KUALA LUMPUR, 15 Julai 2025 – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pro-Canselor UTM, Tan Sri Dato’ Sri Jamaludin Ibrahim, dalam usaha memperkukuh hubungan strategik serta membincangkan hala tuju masa depan universiti.
Pertemuan ini merangkumi pelbagai agenda penting, termasuk perkembangan terkini UTM dari aspek jumlah pelajar, alumni, fakulti serta prestasi universiti dalam penarafan antarabangsa. Naib Canselor turut berkongsi mengenai UTM ASCEND 2030, pelan strategik baharu universiti yang akan dimulakan pelaksanaannya pada tahun 2026.
Menerusi pembentangan yang diadakan, Tan Sri Jamaludin menzahirkan sokongan padu terhadap usaha-usaha transformasi UTM dan menyuarakan hasrat beliau untuk menghubungkan UTM dengan syarikat-syarikat antarabangsa dalam bidang sains data. Langkah ini dijangka membuka lebih banyak peluang latihan industri kepada pelajar UTM, khususnya dalam ekosistem teknologi global yang kian berkembang pesat.
Turut dibincangkan ialah keperluan memperkukuh kurikulum semasa agar lebih relevan dengan permintaan industri, termasuk aspek keusahawanan dan pembangunan start-up. Tan Sri turut melontarkan pandangan bernas mengenai cabaran serta potensi besar dalam bidang Artificial Intelligence (AI) yang bukan sahaja mampu mengubah landskap pekerjaan tetapi turut menuntut pendekatan pendidikan yang lebih dinamik dan responsif.
Naib Canselor turut memaklumkan berkenaan perkembangan semasa RZS-CASIS yang kini dalam proses peralihan menjadi sebuah fakulti baharu, serta mengucapkan penghargaan kepada QSR Brands atas sokongan berterusan mereka melalui endowmen yang diberikan. UTM dan QSR mempunyai hubungan yang erat, dan buat masa ini seramai lima pelajar UTM telah menerima manfaat sebagai QSR Scholars.
Sebagai simbol penghargaan terhadap sumbangan intelektual beliau, Tan Sri Jamaludin turut bersetuju untuk menyampaikan syarahan dalam Pro-Chancellor Distinguished Lecture Series, satu inisiatif baharu yang akan diperkenalkan pada tahun 2026 sebagai platform wacana ilmu berimpak tinggi bersama tokoh-tokoh ternama negara.
Turut hadir dalam sesi kunjungan hormat ini ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus dan Pendaftar UTM, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah.