JOHOR BAHRU, 29 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memacu kerjasama strategik bersama syarikat pembuatan kanta lekap terkemuka dunia, CIBA Vision Johor Sdn. Bhd. (Alcon Johor), menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) baharu yang bertujuan menggalakkan penyelidikan dalam pembangunan kanta lekap berasaskan bio dan mesra alam.
Perjanjian yang dimeterai pada hari ini menandakan kali ketiga kedua-dua pihak menjalinkan kerjasama rasmi sejak kolaborasi ini mula terbentuk pada Februari 2018 menerusi Memorandum Persefahaman (MoU), diikuti dua MoA terdahulu masing-masing pada April 2018 dan Jun 2021.
Majlis menandatangani MoA itu disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, dan Naib Presiden Pengurusan Kilang Pembuatan, Dr. James Jeyadeva Govindasamy, serta disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md Illias dan Ketua Bahagian Kecemerlangan Perniagaan,CIBA Vision (Alcon Johor), Encik Kok Chee Wee.

Menurut Prof. Dr. Mohd Shafry, pemeteraian ini adalah bukti kukuh terhadap kerjasama yang terjalin erat antara dunia akademik dan industri.
“Ia selaras dengan aspirasi UTM untuk memperkasa penyelidikan dan inovasi melalui jaringan strategik bersama industri, khususnya dalam menghasilkan penyelesaian teknologi yang memberi impak kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Projek penyelidikan yang dimulakan melalui MoA ini diketuai oleh Prof. Madya Ir. Dr. Nadia Adrus dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga UTM, yang akan mengetuai kajian pembangunan kanta lekap berasaskan OrthaG Cellulose Hydrogel — bahan berasaskan bio yang boleh diuraikan secara semula jadi.
Projek selama dua tahun ini memberi fokus kepada pemindahan pengetahuan, pembangunan prototaip, dan panduan teknikal berkaitan prestasi serta kebolehbiodegradasian bahan tersebut. Ia dijalankan dengan sokongan pembiayaan penyelidikan dan sumber teknikal melalui Program Padanan Industri (IMaP) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Sementara itu, Dr. James menyatakan keyakinan tinggi terhadap keupayaan penyelidikan UTM dalam merealisasikan teknologi inovatif berimpak tinggi.
“MoA ini membuka peluang besar dalam penyelidikan bersama yang menumpukan kepada inovasi lestari dalam bidang penjagaan mata dan perubatan. Ia akan menjadi pemangkin kepada penghasilan ilmu, teknologi dan bakat masa depan,” katanya.
Antara pencapaian terdahulu hasil kolaborasi kedua-dua pihak termasuk penerbitan buku akademik bertajuk Contact Lenses: Research, Industry, and User Perspectives yang diterbitkan oleh Springer Nature — bukti jelas kesungguhan dalam menghubungkan dunia penyelidikan dan aplikasi industri.

Kerjasama ini turut memberi perhatian terhadap aspek pengkomersialan bagi memastikan inovasi yang dihasilkan bukan sekadar berada di peringkat makmal, tetapi boleh dilaksanakan secara praktikal di pasaran sebenar.
Pelaksanaan rasmi projek ini dijadualkan bermula Jun 2025 dan akan dipantau melalui pelaporan berkala serta penilaian akhir bagi menjamin keberkesanan dan pencapaian semua objektif.
Inisiatif ini sekali lagi mengukuhkan peranan UTM sebagai institusi penyelidikan terkemuka dalam teknologi kanta lekap, selain menjadi model sinergi berimpak tinggi antara universiti dan industri ke arah masa depan yang lebih lestari.