JOHOR BAHRU, 6 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) terus komited memperkasakan keusahawanan ibu tunggal dan wanita B40 menerusi Program Pemindahan Ilmu (KTP) Nexus: Mengupaya Keusahawanan Melalui Kemahiran. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama strategik daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), GIATMARA, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) dan Institut Pembangunan Bioproduk (IBD).
Sepanjang Februari hingga Julai 2025, pelbagai kelas kemahiran intensif telah dianjurkan merangkumi dua kategori utama iaitu Rasa & Aroma (bidang kulinari) dan Jahitan & Gaya (fesyen dan pakaian), selain kemahiran urutan terapi. Antara modul yang ditawarkan termasuk pembuatan biskut raya, hamper eksklusif, karipap pusa sejuk beku, kek keju (cheesecake), nuget sejuk beku, aneka roti, sandwic Wanpaku serta asas jahitan Teluk Belanga.

Kesemua latihan ini dijalankan secara praktikal bersama tenaga pengajar berpengalaman daripada agensi kolaborator. Secara keseluruhan, lebih 70 peserta ibu tunggal telah mengikuti siri ini bagi meningkatkan kemahiran keusahawanan dan potensi pendapatan mereka.
Sebagai kesinambungan, Bengkel Post-Mortem Kelas Kemahiran dan Majlis Penghargaan Tenaga Pengajar telah diadakan di Hyatt Place, Paradigm Mall Johor Bahru, menghimpunkan lebih 50 peserta termasuk tenaga pengajar, urus setia dan rakan kolaborasi. Bengkel ini memberi ruang untuk menilai keberkesanan pelaksanaan program serta merangka penambahbaikan untuk fasa seterusnya.

Majlis turut menyaksikan penyampaian cenderamata penghargaan kepada tenaga pengajar sebagai pengiktirafan atas dedikasi mereka dalam menjayakan program.

Turut hadir merasmikan majlis ialah Pengarah Pusat Jaringan Komuniti dan Industri, Prof. Dr. Johari Surif, yang menzahirkan harapan agar inisiatif ini diteruskan dan diperluas.
“UTM percaya ilmu dan kemahiran praktikal adalah kunci untuk meningkatkan taraf hidup komuniti. Melalui program ini, kita bukan sahaja memberi latihan, tetapi juga membuka peluang kepada peserta untuk berdikari dan menjana pendapatan. Harapan saya agar usaha seperti ini menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekonomi ibu tunggal dan wanita B40,” ujar Prof. Dr. Johari Surif.
“Kekuatan program ini adalah hasil kerjasama erat antara UTM dengan pelbagai agensi rakan strategik. Kita percaya, apabila universiti, kerajaan dan komuniti berganding bahu, impak yang dihasilkan akan lebih mampan dan memberi manfaat jangka panjang kepada golongan sasar,” jelas Prof. Dr. Johari Surif.

Program ini selari dengan misi UTM untuk memperkukuh jaringan universiti-komuniti dan memindahkan kepakaran akademik kepada masyarakat, sejajar dengan aspirasi pembangunan komuniti inklusif dan berdaya saing.