July 5, 2025

KOTA TINGGI, 5 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengorak langkah sebagai peneraju inovasi berasaskan teknologi apabila memperkenalkan sistem penternakan ikan kelah berasaskan Internet of Things (IoT) yang memberi manfaat langsung kepada komuniti luar bandar, khususnya di Felda Linggiu dan Felda Bukit Ramun.

Melalui Projek Inisiatif Inovasi Sosial Malaysia (MyIS KOMUNITI) dengan sokongan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), UTM berjaya memindahkan teknologi terkini dalam sektor akuakultur kepada masyarakat setempat, sekali gus memperkasakan ekonomi komuniti melalui kaedah penternakan ikan air tawar yang lebih sistematik, efisien dan mampan.

Majlis penyerahan projek yang berlangsung di Felda Linggiu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md Illias.

Datuk Seri Haji Hasnol dalam ucapannya menyifatkan dana MyIS KOMUNITI merupakan antara strategi utama Kementerian dalam memperkasa komuniti menerusi penyelesaian inovatif dalam membantu rakyat menghadapi cabaran sosioekonomi khususnya di kawasan luar bandar.

Datuk Seri Haji Hasnol ketika berucap dalam majlis perasmian yang berlangsung pagi tadi

“Projek hari ini membuktikan bahawa apabila sesebuah inovasi disalurkan secara strategik dan inklusif, ia berupaya membawa perubahan ketara kepada kehidupan rakyat dan dalam masa yang sama menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Melalui projek ini, tiga kolam ternakan moden yang dilengkapi dengan sistem Recirculating Aquaculture System (RAS) serta pemantauan pintar berasaskan IoT telah berjaya dibangunkan. Sistem ini membolehkan maklumat kualiti air diperoleh secara terus dan memberi amaran automatik sekiranya berlaku perubahan yang boleh menjejaskan ternakan.

“Kejayaan projek ini diharap bukan sahaja dapat memberi impak positif kepada komuniti Felda Linggui dan Felda Bukit Ramun, tetapi akan menjadi model rujukan yang boleh diperluas serta diadaptasi di lokasi-lokasi lain di seluruh negara,” tambah beliau.

Sementara itu, Prof. Dr. Rosli menyifatkan projek ini mencerminkan komitmen UTM dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat melalui penyelidikan yang dapat diterjemahkan secara praktikal kepada pembangunan sosioekonomi.

Prof. Dr. Rosli ketika berucap dalam majlis berkenaan mengharapkan projek ini akan menjadi contoh terbaik bagi universiti untuk memainkan peranan aktif dalam pembangunan lestari yang inklusif dan seimbang

“Projek ini membawa pendekatan yang sangat signifikan apabila ia menggabungkan kemahiran kejuruteraan, teknologi Internet of Things (IoT), dan semangat komuniti dalam memajukan industri akuakultur ikan kelah dan air tawar. Ia bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan ekonomi setempat, tetapi turut mendukung misi UTM untuk menjadi universiti yang menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.

Projek yang diterajui oleh penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Ts. Dr. Nor Aishah Mohammad, memberi fokus kepada latihan teknikal, pemindahan teknologi dan pemerkasaan peserta komuniti. Lebih 100 penduduk Felda dijangka meraih manfaat melalui pembangunan kapasiti dalam bidang ternakan ikan air tawar khususnya ikan kelah.

Ts. Dr. Nor Aishah (tiga dari kanan) bersama rakan penyelidik dan juga pelajar UTM memberi taklimat berkaitan teknologi inovasi yang diaplikasi ke dalam projek berkenaan kepada Datuk Seri Haji Hasnol

Melalui teknologi IoT, parameter penting seperti suhu air, kadar oksigen dan kualiti air boleh dipantau dan dikawal secara automatik, meningkatkan kecekapan dan produktiviti operasi penternakan. Pendekatan ini sekaligus mampu membina rantaian bekalan ikan air tawar bagi pasaran tempatan mahupun eksport.

UTM turut menjalinkan kerjasama strategik bersama syarikat Far-East Planet, pakar dalam pembenihan dan penternakan ikan kelah, bagi memastikan kejayaan pelaksanaan teknikal projek serta kelangsungan perniagaan komuniti terbabit.

Menurut Ketua Kumpulan Komuniti Penternakan Ikan Air Tawar Felda Linggiu, Mohd Azrul Ahmadul Hakik ketika ditemui berkata, pihak UTM banyak membantu bagi mendapatkan dana dan juga memberi bimbingan dalam mengusahakan penternakan ikan air tawar ini menggunakan kaedah IoT.

“Untuk memantau kualiti air kami tidak perlu lagi kerap turun ke lapangan sebaliknya kami hanya perlu memantau menerusi aplikasi yang disambungkan kepada sistem yang ada di kolam ternakan.

Khairul Bahri Othman, Ketua Kumpulan Komuniti Penternakan Ikan Air Tawar Felda Bukit Ramun pula berpendapat sistem yang digunakan amat membantu bagi menangani kerja pemantauan dan dapat mengurangkan risiko kematian ikan seperti sekiranya berlaku gangguan elektrik.

“Teknologi ini mengurangkan risiko kerugian kami, dan setakat ini kami telah dua kali melakukan penuaian dan hasil jualan ikan yang diternak dapat membantu kami membiayai kos pembelian makanan ikan,” ujarnya.

Encik Azrul (paling kiri) dan Encik Khairol (paling kanan) menerima simbolik penyerahan projek MyIS

Hasil kedua-dua projek penternakan ikan ini dikatakan bukan sekadar mampu membiayai kos perusahaan malah sebahagian pendapatan dapat membantu membiayai projek kemasyarakatan di kawasan masing-masing.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Ruziah Shafei Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmila Mohamed Salleh, Pengarah Pusat Komuniti Jaringan Industri (CCIN) UTM, Prof. Dr. Johari Surif, Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Prof. Dr. Jafri Din, pegawai-pegawai kanan MOSTI serta wakil komuniti Felda Linggiu dan Felda Bukit Ramun.

Projek yang didanai oleh Yayasan Inovasi Malaysia sebanyak RM 300,000 ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI serta Pelan Tindakan Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030, yang menekankan peranan teknologi sebagai pemacu utama pembangunan yang inklusif dan mampan di seluruh negara.

Melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi ini, UTM sekali lagi membuktikan peranannya bukan sekadar sebagai pusat pengajian tinggi, malah sebagai agen perubahan masyarakat yang mampu menghubungkan dunia penyelidikan dengan keperluan rakyat di peringkat akar umbi.

Explore More