TANJUNG PIAI, 26 Julai – Sempena sambutan Hari Pemuliharaan Ekosistem Bakau Sedunia yang disambut pada 26 Julai setiap tahun, satu program khidmat masyarakat bertemakan Mangrove Sustainability Heroes telah berjaya dianjurkan dengan penuh semangat dan komitmen di Taman Negara Tanjung Piai, Johor.
Program ini merupakan satu inisiatif yang bertujuan untuk memelihara dan memulihara ekosistem hutan bakau, yang berperanan sebagai benteng semula jadi penting di kawasan pesisir. Melalui penganjuran ini, usaha pemeliharaan alam sekitar diperkukuh dengan memberi pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai kepentingan ekosistem bakau dalam mengekalkan keseimbangan biodiversiti marin serta menghadapi cabaran perubahan iklim secara mampan.
Program ini menerima tajaan penuh daripada CIMB Group Holdings Berhad (CIMB Bank), mencerminkan semangat tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar. Kolaborasi strategik ini melibatkan penyertaan seramai 50 orang sukarelawan yang terdiri daripada 30 orang kakitangan Jabatan Bendahari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan 20 orang kakitangan CIMB Bank dari Cawangan Taman Universiti serta wakil daripada Sektor Perhubungan Awam, Ibu Pejabat CIMB Kuala Lumpur.
Majlis bermula dengan ucapan pembukaan ringkas oleh pengarah program, Encik Muhammad Azim Arip, yang menekankan kepentingan peranan komuniti dalam usaha kelestarian. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak CIMB Bank atas sokongan padu dalam menjayakan program ini. Ucapan diteruskan oleh Puan Shahrilah Ridzuan Shah, Pengurus CIMB Bank Cawangan Taman Universiti, yang turut menyatakan harapan agar kolaborasi ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif alam sekitar di masa akan datang.
Sebagai simbolik kerjasama erat antara UTM dan CIMB Bank, sijil kolaborasi telah disampaikan oleh Jabatan Bendahari kepada CIMB Bank sebagai tanda penghormatan dan penghargaan atas sokongan mereka dalam program yang julung kali dianjurkan ini.

Acara diteruskan dengan taklimat khas selama 20 minit oleh wakil dari Taman Negara Tanjung Piai mengenai fungsi dan kepentingan ekosistem bakau dalam menangani kesan perubahan iklim, mengurangkan hakisan tanah dan menjadi habitat semula jadi pelbagai spesies flora dan fauna marin.
Peserta kemudiannya dibahagikan kepada dua kumpulan untuk meneruskan aktiviti-aktiviti khidmat masyarakat yang telah dirancang, antaranya aktiviti pembenihan pokok bakau, sesi pembelajaran tentang kehidupan dan biodiversiti dalam ekosistem bakau, aktiviti penanaman anak pokok bakau, serta aktiviti pembersihan kawasan bakau. Hasil daripada semangat kerjasama dan keprihatinan para sukarelawan, sebanyak 68kg sisa plastik berjaya dikutip.



Selain daripada aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan, para peserta turut tidak melepaskan peluang untuk bergambar secara berkumpulan di mercu tanda ikonik “Titik Paling Hujung Benua Asia” yang terletak di dalam kawasan Taman Negara Tanjung Piai.

Program diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan oleh pihak Taman Negara Tanjung Piai kepada wakil dari Jabatan Bendahari UTM dan CIMB Bank sebagai penghargaan atas penyertaan dan sokongan terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar.
Program ini secara langsung menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim), SDG 14 (Hidupan di Laut), SDG 15 (Hidupan di Darat) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Mencapai Matlamat). Ia membuktikan bahawa kerjasama antara institusi akademik dan sektor korporat mampu melahirkan impak positif yang menyeluruh terhadap kelestarian alam sekitar.
Diharapkan agar kerjasama antara Jabatan Bendahari UTM dan CIMB Bank dapat diteruskan pada masa akan datang menerusi pelbagai lagi inisiatif hijau yang memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar sejagat.