November 17, 2025

Mahasiswa Negara @UTM 2025 perkasa mahasiswa MADANI melalui kepimpinan, kolaborasi dan jati diri

JOHOR BAHRU, 20 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengorak langkah strategik dalam memperkasa potensi mahasiswa menerusi program Kem Mahasiswa Negara @UTM 2025, yang berlangsung penuh semangat pada 19 hingga 20 Julai lalu di Kolej Tun Hussein Onn, UTM. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif nasional Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah kerangka Malaysia MADANI, yang memberi penekanan kepada nilai insaniah, semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial sebagai asas pembinaan negara bangsa.

Lebih 130 orang pelajar tahun pertama telah menyertai program ini secara aktif, dibimbing oleh 20 felow dan 10 pengetua kolej kediaman. Sepanjang dua hari program berlangsung, peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti Bicara Malaysia MADANI, Slot Bicara Ilmu “Citra Bangsa Johor”, Interaktif Kenegaraan (Explorace), Terowong pintar (Smart tunnel), Berjalan malam (Night walk), sesi taaruf, sorakan semangat (cheers) dan laungan perjuangan (Warcry), kesemuanya dirangka sebagai medan simulasi dunia sebenar yang membentuk jiwa kepimpinan, semangat berpasukan serta nilai kebertanggungjawaban.

Peserta berkhemah dan bermalam di sekitar Kolej Tun Hussein Onn, UTM
Peserta memasak ayam pasung dalam aktiviti survival di Hutan Rekreasi UTM
Persembahan sorakan semangat (cheers) dan laungan perjuangan (Warcry) daripada setiap kumpulan peserta

Prof. Madya Dr. Rahman Tamuri, selaku Pengarah Program Kem Mahasiswa Negara @ UTM, telah menyampaikan amanat yang bermakna kepada para peserta dengan menekankan bahawa sebagai bakal pemimpin masa hadapan, setiap mahasiswa perlu mempersiapkan diri secara menyeluruh. Persiapan ini bukan sahaja melibatkan penguasaan ilmu pengetahuan yang kukuh, tetapi juga pengembangan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi, serta kebolehan menyelesaikan masalah secara berkesan.

Di samping itu, beliau turut menegaskan bahawa sikap atau attitude yang positif seperti disiplin, integriti, tanggungjawab dan semangat berkhidmat kepada masyarakat merupakan elemen penting yang akan membentuk jati diri seorang pemimpin yang berwibawa. Menurut beliau, hanya dengan gabungan ilmu, kemahiran dan sikap yang betul, barulah seseorang itu mampu memberi sumbangan bermakna kepada negara dan masyarakat pada masa akan datang.

Program ini memberi impak besar dalam menyemai kesedaran tentang peranan mahasiswa bukan hanya sebagai pelajar semata-mata, tetapi sebagai pemangkin perubahan masyarakat dan bakal pemimpin negara. Ia membuka ruang kepada pengukuhan kemahiran berfikir, menyelesaikan masalah, membuat keputusan secara rasional serta membina jaringan sosial dalam persekitaran pelbagai budaya dan pemikiran.

“Mahasiswa tidak harus hanya menjadi pengguna ilmu; mereka perlu dilatih menjadi pencetus perubahan. Negara tidak akan mampu bersaing di pentas global jika generasinya lemah semangat dan hilang arah. Inilah masanya untuk mahasiswa tampil sebagai pemimpin yang berketerampilan, berdisiplin dan berwawasan,” ujar Dr. Mohd Farizal Ahmad Kamaroddin, Ketua Fasilitator program merangkap Pengetua Kolej Tun Hussein Onn.

Beliau turut mengajak pelajar tahun satu untuk menyertai Jawatankuasa Pelajar Kolej Kediaman (JKP), sebuah platform yang diyakini mampu membentuk karakter, menajamkan kemahiran insaniah serta memperkukuh kepimpinan mahasiswa melalui pengalaman sebenar dalam merancang, mengurus dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi impak kepada komuniti kampus.

“JKP bukan sekadar organisasi pelajar, ia medan tempur nilai, karakter dan integriti. Di sinilah mahasiswa belajar erti kepimpinan sebenar, dengan tunjuk ajar daripada felow berpengalaman dan dalam suasana ekosistem yang menyokong pembinaan sahsiah,” tambah beliau.

Slot ceramah diisi oleh Bicara Malaysia MADANI dan Bicara Ilmu “Citra Bangsa Johor”
Majlis penutup dan bacaan ikrar oleh para peserta di Kem Mahasiswa Negara @ UTM

Program Mahasiswa Negara @UTM 2025 bukan sahaja berjaya menghimpunkan generasi muda dalam suasana pembelajaran yang aktif dan bermakna, bahkan telah membuka lembaran baharu dalam pendekatan pembangunan mahasiswa yang bersifat menyeluruh dan inklusif. Program ini telah melahirkan peserta yang lebih yakin, berani bersuara dan mampu mengurus perbezaan dengan matang serta berjiwa besar. Ramai peserta memberi maklum balas bahawa pengalaman ini menjadi titik tolak kepada transformasi peribadi mereka, daripada hanya menjadi pengikut, kepada pencetus idea dan pemimpin yang bersedia membawa perubahan.

Kejayaan program ini menjadi cerminan komitmen UTM dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi turut memiliki keupayaan intelektual, emosi dan sosial untuk menyumbang secara signifikan kepada pembangunan masyarakat dan negara. Inilah wajah sebenar Mahasiswa Negara, insan berprinsip, berpandangan jauh, dan bersedia memikul amanah kepimpinan demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang.

Explore More

UTM Open Day