JOHOR BAHRU, 26 Julai – Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (PIUTM) mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan dalam Kejohanan Sukan Pusat Islam Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (KASPIM) 2025 yang berlangsung pada 25 hingga 26 Julai lalu.
Kejohanan yang julung kali dianjurkan ini berlangsung di Stadium dan Dewan Sukan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), hasil kolaborasi antara Jawatankuasa Hal Ehwal Islam IPT (JAHEIS) dan Pusat Islam UTeM selaku tuan rumah.
Sebanyak lima acara berpasukan dan dua acara individu telah dipertandingkan, membabitkan 111 pingat secara keseluruhan. KASPIM 2025 bukan sekadar medan persaingan sihat, malah menjadi platform ukhuwah antara warga pengurusan dan staf Pusat Islam IPT seluruh negara yang lazimnya hanya bertemu dalam seminar, simposium dan aktiviti dakwah.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM. Turut hadir ialah Pengerusi JAHEIS, Ustaz Zuhaimi Abdul Rahim serta Pengarah Pusat Islam UTeM, Ustaz Muhammad Asyraf Sulaiman. Kejohanan bermula dengan sesi senamrobik dan pemanasan badan, sebelum diteruskan dengan acara utama iaitu lari berganti-ganti 8×50 meter, yang membawa pulang pingat emas kepada UTM.
Barisan atlet terdiri daripada Amrohazali Omar @ Atan, Muhamad Bilal Ahmad, Panji Alam Mazhisham, Ahmad Iman Abdul Aziz, Azmi Mat Zin, Muhammad Nashry Hatbi, Muhammad Afiq Haikal Mohd Khir, Amir Irsyad Saim dan Haizal Iqbal Mohd Kamal telah memenangi peringkat saringan pertama dengan menewaskan pasukan pilihan seperti UniMAP dan UniKL. Di peringkat akhir, UTM menewaskan pencabar utama, USM dan UKM, yang masing-masing membawa pulang pingat perak dan gangsa.
Kemenangan ini menghadiahkan 10 pingat emas kepada UTM, sekali gus menjadi penentu kedudukan sebagai juara keseluruhan edisi sulung KASPIM.

Dalam acara bola sepak penalti dan bola jaring penalti, UTM turut meraih dua pingat gangsa selepas menundukkan UPSI dalam perlawanan penentuan tempat ke-3/4. Atlet yang terlibat ialah Haizal Iqbal Mohd Kamal, Ahmad Iman Abdul Aziz, Zulhafidz Zariq Zulkifli, Panji Alam Mazhisham, Amir Irsyad Saim, Amrohazali Omar @ Atan, Nurul Hajar Jamaluddin, Nurhidayah Ardani, Norzulia Hanafiah, Nur Athirah Che Jama’udin dan Fauziahwati Othman.

Pasukan Sukan Rakyat UTM yang diketuai Mohamad Firdaus Padzim serta ahli termasuk Mahyudin Md Sarip, Zulkifli Ahmad, Rahmawatulhusna Sokhipulhadi, Fitriah Sabriah Sidek dan Muhammad Faris Mohd Alwi menyertai acara seperti boling kelapa, tembak getah, konda kondi dan dadu P. Ramlee. Meskipun berjaya memperoleh kedudukan kedua terbaik dalam boling kelapa, keseluruhan markah masih belum mencukupi untuk menempatkan pasukan dalam tiga teratas, yang akhirnya dimenangi oleh UUM.
Pasukan Sukan Rakyat UTM memberi saingan sengit dalam acara mini yang dipertandingkan
Sementara itu, pasukan ping pong UTM yang diwakili Ibrahim Khalil Abdullah, Prof. Madya Dr. Ahmad Che Yaacob, Prof. Madya Dr. Al-Ikhsan Ghazali dan Mohamad Firdaus Padzim berjaya mengalahkan UPSI (3-0) dalam peringkat kumpulan, namun tewas kepada pasukan mantap USM dan UUM.

Dalam acara individu memancing, Azhari Mohd Yusof mencatatkan kejayaan apabila meraih pingat gangsa bagi kategori tangkapan terberat (0.955 kg), manakala Bilal Ahmad di tempat keempat bagi kategori tangkapan paling ringan.
Namun begitu, dalam acara individu tembak getah yang disertai hampir 11 peserta UTM, kemenangan berpihak kepada peserta dari UniKL (emas) serta UTHM (perak dan gangsa).
Pada malam penutupan kejohanan, diumumkan bahawa UTM muncul juara keseluruhan KASPIM 2025 dengan kutipan 10 pingat emas dan 13 pingat gangsa. Kejayaan ini membolehkan UTM membawa pulang Piala Pusingan sekali gus menjadi pemilik pertama trofi kejohanan berprestij dalam kalangan institusi Hal Ehwal Islam IPT.

Kejayaan UTM di pentas KASPIM 2025 bukan sahaja mencerminkan keupayaan fizikal dan semangat juang warga Pusat Islam, malah menzahirkan budaya kerja berpasukan, disiplin serta ukhuwah yang mendasari kecemerlangan. Edisi sulung ini menjadi titik tolak kepada keterlibatan lebih besar Pusat Islam IPT dalam platform kesukanan, memperkukuh hubungan antara institusi sambil memperkasa potensi warga Islam dalam pelbagai lapangan.