebih berharga daripada harta. Ilmu menjaga kita, sedangkan harta kitalah yang perlu menjaganya. Mahasiswa yang menyedari hakikat ini akan menghayati erti sebenar kematangan bahawa ilmu bukan sekadar untuk mendapat pekerjaan, tetapi untuk menabur kebaikan dan melindungi kesejahteraan masyarakat.

Pepatah ada berkata, “Alam terkembang menjadi guru.” Masyarakat ialah guru kehidupan yang paling berkesan untuk mahasiswa. Dengan turun ke lapangan, mereka belajar hakikat kehidupan sebenar, memahami jerih perih rakyat, dan menyedari akan kemerdekaan sejati bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi juga bebas daripada kejumudan dan ketidakmatangan diri. Memasyarakatkan mahasiswa bukanlah pilihan tambahan, tetapi satu keperluan mendesak. Di situlah lahir graduan yang bukan sahaja cemerlang di atas kertas, tetapi matang dalam jiwa, berani memimpin, dan rela berkhidmat.

Akhirnya, mahasiswa yang berani memasyarakatkan diri akan tumbuh menjadi pohon rendang yang menaungi rakyat. Di bawah teduhan pohon itulah Malaysia MADANI akan tumbuh segar, lestari, dan diberkati, menuju sebuah masa depan yang sangat gemilang.

 

**Penulis merupakan Pengarah bahagian Aktiviti Pembangunan Pelajar di Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UTM. Beliau ialah Profesor Madya di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UTM.

Explore More