KUALA LUMPUR, 18 Julai – Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur terus mengorak langkah dalam memperkukuh agenda kelestarian menerusi penganjuran Ceramah Kelestarian: Sustainable Development Through Green Building Index – ESG Implementation in UTMKL. Program ini telah diadakan di Bilik Ilmuan 1, Anjung Menara Razak dan dihadiri oleh warga Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Kuala Lumpur.
Ceramah tersebut disampaikan oleh Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip, Timbalan Pengarah Pusat Pelestarian Kampus yang berkongsi kepakaran dan pengetahuan berkaitan pelaksanaan prinsip Environmental, Social and Governance (ESG) di peringkat institusi pengajian tinggi. Tumpuan utama ceramah adalah bagaimana ESG boleh dilaksanakan secara menyeluruh di kampus melalui penilaian Green Building Index (GBI) – satu kerangka piawaian untuk pembangunan mampan di Malaysia.


Dalam pembentangannya, beliau menekankan bahawa universiti bukan sahaja berperanan sebagai pusat ilmu, malah menjadi contoh terbaik dalam mengamalkan kelestarian secara holistik. Pelaksanaan ESG dalam konteks kampus tidak hanya tertumpu kepada reka bentuk bangunan atau kecekapan tenaga semata-mata, tetapi turut merangkumi penglibatan sosial komuniti kampus serta aspek tadbir urus yang telus dan berintegriti.
Beliau turut menggariskan beberapa pendekatan strategik dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG) khususnya SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Lestari), serta SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab). Penekanan diberikan kepada keperluan untuk memperkukuh kesedaran dalam kalangan warga kampus mengenai tanggungjawab kolektif terhadap alam sekitar dan kesejahteraan sosial.
Penganjuran ceramah ini merupakan salah satu inisiatif oleh Jawatankuasa Kelestarian di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTM Kuala Lumpur yang komited dalam memacu kesedaran serta tindakan ke arah amalan kelestarian dalam kalangan staf. Inisiatif ini juga sejajar dengan aspirasi UTM untuk menjadi universiti terkemuka yang menjunjung nilai kelestarian dan inovasi dalam setiap aspek operasinya.
Selain meningkatkan kefahaman terhadap ESG dan GBI, program ini turut membuka ruang dialog antara warga kampus dan pihak pengurusan berkenaan pelaksanaan dasar hijau yang lebih strategik. Ia diharapkan dapat merangsang minat dan komitmen berterusan dalam kalangan warga UTM Kuala Lumpur terhadap budaya hijau, sekali gus menyumbang kepada pembentukan kampus yang mampan, efisien dan inklusif.


Secara keseluruhannya, ceramah ini memberi impak yang positif dan menjadi pencetus kepada lebih banyak program serta inisiatif berkaitan kelestarian pada masa hadapan. Pihak jawatankuasa merancang untuk memperluas penganjuran aktiviti seumpama ini secara berperingkat dan berterusan sebagai sebahagian daripada usaha menyemai nilai hijau dalam budaya kerja warga UTM Kuala Lumpur.
Oleh Siti Zulaikha Zakaria