JOHOR BAHRU, 20 Julai – Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menjadi tuan rumah kepada satu inisiatif penting dalam bidang fizik zarah, iaitu “Knowledge Transfer Workshop 2.0: High Energy Physics”, sebuah bengkel pemindahan ilmu yang menghimpunkan para penyelidik, pensyarah dan pelajar untuk mendalami fizik zarah dan menyelami usaha penyelidikan global melalui Eksperimen COMET.
Program dua hari, 19 dan 20 Julai ini adalah hasil kerjasama strategik antara UTM, Pusat Kebangsaan Fizik Zarah (NCPP), Universiti Malaya (UM), serta Jabatan Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ia menyasarkan pensyarah, penyelidik serta pelajar pasca dan prasiswazah yang berminat untuk meneroka bidang fizik tenaga tinggi serta peluang penyelidikan lanjutan dalam bidang ini.

Pada hari pertama, bengkel dimulakan dengan sesi pengenalan kepada fizik zarah oleh Prof. Dr. Zamri Zainal Abidin (NCPP, UM), yang menerangkan secara mudah dan interaktif tentang komponen asas jirim dan tenaga, serta interaksi yang mengatur alam semesta. Seterusnya, peserta diperkenalkan kepada Eksperimen COMET oleh Dr. Izyan Hazwani Hashim (UTM), Ketua Pasukan Malaysia bagi eksperimen tersebut. COMET merupakan salah satu eksperimen antarabangsa yang dijalankan di Jepun, bertujuan mengkaji transisi koheren muon kepada elektron tanpa neutrino – satu fenomena langka yang mampu membuka pintu kepada fizik baharu di luar Model Standard.
Aktiviti interaktif turut dijalankan termasuk pameran demonstrasi alat pengesan zarah seperti GM Tube dan Cosmic Pi & Trigger Logic, yang dikendalikan oleh Dr. Nurul Hidayah Mohamad Nor (UM). Ini memberi peluang kepada peserta menyaksikan sendiri bagaimana fenomena fizik zarah dapat dikesan dan direkod secara saintifik.

Hari kedua bengkel memberi tumpuan kepada latihan praktikal berkaitan penggunaan ICEDUST – sebuah rangka kerja perisian yang digunakan dalam COMET untuk simulasi dan analisis data pengesanan zarah. Peserta diberi tunjuk ajar secara langsung oleh Dr. Razif Razali (UTM), En. Hafiz Mazlan (UTM) dan Dr. Imran Yusoff (UKM). Latihan meliputi pemasangan persekitaran perisian, struktur direktori data, visualisasi isyarat zarah dalam ROOT, serta penapisan dan analisis asas output pengesan.
“Knowledge Transfer Workshop 2.0” bukan sahaja memperkukuh asas pengetahuan dalam fizik zarah, tetapi juga memperluas rangkaian penyelidikan antara institusi tempatan dengan komuniti global. Melalui program seperti ini, Malaysia bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi turut menyumbang sebagai pemaju ilmu dalam usaha memahami rahsia alam semesta.
“Bengkel ini adalah titik mula kepada penyertaan lebih luas Malaysia dalam eksperimen bertaraf dunia. Ia mencetuskan inspirasi dan memberikan akses kepada teknologi serta ilmu yang selama ini hanya terhad kepada negara maju,” ujar Dr. Izyan Hazwani Hashim, Ketua Pasukan Malaysia untuk Eksperimen antarabangsa COMET.
Penglibatan aktif penyelidik Malaysia dalam Eksperimen COMET menunjukkan komitmen negara dalam menyumbang kepada komuniti penyelidikan antarabangsa. Bengkel ini turut menjadi platform untuk memperkenalkan peluang kerjaya dan penyelidikan di bawah Pusat Kebangsaan Fizik Zarah (NCPP) kepada pelajar dan penyelidik muda tempatan. Program ini adalah usaha penting dalam memperkukuh kolaborasi akademik dan penyelidikan rentas institusi, serta melahirkan lebih ramai saintis yang bersedia menyumbang dalam bidang fizik zarah bertaraf dunia.