July 16, 2025

JOHOR BAHRU, 3 Julai – Seorang pelajar Program Sarjana Keusahawanan Teknologi Maklumat (SKIT) dari Fakulti Pengurusan (FM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Amir Hakim, telah memperkenalkan HiMerch, sebuah platform digital inovatif yang pertama seumpamanya di Malaysia khusus untuk pengurusan dan jualan barangan acara (event merchandise) secara dalam talian.

Pelancaran HiMerch telah berlangsung sempena Program Business Boost Zon Ekonomi Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dato’ Zulfikri Osman. Inisiatif ini merupakan langkah strategik ke arah memperkasa ekonomi digital serantau serta membuka peluang yang lebih luas kepada vendor tempatan dan pereka kreatif dalam industri barangan acara.

Amir, di bawah penyeliaan Prof. Madya Dr. Ab Razak Che Hussin yang aktif dalam pembangunan keusahawanan pelajar, menjelaskan bahawa cetusan idea HiMerch lahir daripada pengalamannya sepanjang pengajian di UTM, termasuk penyertaan dalam projek penyelidikan, pertandingan inovasi, dan bimbingan melalui program-program keusahawanan MARA.

Pelancaran aplikasi HiMerch disempurnakan oleh Ketua Pengarah MARA, YBhg. Dato’ Zulfikri Osman
Antaramuka aplikasi HiMerch yang direka khusus untuk pengurusan barangan acara secara menyeluruh

“HiMerch bukan sekadar projek teknologi, tetapi satu penyelesaian sebenar terhadap cabaran dalam industri barangan acara – daripada aspek pemasaran hingga ke penghantaran,” jelas Amir.

HiMerch berfungsi sebagai ekosistem digital menyeluruh bagi pengurusan dan jualan barangan acara, menghubungkan penganjur, pereka tempatan, vendor Bumiputera dan pelanggan dalam satu platform. Melalui HiMerch, penganjur acara boleh membuka ruang niaga digital masing-masing tanpa kos permulaan yang tinggi, manakala pereka termasuk pelajar institusi MARA dan IPT berpeluang menjana pendapatan melalui sistem royalti hasil reka bentuk.

Pembentangan projek HiMerch oleh Amir kepada barisan pengurusan tertinggi MARA
Amir bersama Pengarah MARA Johor, Puan Rafida Abd Manan; Timbalan Pengarah MARA Negeri Johor (Pembangunan), Encik Kamarudin Atat @ Arsat; dan Ketua Penolong Pengarah (PUSMA), Puan Adina Aucasa

Vendor Bumiputera pula berpeluang memasarkan produk secara digital, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kaedah jualan fizikal. Bagi pengguna, HiMerch menawarkan pengalaman membeli-belah yang pantas, mesra pengguna dan selamat – daripada tempahan, pembayaran, pengeluaran produk, kawalan kualiti, hinggalah ke penghantaran.

Dengan kedudukannya dalam Zon Ekonomi Johor–Singapura (JS-SEZ), HiMerch berada pada landasan strategik untuk memperluas pasaran ke peringkat serantau seperti ASEAN. Amir menyasarkan agar HiMerch menjadi platform nasional yang mampu memperkasa usahawan kecil dan sederhana, khususnya dalam kalangan Bumiputera.

“Saya ingin melihat HiMerch menjadi pemangkin utama dalam industri barangan acara negara, seterusnya menembusi pasaran serantau dan antarabangsa,” ujar beliau lagi.

Inisiatif ini selari dengan misi UTM dan MARA dalam melahirkan usahawan digital yang kompetitif dan inovatif, sekali gus menyumbang kepada pembangunan jenama tempatan yang mampan dan berdaya saing di pentas global.

Amir bersama pensyarah Fakulti Pengurusan dan rakan pelajar Program SKIT UTM–MARA

Explore More