September 1, 2025

JOHOR BAHRU, 10 Ogos – Seramai 2,260 pelajar baharu memulakan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Sekolah Pendidikan Profesional dan Lanjutan (SPACE UTM) bagi Ambilan Julai 2025/2026 yang berlangsung serentak di Kampus Johor Bahru dan Kuala Lumpur, hari ini.

Daripada jumlah itu, 1,433 pelajar mendaftar di Kampus Johor Bahru dengan 578 mengikuti program Diploma dan 855 dalam program Asasi, termasuk 50 pelajar penerima tajaan PETRONAS. Kampus Kuala Lumpur pula menerima 461 pelajar Diploma dan 366 pelajar Asasi, menjadikan jumlah keseluruhan 827 pelajar.

Dalam pada itu, seramai 1,147 pelajar di Kampus Johor Bahru ditempatkan di Kolej 9, Kolej 10 dan Kolej Tun Ghafar Baba, manakala kira-kira 700 pelajar di Kampus Kuala Lumpur adalah di Kolej Siswa Jaya (KSJ).

Pelajar bersama keluarga yang hadir untuk sesi pendaftaran di UTM Johor Bahru

Pendaftaran di Johor Bahru turut menerima kehadiran Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat; Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr.  Edy Tonnizam Mohamad dan Dekan SPACE UTM, Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen universiti dalam menyambut pelajar baharu serta memastikan kelancaran proses pendaftaran.

Prof. Dr. Mohd Shafry (dua dari kanan) meninjau pendaftaran pelajar pagi tadi

Sementara itu, di Kampus Kuala Lumpur, sesi pendaftaran dihadiri Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin yang menjalankan fungsi Ketua Kampus UTM Kuala Lumpur; Dr.Mohamed Azlan Suhot, Pengetua Kolej Siswa Jaya (KSJ); dan Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTM Kuala Lumpur, Prof. Ir. Ts. Dr. Aminudin Haji Abu bersama barisan pengurusan SPACE UTM.

Wajah-wajah pelajar baharu SPACE UTM di Kampus Cawangan Kuala Lumpur yang mendaftar hari ini

 

Prof. Dr Shamsul beramah mesra dengan pelajar baharu di Kampus UTM Kuala Lumpur

Keseluruhan proses pendaftaran berjalan lancar dengan pengesahan dokumen, penempatan asrama, taklimat keselamatan dan sesi orientasi dikendalikan secara teratur oleh pasukan pengurusan UTM dan SPACE UTM, yang turut dibantu sukarelawan mahasiswa. Kehadiran fasilitator dan pelajar kanan turut membantu pelajar baharu menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus serta budaya akademik universiti.

Dekan SPACE UTM, Prof. Dr. Mohd Shahrizal berkata, pihaknya menitikberatkan pembangunan pelajar secara holistik meliputi kecemerlangan akademik dan kepimpinan.

Prof. Sharizal Sunar (dua dari kanan) bersanama Naib Canselor UTM, Prof Dr. Mohd Shafry dan pengurusan teringgi UTM yang lain meninjau proses pendaftaran pelajar baharu SPACE UTM

“Pelajar baharu ini akan melalui perjalanan ilmu yang bukan sahaja mempersiapkan mereka untuk ke alam kerjaya, malah membentuk kepimpinan berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dr. Mohd Shafry menyifatkan pendaftaran ini sebagai langkah penting dalam membentuk bakat berkualiti tinggi yang menjadi tunjang pembangunan negara.

Prof. Dr. Mohd Shafry ketika ditemui sewaktu pendaftaran pelajar di UTM Johor Bahru

Beliau menyeru pelajar memanfaatkan sepenuhnya peluang menuntut ilmu di UTM, berani mencabar diri dan merebut setiap ruang yang ada untuk kecemerlangan.

UTM dan SPACE UTM mengalu-alukan kehadiran semua pelajar baharu serta berharap mereka dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus, sekali gus melakar kecemerlangan bukan sahaja dalam bidang akademik bahkan sahsiah sepanjang tempoh pengajian di institusi ini.

Wajah-wajah ceria pelajar baharu SPACE UTM

Explore More