October 7, 2025

BATAM, 9 Ogos – Kayuhan Batam 2025 yang melibatkan penyertaan seramai 34 peserta daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mencatat sejarah apabila berjaya melakukan kayuhan berbasikal sejauh 156km di luar negara, lebih tepat lagi di Batam, Indonesia.

Program kayuhan ini bertujuan menyemarakkan semangat kesukanan, memperkukuhkan hubungan silaturahim serta sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) No. 3, 5 dan 7.

Timbalan Pengarah Pusat Pelestarian Kampus (UTMCCS) Kuala Lumpur yang juga merangkap Pengarah Program Kayuhan Batam 2025, Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip berkata “Selain menyemai semangat kesedaran tentang pentingnya keseimbangan kehidupan bekerja dan bersukan,  aktiviti ini juga dirancang untuk mengeratkan hubungan sillaturrahim antara dua university dan juga staf di kampus Johor Bahru dan Kuala Lumpur sekaligus menyokong matlamat SDG 3 (Kesejahteraan dan Kesihatan), SDG 5 (Kesetaraan Gender), dan SDG 7 (Tenaga Bersih dan Boleh Diperbaharui).

“Kayuhan yang bermula dari Jembatan Tengku Fisabilillah (Balerang 1) dan berakhir di Monumen Titik Knol di Pulau Batam ini mencabar ketahanan fizikal dan mental peserta. Perjalanan ini bukan sahaja menguji kekuatan fizikal, tetapi juga mengeratkan hubungan antara peserta dari kedua-dua universiti yang terlibat.

“Selain daripada aspek kesihatan dan hubungan, acara ini juga memberi peluang kepada peserta untuk memahami budaya dan keindahan alam sekitar di sekitar Pulau Batam.

“Peserta menunjukkan semangat juang yang tinggi dan saling memberi sokongan antara satu sama lain sepanjang kayuhan berlangsung. Kejayaan menamatkan perjalanan sejauh 156 km ini dianggap sebagai pencapaian besar yang mampu memberi inspirasi kepada komuniti universiti dan masyarakat setempat.

“Turut serta dalam acara bersejarah ini ialah mantan Pro Naib-Canselor Kampus Kuala Lumpur, Prof. Dr. Abd Latif Saleh bersama 25 orang dari UTM dan 9 orang dari UniSZA termasuk dua orang staf wanita dari UTMJB yang menunjukkan komitmen dan sokongan padu terhadap usaha ini,” katanya yang ditemuai selepas tamat program kayuhan ini.

Menurut Dr. Shamsul lagi, Kayuhan Batam 2025 bukan sekadar acara sukan biasa tetapi mampu menjadi platform untuk memperkukuhkan jaringan kerjasama antara universiti dan komuniti sekali gus memperlihatkan komitmen institusi pendidikan tinggi dalam menyokong matlamat pembangunan lestari.

“Ia juga memberi mesej bahawa aktiviti berbasikal mampu menjadi salah satu cara efektif untuk meningkatkan kesihatan, mengekalkan keseimbangan hidup dan memupuk semangat kerjasama di kalangan masyarakat.

“Semoga semangat Kayuhan Batam 2025 akan terus menjadi inspirasi dan pencetus kepada kegiatan positif yang menyumbang ke arah masa depan yang lebih sihat, sejahtera dan harmoni,” katanya menutup perbualan.

Ditanya mengenai kebarangkalian untuk menganjurkan program yang seumpamanya di tahun hadapan, Dr. Shamsul berkata beliau dan juga sekreteriat penganjurannya akan cuba untuk merancang mengadakan aktiviti sama di Thailand.

“Memandangkan respon baik yang diterima dan juga impak yang berkesan dalam memartabatkan nilai-nilai SDG, Insyallah kita akan cuba anjurkan program serupa di Thailand pula di tahun hadapan.

“Adalah diharapkan semoga perancangan ini berjaya sekali gus memberikan kita peluang untuk memartabatkan nilai-nilai lestari dalam kehidupan seharian,” katanya lagi.

Konvoi pengayuh Program Kayuhan Batam 2025 selepas majlis ‘Flag-Off’ yang disempurnakan oleh Konsul Muda (Pentadbiran & Kewangan), Ros Faizi Rosli mewakili Konsul Malaysia di Pejabat Konsulat Pekan Baru, Mohammed Hosnie Shahiran Ismail
Para peserta bergambar di Jembatan Tengku Fisabilillah (Balerang 1) sebelum memulakan misi Kayuhan Batam 2025
Jembatan Tengku Fisabilillah, menghubungkan Batam dan Pulau Tonton. Jembatan ini membentang sepanjang 642 meter dan merupakan jembatan terpanjang dari keenam jembatan lainnya, yang merupakan jembatan kabel pancang dengan dua tiang setinggi 118 meter dan bentang utama sepanjang 350 meter
Semangat ukhwah dan muafakat yang kuat antara peserta dari UTM dan UniSZA yang membantu antara satu sama lain jika terdapat sebarang masalah sepanjang program berjalan
Pengarah Program Kayuhan Batam 2025, Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip berehat sebentar di satu warung makanan di Balerang 4 sebelum meneruskan perjalanan yang seterusnya
Para peserta berehat berhampiran jambatan Balerang 4 sebelum meneruskan baki perjalanan merentasi dua lagi jambatan
Salah seorang pengayuh wanita dari UTM Johor Bahru, Nur Diyana Mohd. Ruzmi gigih mengayuh basikalnya hingga ke penghujung
Salah seorang pengayuh menunjukkan isyarat bagus sebagai simbol semangat yang positif. Tidak dinafikan berkayuh sejauh 156 kilometer (pergi dan balik) dalam keadaan cuaca panas sememangnya mencabar minda dan fizikal seseorang pengayuh itu
Peserta program Kayuhan Batam 2025 bergambar kenangan di Monumen Titik Knol, Pulau Batam

Explore More