July 15, 2025

NILAI, 12 Julai Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh agenda globalisasinya dengan menghantar seramai 45 orang pelajar mengikuti Latihan Industri Luar Negara di beberapa universiti berprestij dunia menerusi Majlis Pelancaran Latihan Industri Luar Negara UTM 2025 yang diadakan di Nilai Springs Resort Hotel hari ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UTM, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus, yang turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini, termasuk fakulti, penyelaras dan ibu bapa pelajar.

“Program ini bukan sahaja menyediakan peluang pembelajaran di peringkat global, tetapi juga melahirkan duta kecil UTM yang membawa nama universiti dan negara ke persada antarabangsa,” ujar beliau dalam ucapannya.

Majlis Pelancaran Latihan Industri Luar Negara yang telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) dihadiri oleh wakil fakulti, pelajar dan ibu bapa

Antara universiti terkemuka dunia yang menjadi destinasi latihan industri tahun ini ialah Imperial College London di United Kingdom, Seoul National University (Korea Selatan), National University of Singapore (Singapura), Peking University (China), The University of Western Australia (Australia) dan Tokyo University (Jepun).

Antara wakil pelajar yang hadir dalam Majlis Pelancaran Latihan Industri Luar Negara 2025

Sebagai tanda komitmen, UTM telah memperuntukkan sebanyak RM400,000 bagi menampung sebahagian kos program termasuk tiket penerbangan, penginapan dan kos perjalanan. Turut dihargai ialah sokongan dan sumbangan daripada ibu bapa pelajar yang membantu menampung kos tambahan.

Program yang mula diperkenalkan pada tahun 2023 ini menyasarkan pembangunan kompetensi pelajar melalui pendedahan kepada budaya kerja, teknologi semasa dan amalan industri global. Objektifnya adalah untuk memperkasa kebolehpasaran graduan dan membentuk profesional muda yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Dekan Fakulti Sains Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir (hujung kanan) turut hadir bersama wakil penyelaras latihan industri dan pelajar Fakulti Sains
Wakil penyelaras latihan indutri dan pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) yang hadir dalam Majlis Pelancaran Latihan Industri Luar Negara 2025

“Gunakan peluang ini dengan sebaiknya. Anda adalah antara segelintir yang terpilih. Maka, lakukan yang terbaik demi diri sendiri, keluarga, universiti dan negara,” pesan Prof. Dr. Intan Zaurah kepada para pelajar.

UTM menyasarkan untuk memperluas program ini ke lebih banyak negara dan sektor strategik selaras dengan Pelan Envision 2030 dan misi universiti untuk membina jaringan antarabangsa yang lebih meluas.

Program Latihan Industri Luar Negara ini mencerminkan iltizam berterusan UTM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah bersedia menghadapi cabaran global dengan kefahaman budaya, kemahiran industri dan kepimpinan antarabangsa. Dengan sokongan pelbagai pihak, UTM yakin usaha ini akan terus berkembang dan memberi impak jangka panjang terhadap kualiti pendidikan tinggi serta kebolehpasaran graduan di pentas dunia.

Explore More