TANJUNG BALAU, 23 Julai – Sebanyak 279 kilogram sampah berjaya dikumpulkan dalam program gotong royong pembersihan pantai ‘Season Care: Love for the Beach 2025’ yang dianjurkan oleh UTM International dengan kerjasama Pejabat Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM CCS) dan juga Season Confectionary and Bakery Sdn. Bhd, syarikat pembuat biskut dan roti ternama Malaysia. Program yang turut mendapat kerjasama dari Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) ini telah berlangsung di Pantai Tg. Balau, Pengerang.

Penyelaras Program, Norfaeza Ali berkata program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya pelestarian alam semula jadi khususnya kawasan pantai serta mengurangkan pencemaran yang berpunca daripada sampah. “Aktiviti utama dalam program ini adalah pembersihan pantai yang melibatkan kira-kira 50 orang peserta yang terdiri dari sukarelawan pelbagai latar belakang termasuk mahasiswa UTM, staf UTM International, kakitangan MPP, Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor dan KEJORA.

“Sepanjang program berlangsung, para peserta bersemangat membersihkan kawasan pantai dengan mengutip sampah-sampah yang berselerak di sepanjang pantai tersebut. Hasilnya, sebanyak 279 kilogram sampah berjaya dikutip dan dialihkan ke tempat pembuangan yang sesuai,” katanya. Beliau berkata demikian ketika diwawancara oleh Pejabat Pelestarian Kampus selepas selesai program di pantai itu.
Menurut Norfaiza lagi, selain aktiviti pembersihan, program ini turut menitikberatkan aspek pendidikan dan kesedaran tentang pentingnya menjaga kebersihan pantai serta memelihara ekosistem marin.
“Program ‘Love for the Beach 2025’ ini tidak hanya berfokus kepada pembersihan sahaja, malah berfungsi sebagai platform untuk memperkukuhkan hubungan komuniti dalam usaha menjaga kebersihan dan keindahan pantai.
“Ia juga merupakan salah satu inisiatif bagi menyokong misi pelestarian alam dan pembangunan lestari di kawasan sekitar Pengerang,” katanya lagi.

Kerjasama pelbagai pihak termasuk sektor swasta dan agensi kerajaan menunjukkan betapa pentingnya usaha bersama dalam pelestarian alam sekitar.
“Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada aktiviti-aktiviti berterusan yang menyumbang kepada kesejahteraan alam sekitar dan masyarakat setempat.
“Dengan keberhasilan ini, diharapkan pantai Tanjung Balau akan terus kekal bersih dan indah untuk dinikmati oleh generasi akan datang,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Program ‘Season Care: Love for the Beach 2025’ yang melibatkan aktiviti gotong-royong pembersihan pantai berkait rapat dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang ke-14 iaitu ‘Life Below Water’ (Kehidupan di Bawah Laut). Matlamat ini menumpukan kepada pemeliharaan sumber laut serta ekosistem marin secara lestari termasuk usaha mengurangkan pencemaran laut dan melindungi kehidupan marin daripada ancaman pencemaran sampah dan kerosakan habitat. Dengan mengutip sampah dan membersihkan pantai, program ini menyumbang secara langsung kepada usaha menjaga kebersihan dan keindahan ekosistem marin, sekali gus meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pelestarian sumber daya laut untuk generasi masa depan.
