JOHOR BAHRU, 4 Julai – Isu penstrukturan semula program pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) wajar ditangani secara menyeluruh dan berasaskan bukti. Dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin mencabar, sebarang perubahan struktur akademik mestilah berpaksikan data yang sahih, dasar pembangunan negara, dan realiti pasaran kerja semasa.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui pelaksanaan kerangka EXCEL (Experiential Learning and Competency-based Education Landscape) telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan sistem pendidikan tinggi negara kekal relevan dan responsif. Pendekatan ini menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman dunia sebenar serta pensijilan kompetensi yang diiktiraf industri, sebagai usaha memperkukuh kebolehpasaran dan daya saing graduan.
Di peringkat institusi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melaksanakan Future-Oriented Curriculum Framework (FOCu) yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan program seperti 2U2I (dua tahun di universiti, dua tahun di industri), perluasan latihan industri termasuk latihan industri secara sukarela (voluntary internship), pensijilan profesional, serta penglibatan strategik industri dalam reka bentuk kurikulum.
Bagi memastikan kesinambungan Pelan Strategik enVision UTM 2025, inisiatif ini telah dijadikan teras utama dalam Pelan Strategik baharu Universiti, iaitu UTM ASCEND 2030, yang memberi penekanan kepada pemerkasaan bakat bertaraf global yang berdaya saing dan menjadi pilihan industri, bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa.
Keberkesanan usaha ini turut disokong oleh data semasa. Berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan KPT 2024, kadar kebolehpasaran graduan (Graduate Employability – GE) UTM mengekalkan pencapaian 100%, berbanding kadar GE nasional sebanyak 92.5%. Bermula 2024, Kementerian Pendidikan Tinggi memperkenalkan definisi baharu dengan pengasingan dua indikator utama bagi mengukur keberhasilan graduan, iaitu:
- Kadar Bekerja Graduan (Graduate Employability – GE): hanya meliputi graduan yang telah bekerja;
- Kadar Kebolehpasaran Graduan (Graduate Marketability – GM): menunjukkan kebolehpasaran graduan secara menyeluruh, termasuk yang bekerja, melanjutkan pengajian, mengikuti latihan kemahiran, atau menunggu penempatan pekerjaan.
Pendekatan baharu ini membolehkan data yang lebih telus dan holistik mengenai kedudukan graduan dalam pasaran kerja, seterusnya mengukuhkan peranan UTM sebagai peneraju dalam menghasilkan bakat masa depan yang diiktiraf di peringkat global.
Persepsi bahawa pelajar ditempatkan dalam program yang tidak selari dengan keupayaan atau minat mereka perlu dilihat dengan lebih teliti. Proses pengambilan pelajar kini sedang melalui fasa penambahbaikan menerusi pendekatan padanan pintar (smart matching) yang mengambil kira minat, potensi serta laluan kerjaya individu. Usaha ini dilaksanakan secara strategik oleh KPT dan universiti bagi memastikan penempatan pelajar lebih tersasar dan berkesan.
Isu ‘underemployment’ yang sering dibangkitkan turut memerlukan kefahaman yang lebih mendalam. Angka 1.9 juta pekerja ‘underemployed’ merangkumi pelbagai bentuk pekerjaan termasuk kerja sambilan, kerja gig, dan pilihan fleksibel yang tidak semestinya mencerminkan ketidakpadanan akademik (DOSM, 2023).
Berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan KPT 2024, seramai 70% graduan UTM berjaya memperoleh pekerjaan yang selari dengan bidang pengajian masing-masing. Data ini menunjukkan majoriti graduan, sama ada dari latar belakang teknikal mahupun bukan teknikal, bekerja dalam bidang yang sesuai dengan kurikulum yang diikuti dan kepakaran teknologi yang ditawarkan di UTM, sekali gus mencerminkan tahap underemployment yang rendah. Ini membuktikan keberkesanan program akademik UTM dalam melahirkan graduan yang memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.
Dalam konteks peluang pekerjaan baharu, penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dijangka mewujudkan ribuan pekerjaan bernilai tinggi dalam sektor teknologi, logistik, kesihatan dan tenaga boleh baharu. Kerajaan Negeri Johor turut memberi jaminan pendapatan minimum iaitu RM3,000 bagi pemegang diploma dan RM4,000 bagi pemegang ijazah. Ini merupakan suatu langkah signifikan dalam menyokong penempatan graduan berkemahiran tinggi (Bernama, 2024).
Sehubungan itu, sebarang usaha penstrukturan semula program akademik tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa atau semata-mata berdasarkan angka permintaan jangka pendek. Ia perlu dilaksanakan secara berhati-hati, berasaskan bukti empirikal, dan selari dengan Pelan Pendidikan Tinggi Negara 2025–2035 yang menekankan keseimbangan antara kebolehpasaran, pembangunan bakat, dan kelestarian ilmu untuk negara bangsa.
Pendidikan tinggi bukan hanya berperanan melahirkan tenaga kerja, tetapi juga sebagai institusi pembina jati diri, pemikiran kritikal dan nilai kemanusiaan. Justeru, keseimbangan antara keperluan industri dan kepentingan bidang-bidang ilmu asas negara seperti sejarah, bahasa dan falsafah harus terus dipelihara.
UTM kekal komited untuk menerajui transformasi pendidikan tinggi negara melalui pendekatan yang seimbang, berteraskan data dan berpandangan jauh, demi melahirkan graduan berdaya saing yang mampu menyumbang kepada kemajuan negara dan kesejahteraan sejagat.
*Artikel ini merupakan hasil penulisan bersama Profesor Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Naib Canselor UTM, dan Profesor Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus, Pengerusi Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) UTM.